Alam & Sains 10 Nov, 2020

Nak makan strawberi Cameron Highlands! Kini boleh ke Marang!

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this

SIAPA sangka apa yang ada di Cameron Highlands mampu diadakan di kawasan tanah rendah lain dalam negara kita. Apa yang dimaksudkan adalah mengenai tanaman buah strawberi yang hanya mampu hidup dalam suhu yang rendah. Perkara itu dilakukan oleh seorang guru agama di Terengganu apabila 'menukar' suasana Marang, Terengganu menjadi persis pusat peranginan Cameron Highlands.

Kredit foto-foto: Facebook Strawberry_Tokki


Lagi cerita-cerita berkaitan Cameron Highlands:

https://kitareporters.com/search?search=cameron+highlands


Ramli Yusof, 55, menukar halaman rumahnya yang terletak di Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang, Terengganu, dengan dipenuhi oleh kehijauan daun dan kemerahan buah strawberi yang menyejuk mata memandang. 

Memetik laporan portal media tempatan, Ramli atau mesra dipanggil Ustaz Ramli hanya bermula dengan 50 pokok strawberi sahaja sejak dua tahun dahulu. Ia menanam pokok renek tersebut sekadar suka-suka atau mengisi masa lapang.


Tanaman berkenaan diusahakan secara kecil-kecilan sehinggalah kerajaan mewartakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama kira-kira tiga bulan sejak Mac lalu.

Sejak daripada itu, guru Sekolah Kebangsaan Bukit Payong berkenaan telah menumpukan perhatian lebih bagi mengusahakan tanamannya itu sehingga ia mencecah 1,200 pokok strawberi pelbagai jenis pada hari ini.

“Kalau tidak kerana PKP mungkin tanaman strawberi saya tidak akan jadi sebanyak ini. Sepanjang PKP, selepas sahaja selesai urusan sekolah dan sesi mengajar secara dalam talian, saya pun menghabiskan masa dengan menanam strawberi.

“Kini, selepas subuh sebelum ke sekolah saya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam di kebun mini strawberi ini,” katanya kepada media.

Disebabkan pertambahan dengan mendadak kebunnya itu, maka Ustaz Ramli telah menjadikan kawasan berkenaan sebagai sebuah kebun strawberi yang cantik tidak ubah seperti di Cameron Highlands, serta dinamakan sebagai ‘Strawberry_Tokki’.



Ketika ditemu bual oleh media, Ustaz Ramli memberitahu bahawa beliau sekadar menonton YouTube untuk mempelajari teknik-teknik tanaman buah berkenaan.

“Yang penting ia perlu sentiasa lembap dan diberi baja yang cukup. Saya juga memasang jaring di sekeliling kebun bagi menghindari buah strawberi dimakan burung,” katanya.

Setakat hari ini, Strawberry_Tokki ini telah dikunjungi ratusan pengunjung bagi merasai sendiri suasana Cameron Highlands hanya dari Terengganu, tanpa perlu ke tempat peranginan berkenaan.

“Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk masuk ke sini. Malah, sekiranya ada buah strawberi mereka boleh merasanya dengan percuma. Saya hanya jual anak pokok sahaja. Apa yang saya lakukan ini adalah kerana minat, bukannya keuntungan semata-mata,” katanya yang menjual anak pokok strawberi antara RM15 hingga RM20. 



Selain di kebun, Ustaz Ramli turut menggunakan media sosial untuk memasarkan anak-anak pokoknya tersebut secara dalam talian.

Ustaz Ramli turut berharap supaya tanaman strawberinya itu akan terus berkembang dan kebun mininya disasarkan mempunyai lebih 3,000 pokok strawberi. - KitaReporters

2
0
0
0
0
You will be interested