Alam & Sains 07 Sep, 2022

Agenda pembangunan lestari libatkan seluruh Keluarga Malaysia! Tubuh Pusat SDG Negara di bawah EPU!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


MESYUARAT pertama Majlis Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Negara bersetuju untuk menubuhkan Pusat SDG Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara

Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap kesedaran seluruh Keluarga Malaysia pada peringkat akar umbi dan syarikat syarikat swasta dipertingkatkan

"Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan Sukarela (VLR) pada peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri. Sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri

"Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi," kata Perdana Menteri.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembangunan mampan


Kata Ismail Sabri, pada Selasa, 6 September 2022, beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis SDG Negara buat julung kali sejak penubuhannya pada tahun 2016

"Ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan dari pelbagai sektor iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat  sivil yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.  

"SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam  Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 2025-2030," katanya lagi. 

Selain itu, menurut Perdana Menteri, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini (2022) bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.  

"Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuh tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030 dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara," tambahnya. - KitaReporters



Kenyataan media Perdana Menteri bertajuk Memperkasa Agenda Pembangunan mampan Negara Melalui Penubuhan Pusat Sdg Negara Dan Penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) pada 6 September 2022 :


Saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Negara buat julung kali sejak penubuhannya pada tahun 2016. Ia melibatkan pihak-pihak berkepentingan dari pelbagai sektor  iaitu sektor awam, sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat  sivil yang membincangkan agenda pembangunan mampan negara.  

Mesyuarat telah dihadiri ahli-ahli majlis yang merangkumi Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri Kanan dan Menteri-menteri Persekutuan, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua  Jabatan, Ketua-ketua Kluster Jawatankuasa Kerja SDG, dan beberapa Ahli Parlimen. 

SDG dilaksanakan dalam tiga fasa mengikut rancangan pembangunan negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), 2016-2020 dan kini sedang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 serta akan diteruskan dalam  Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), 2025-2030.

Pelaporan kemajuan SDG negara dilaksanakan setiap empat tahun, sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar pembentangan laporan dilakukan secara berkala menerusi Laporan Semakan Kebangsaan (VNR).  

Malaysia telah membentangkan VNR pada tahun 2017 dan 2021 pada Forum Politik Peringkat Tinggi Matlamat Pembangunan Mampan, PBB (High Level Political Forum on Sustainable Development (HLPF) UN) bagi memenuhi obligasi negara pada peringkat  global. VNR melaporkan secara inklusif kemajuan dan cabaran negara  dalam pelaksanaan SDG pada peringkat nasional. 

Mesyuarat turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa peringkat global dan tempatan serta kemerosotan dalam pencapaian beberapa SDG negara ekoran impak negatif pandemik COVID-19, cabaran  perubahan iklim dunia, krisis inflasi dan kemelut geopolitik antarabangsa. 

Sehubungan itu, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Pusat SDG Negara di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi memperkasa dan mempergiat program-program serta memantau kemajuan SDG negara.  

Agenda pembangunan mampan ini memerlukan penglibatan dan usaha  gigih yang menyeluruh serta inklusif daripada semua pihak agar tahap  kesedaran seluruh Keluarga Malaysia pada peringkat akar umbi dan syarikat syarikat swasta dipertingkatkan. 

Mesyuarat juga bersetuju dengan penyediaan Laporan Semakan Tempatan (VLR) pada peringkat bandaran dan daerah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan-kerajaan negeri. Sekurang-kurangnya satu laporan akan dihasilkan oleh setiap negeri. 

Setiap negeri digalakkan menyediakan laporan ini sebagai panduan dalam memantau kemajuan Malaysia ke arah pertumbuhan pembangunan negara  bagi mengimbangi aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi. 

Selain itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta supaya segera memuktamadkan rangka kerja pasaran karbon pada penghujung tahun ini (2022) bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.  

Kerajaan komited untuk mencapai Agenda 2030 dan memperkukuhka  tindakan mencapai 17 SDG bagi menjadi negara mampan menjelang 2030  dengan melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dalam arus pembangunan sosioekonomi negara.  


15
16
0
16
0
You will be interested