Alam & Sains 23 Jul, 2020

Tambah menara! Ke sana, ke sini cari ‘line’ di Tasik Kenyir!

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

ADA yang gembira kerana 'dapat lari' daripada kesibukan kerja, ada yang kecewa kerana tidak dapat berhubung dengan 'dunia luar' dek kerana liputan telekomunikasi terhad. Itu hakikat senario dilalui pengunjung Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu, Terengganu. : KitaReporters


Liputan telekomunikasi di Tasik Kenyir buat masa ini sekitar 10 peratus sahaja daripada kawasan tasik yang mempunyai 340 pulau. - Kredit foto: Laman Web KETENGAH 


Meskipun tasik buatan manusia berkeluasan 38,000 hektar ini  telahpun terdapat tiga menara komunikasi iaitu di Pulau Camar, Pulau Bayas dan Tanjung Mentong, namun kemudahan itu hanya mampu meliputi 10 peratus sahaja kawasan Tasik Kenyir yang mempunyai 340 pulau.

Keterbatasan liputan telekomunikasi di destinasi pelancongan ini tentunya sedikit sebanyak mengundang kesukaran terutama sewaktu berdepan kecemasan atau sesuatu situasi yang tidak diingini.

Melihat ia satu aspek penting yang mampu meloncakkan lagi sektor pelancongan di Tasik Kenyir, aspek telekomunikasi antara agenda dibincangkan peserta Bengkel Pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir 2020 pada 8 Julai 2020 lalu di Pusat Penerangan Kenyir, Pengkalan Gawi.

Pemain industri yang mengikut bengkel anjuran Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah( Ketengah) itu mencadangkan menara komunikasi dapat dibina di Pulau Lawit, satu lokasi strategik bagi pembangunan telekomunikasi dan capaian Internet.

Sewaktu pembentangan hasil bengkel berkenaan, Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris mengakui tahap sistem telekomunikasi di Tasik Kenyir masih rendah dan perlu dipertingkatkan sekurang-kurangnya hingga meliputi 70 peratus kawasan Tasik Kenyir.

Razali Idris sewaktu meninjau tanaman orkid di Pulau Orkid, Tasik Kenyir selepas sesi Pembentangan Bengkel pembangunan Pelancongan Tasik Kenyir 2020. 


Menurut beliau, pihaknya berharap kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mempertimbangkan permintaan Ketengah bagi mempercepatkan usaha meningkatkan liputan telekomunikasi di destinasi pelancongan itu.

"Kelompok pelancong yang datang ke Tasik Kenyir pelbagai, ada yang tidak suka dengan hubungan luar... datang ke sini untuk rehat tanpa fikirkan soal kerja dan kumpulan sebegini sangat kecil tidak sampai 10 peratus daripada jumlah pelancong yang datang.

"Kelompok besarnya ialah mereka yang masih perlu berhubung dengan 'dunia luar' secara terus dan cepat sama ada menghubungi ahli keluarga serta kawan-kawan ataupun perihal kerja. 

"Banyak respon diterima daripada pelancong, liputan komunikasi mesti ada.

"Buat masa ini, sistem telekomunikasi termasuk Internet di tasik ini sangat lemah, jika pengunjung pergi jauh kira-kira 10 minit dari Pangkalan Gawi, liputan semakin terhad  dan tidak lagi dapat membuat panggilan telefon," katanya.

Tambah beliau, selain memudahkan pengunjung berhubung, perkhidmatan telekomunikasi di Tasik Kenyir juga penting bagi pastikan bantuan segera boleh diberikan oleh mereka yang berada di daratan apabila berlaku kecemasan seperti pelancong hilang atau kemalangan bot.

Rumah bot atau 'housebot' antara pilihan utama pengunjung sewaktu berkunjung ke Tasik Kenyir. 


"Kita tahu agak sukar bagi pengendali telekomunikasi melabur di Tasik Kenyir kerana kawasannya begitu luas dengan pulau-pulau yang pula terletak jauh antara satu sama lain.

"Ketengah berharap kerajaan dapat melabur demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat sekaligus dapat melihat serta menikmati perkhidmatan liputan komunikasi yang lebih luas yakni sekurang-kurangnya 70 peratus di kawasan Tasik Kenyir pada tahun 2021," katanya.

Ujarnya lagi, seandainya usaha menambah menara telekomunikasi sukar direalisasikan sebagai satu kenyataan kerana perlukan peruntukan besar beliau mencadangkan sebuah pusat terminal komunikasi dapat dibina bagi mengesan semua bot dan rumah bot yang berada di Tasik Kenyir.

Untuk info, Tasik Kenyir terletak di daerah Hulu Terengganu bersempadan dengan Kelantan di sebelah barat serta Pahang di sebelah selatan dan Tasik Kenyir adalah sebahagian daripada Wilayah Ketengah. - KitaReporters

Panorama alam di Tasik Kenyir sewaktu matahari terbit. 

2
0
0
0
0
You will be interested