KISAH kaum Thamud disebut sebanyak 26 kali di dalam al-Quran untuk dihayati oleh umat manusia. Kaum ini menetap di kawasan pergunungan Athlab di Madain Saleh (yang juga disebut Al-Hijr), Arab Saudi. Kaum ini sangat pandai dalam mengukir dan memahat. Kemahiran itu membolehkan mereka memahat bukit sehingga mampu dibangunkan menjadi sebuah kota yang berkembang maju dan hidup makmur. : KitaReporters
Lagi kisah-kisah berkaitan nabi:
https://kitareporters.com/search?search=nabi
Namun, kaum Thamud tidak mengenal Tuhan. Seperti dikisahkan dalam al-Quran, Allah S.W.T telah mengutus Nabi Saleh AS untuk memimpin kaum ini dari jalan sesat kepada jalan yang benar.
Akan tetapi, masih ramai yang berdegil dan enggan menerima dakwah Nabi Saleh AS, walaupun Allah telah memakbulkan mukjizat untuk Nabi Saleh AS dengan mengeluarkan seekor unta betina dari sebongkah batu besar.
Walaupun Nabi Saleh AS berpesan kepada umatnya agar tidak menyakiti unta tersebut, ia tidak dihiraukan. Sebaliknya, kaum Thamud ingkar dan telah membunuh unta tersebut dan merancang untuk membunuh Nabi Saleh AS pula.
Akhirnya, kaum ini dibinasakan oleh Allah. Mereka diranapkan dalam gempa bumi yang dahsyat diiringi halilintar.
Firman Alllah berbunyi, “Dan satu tempikkan suara yang menggempakan bumi menimpa orang-orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di rumahnya. Seolah-olah mereka belum pernah tinggal di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Thamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Thamud.” (Surah Hud, ayat 67-68).
Para ulama tafsir mengatakan, tiada seorang pun keturunan Thamud yang terselamat, kecuali Nabi Saleh AS dan orang-orang yang mengikutinya. Namun, sisa-sisa peninggalan kaum tersebut masih boleh dilihat hari ini, sebagai bukti kebenaran al-Quran.
Madain Saleh, sebuah hamparan kota batu yang terletak di selatan Jordan pada hari ini, menjadi saksi bisu akan kebinasaan kaum Thamud. Kota berkeluasan lebih 25 kilometer persegi ini juga dikenali sebagai al-Hijr atau Hegra, kini menjadi kota sejarah yang juga tapak arkeologi yang dipelihara.
Inilah kota purba yang satu ketika dahulu dihuni kaum Thamud. Kota ini dijaga rapi dan sekelilingnya dipagar. Pelawat hanya boleh memasukinya melalui satu pintu masuk yang dikawal ketat.
Dalam buku catatan Mostafa Badawi berjudul ‘Ancient Prophet of Arabia’, diceritakan kaum Thamud hidup sekitar 3,000 tahun Sebelum Masihi (SM). Kaum ini memahat bukit dan gunung untuk dijadikan seni bina yang seakan mirip dengan peninggalan tamadun Yunani dan Rom. Ukiran dan pahatan kaum ini masih utuh dan boleh dilihat ke hari ini di sepanjang Gunung Athlab di Arab Saudi dan sekitar Lembah Petra di Jordan.
Para ahli arkeologi yang melakukan kerja-kerja ekskavasi di kawasan ini berjaya menemukan 132 buah pahatan di bukit berbatu berupa bangunan. Setiap bangunan ini mempunyai fungsi tersendiri seperti rumah, istana, tempat pemujaan dan makam.
Daripada jumlah tersebut, ada empat jenis ukiran yang dikategorikan sebagai bangunan utama.
Pertama adalah ‘Qasr al-bint’ – istana yang dikhususkan untuk puteri-puteri raja. Berbanding bangunan lain, Qasr al-bint adalah yang terbesar dengan ketinggian mencapai 16 meter, atau menyamai bangunan empat tingkat.
Bangunan kedua ialah ‘al-Diwan’ yang digunakan untuk upacara keagamaan dengan ketinggian mencapai lapan meter. Bangunan ketiga pula ialah ‘Alfarid’ dan saiznya tidak terlalu besar. Manakala bangunan keempat ialah ‘Area C’ di mana saiznya kira-kira menyamai sebuah rumah.
Kajian mendapat kemusnahan besar kota ini akibat gempa bumi. Zeidoun Al-Muheisen, pakar arkeologi dari Yarmouk University, Jordan, yang melakukan kajian di kawasan itu sejak tahun 1979 mendapati, hanya 15 peratus bekas kota kaum Thamud yang berjaya ditemui. Sebahagian besar lagi masih tertanam di bawah tanah. - KitaReporters