Alam & Sains 10 Mar, 2021

Ambergris! Objek terapung di laut tak ternilai! Muntah paus mampu jadikan seseorang jutawan!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Lokasi ambergris atau muntah paus ditemukan di tepi pantai Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand. - Kredit foto: ViralPress.


SEMUA orang mahu hidup senang-lenang dan kaya-raya punya wang berjuta-juta dalam bank, barangan kemas perhiasan penuh menimbun di dalam almari; tanah-tanah ratusan atau ribuan hektar sejauh mata memandang dan harta benda bagai tidak terkira bilangannya.

‘Rezeki terpijak’ kalau sudah tersurat takdirnya seseorang itu untuk menjadi jutawan dalam sekelip mata atau jutawan segera mampu memiliki wang banyak dan harta kekayaan berlimpah ruah tanpa perlu bersusah payah.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan jutawan:

https://kitareporters.com/search?search=jutawan


Siriporn Niamrin menunjukkan ambergris atau muntah paus yang bernilai lebih 185,000 pound sterling (kira-kira RM1.04 juta) yang dijumpainya di pantai Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand . - Kredit foto: ViralPress


Asal barang jadi duit semuanya boleh dijual, tidak kira barang-barang purba, harta karun termasuk barang ‘rare’ atau pelik seperti batu meteor dan terbaharu penemuan ambergris atau muntah paus

Pada 23 Februari 2021 lalu, satu peristiwa aneh berlaku terhadap seorang wanita dalam usianya hampir mencecah separuh abad iaitu Siriporn Niamrin, 49, ketika hujan baru sahaja reda dan berhenti. Beliau berjalan-jalan di tepi pantai Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand.

Ayunan kakinya mula terhenti apabila melihat satu objek yang pelik dan aneh terapung-apung dilambung ombak dan terdampar di pantai seraya menghampirinya.


Jiran-jiran Siriporn turut teruja melihat secara dekat objek yang dikenali sebagai ambergris  di rumahnya Thammarat,Thailand. - Kredit foto ViralPress.


Wanita itu terus mengambil objek misteri itu dan ia berbau seperti ikan dan tanpa mengetahui apa sebenarnya lalu membawa pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari pantai.

Mungkin kali pertama bertemu dengan objek tersebut dan tertanya-tanya apakah benda itu?

Penemuan itu diceritakan kepada jirannya yang kemudian dia didapati terkejut apabila mengetahui objek tersebut adalah ambergris dan dianggarkan seberat 7 kilogram (kg), saiz lebar 12 inci dan panjang 24 inci, bernilai lebih 185,000 pound sterling (kira-kira RM1.04 juta).


Ikan paus sperma kini mengalami kepupusan  akibat diburu oleh pemburu-pemburu haram untuk mendapatkan ekstrak ambergris bagi pembuatan industri minyk wang. - Kredit foto National Discovery.


Ambergris terbentuk daripada sisa lendir najis ‘ikan paus sperma’ yang menempel di lapisan usus dalam perutnya. Setelah melalui proses penempelan, ketulan ambergris tersebut berubah menjadi warna hitam atau kelabu lalu dimuntahkan menerusi mulut.

Muntah itu akan terapung-apung sehingga bertahun-tahun lamanya di lautan sebelum ditemui oleh manusia terdampar dibawa ombak ke pantai-pantai.

Bagi memastikan kebenaran dan keaslian objek itu, Siriporn bersama jirannya cuba membakar muntah paus itu sehingga cair.

Tidak lama selepas itu, objek berkenaan mengeras semula apabila suhunya menjadi sejuk dan menyebabkan fizikal ambergris menjadi keras seperti ketulan batu.


Gambar hiasan... Minyak wangi berjenama seperti Chanel kebiasaannya menggunakan ekstrak ambergris agar dapat mengekalkan aroma wangian tahan lebih lama


Ekstrak ambergris akan menghasilkan sejenis cecair alkohol yang dikenali Ambrein digunakan dalam pembuatan minyak wangi serta memberikan kesan aroma wangian tahan lebih lama dalam industri kosmetik dunia.

Sejak kebelakangan ini, ambergris kerap dilaporkan oleh pihak media ditemui di beberapa wilayah seperti di Rayong, Surat Thani dan Trang di Teluk Siam.

Pada Oktober tahun 2020 lalu, seorang pengutip sampah telah menemui sebongkah ambergris bernilai 537,500 pound sterling (kira-kira RM2.9 juta).

Kemudian pada Disember 2020 lalu, media turut melaporkan seorang nelayan di Thailand mendakwa menemui ambergris yang dianggarkan mencecah 100 juta baht (RM13.4 juta).

Di Malaysia, belum ada lagi penemuan muntah paus atau ambergris direkodkan tetapi tidak mustahil satu hari nanti ia berkemungkinan menjadi rezeki milik rakyat Malaysia. - KitaReporters


Sumber:

https://www.thevocket.com/ambergris-muntah-ikan-paus-cecah-nilai-jutaan-ringgit-yang-digunakan-dalam-perfume/

https://www.thesun.co.uk/news/14199064/woman-finds-whale-vomit-beach-thailand/

https://www.msn.com/en-my/news/berita/siriporn-bakal-jutawan-muntah-paus/ar-BB1eddot?ocid=msedgntp

1
2
0
0
0
You will be interested