Alam & Sains 05 May, 2021

COVID-19: Kes harian terus bertambah! Penduduk daerah Besut kemungkinan besar dikenakan PKP?

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Daerah Besut, Setiu dan Kuala Nerus kini berstatus Zon Merah


PENDUDUK di Daerah Besut, Terengganu, kemungkinan kembali berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal dilaksanakan oleh pihak berkuasa berikutan berlaku peningkatan berterusan kes COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Ketika ini, Besut berada dalam zon merah bersama Setiu dan Kuala Nerus, manakala Marang dan Dungun (zon kuning) Kuala Terengganu (zon jingga), Kemaman dan Hulu Terengganu, zon hijau.


 Lagi cerita-cerita utama berkaitan PKP

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman


Kemungkinan pelaksanaan PKP di daerah tersebut semakin kukuh apabila dua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Terengganu masing-masing memuat status menerusi Facebook milik mereka pada Rabu 5 Mei 2021.

Ketika membayangkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, ketika ini daerah Besut sudah merekodkan tujuh kes kematian iaitu yang tertinggi di Terengganu.

Katanya, peningkatan kes COVID-19 di daerah tersebut juga sudah merebak hampir kesemua mukim di daerah itu termasuk kes-kes aktif.

“Ketika ini empat pesakit COVID-19 dari daerah Besut berada di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dalam keadaan kritikal,” katanya menerusi catatan Facebook milik beliau pada 5 Mei 2021.


Kredit foto: Facebook Mohd Nurkhuzaini


Selain itu, katanya tiga bazar Ramadan di daerah tersebut iaitu Kuala Besut, Pasir Akar dan Bukit Kenak serta sebuah bank perdagangan di bandar Jertih  sudah diarah tutup oleh pihak berkuasa tempatan.

 “Masalah laluan tikus yang banyak di sempadan Besut - Kelantan menyukarkan lagi untuk pengawalan. Walaupun sudah 16 laluan tikus telah ditutup, tetapi telah wujud 20 laluan baharu secara haram,” tambah beliau.

Katanya, demi untuk mengawal penularan wabak, kerajaan negeri tidak ada justifikasi dan hujah yang kuat lagi untuk pertahankan agar tak diadakan PKP di seluruh Besut.

Beliau berkata, jika kemungkinan perkara itu berlaku  penduduk perlu bersabar untuk tempoh dari 7 Mei hingga 21 Mei 2021 untuk  menghadapi PKP sekali lagi.

 “Kita sama-sama tunggu pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya.


Daerah Besut menrekodkan kes harian tertinggi sejak kebelakangan ini


Seorang lagi pemimpin negeri ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim, turut membayangkan perkara sama akan berlaku PKP di daerah Besut.

Menerusi catatan dalam akaun Facebook miliknya Dr Azman yang juga ADUN Kawasan Jabi berkata, sedaya yang mampu pimpinan kerajaan negeri dari Besut telah cuba untuk berhujah mempertahankan agar tidak dikuatkuasakan PKP di daerah kita. 


Dr Azman Ibrahim


Kredit foto: Facebook Dr Azman Ibrahim


“Akhirnya walaupun berat kita perlu akur bahawa sesuatu tindakan perlu dibuat untuk kepentingan umum,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan rakyat Terengganu perlu bersabar untuk tempoh dua minggu mendatang bagi menghadapi PKP sekali lagi. 

“Tunggu pengumuman rasmi daripada pihak berwajib. Insya-Allah kami sentiasa bersama rakyat melalui hari-hari sukar ini.” katanya. - KitaReporters


Arahan penutupan sebuah surau di Seberang Jertih

 

 

1
4
19
3
2
You will be interested