Alam & Sains 17 Jul, 2024

Pelik bin ajaib! Macam mana boleh bertelur sedangkan semua ayam betina! Masih ramai tak tahu kenapa!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Terkadang apa yang kita tahu tak semestinya orang lain tahu walaupun tentang perkara kecil. Jangan memandang remeh atau rendah apa yang orang lain tak tahu walaupun sekecil-kecil perkara. 

Cara terbaik, kongsi sahaja pengetahuan itu walaupun ia kelihatan kecil. Mungkin bagi kita kecil, tapi orang lain menganggapnya perkara besar.

Apatah lagi zaman sekarang ilmu pengetahuan boleh dicari dan dikongsi dalam media sosial secara pantas dan mudah. Cuma, untuk mencari dan berkongsi ilmu dalam media sosial memerlukan kebijaksanaan atau kata mudahnya tidak disalah guna. 

Media sosial paling agresif dan makin mendapat sambutan ialah TikTok. Pelbagai maklumat, ilmu yang dapat dipelajari dalam aplikasi terpaling popular ini.


Telur ayam.


Kisah seorang pengguna TikTok, Aien Alaam atau nama sebenarnya, Nur Ain Ahmad Fawizi, yang berkongsi pelbagai maklumat mengenai penternakan ayam penelur (Lohman Brown), sangat memberi manfaat kepada orang ramai. 

Walaupun ada sesetengah netizen berperangai agak menjengkelkan dengan soalan dan tuduhan tidak masuk akal, namun ia tetap ada kebaikannya.

Kisah Nur Ain pernah dilaporkan oleh media popular. Menurutnya, tindakannya memelihara ayam penelur adalah disebabkan krisis telur yang pernah melanda negara pada tahun 2023 lalu. Sementelah suaminya sebelum ini berpengalaman menternak ayam kampung, jadi ia tidak menjadi masalah untuknya menternak ayam penelur.

Berbalik kepada soalan dan tuduhan daripada segelintir netizen yang seakan-akan tidak percaya Nur Ain menternak ayam penelur, wanita ini tidak mudah melatah. Dia sebaliknya menjawab tuduhan itu dengan tenang berserta bukti. 

Video yang dikongsi telah menjawab segala tuduhan netizen yang mendakwa Nur Ain menipu dengan meletakkan telur yang dibeli di kedai.



Di sebalik penjelasan tersebut, ada maklumat yang menarik perhatian ramai. 

Ia bukan isu telur dibeli di kedai tetapi penjelasan Nur Ain mengatakan ayam penelur yang diternaknya itu semuanya betina. Ya, itulah kata kunci yang menarik netizen untuk bertanya lebih lanjut. 

Dalam ruangan komen, ramai terkejut dan mendakwa bahawa mereka baharu mengetahui ayam penelur tidak memerlukan ayam jantan untuk menghasilkan telur.

Seperti yang dikatakan awal-awal tadi, mungkin bagi sesetengah orang, mereka sudah lama tahu hal itu. Namun, masih ramai juga yang belum tahu mengenai hal tersebut.

"Dik, ayam Lohman Brown tu tak payah bersenyawa pun boleh bertelur ya? Sebab awak cakap semuanya betina. Subhanallah, baru makcik tahu. Terima kasih atas perkongsian," ujar salah seorang netizen.



Begitu juga dengan seorang lagi netizen yang keliru dengan keadaan tersebut. Dia seolah-olah tidak dapat menerima logik keadaan tersebut.

"Macam mana ia bertelur sedangkan semuanya ayam betina? Maaf, saya tak faham," soal netizen tersebut.



Menurut Nur Ain, memang itu sebenarnya sifat semula jadi ayam betina. Ia tidak memerlukan ayam jantan untuk menghasilkan telur. Cuma, telur tanpa pensenyawaan daripada ayam jantan, maka tiada benih. 

Jadi, telur tersebut tidak akan menetas. Sekiranya mahu dibiakkan telur tersebut, baru ayam jantan diperlukan.

Semoga dengan penjelasan ini memberi pengetahuan kepada orang ramai. 

Sifirnya mudah sahaja, ayam betina tetap boleh menghasilkan telur tanpa pensenyawaan daripada ayam jantan. Tetapi kalau mahu ia menetas (dibiakkan), maka ayam jantan diperlukan. - KitaReporters


13
12
0
14
0
You will be interested