Seringkalinya gotong-royong diadakan sempena menyambut hari atau peristiwa tertentu. Bagamana pun pada 27 Oktober 2025 lalu, gotong-royong dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan telah memberi perhatian terhadap persekitaran dan kelestarian pulau.

Bagi memastikan khazanah marin terpelihara serta menceriakan persekitaran pulau, inisiatif telah diambil melalui program lestari laut.
Inisiatif gotong royong Pulau Taman Laut Melaka yang telah diadakan di Pulau Dodol menjadi wadah penting kerana projek kebersihan itu turut melibatkan Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Rela, Perbadanan Melaka (Mcorp), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA), Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) serta Bahagian Promosi Pelancongan, (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka.


Aktiviti ini memberi tumpuan terhadap aspek kelestarian dengan membersihkan kawasan pantai dan pesisir.
Ia bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap penjagaan ekosistem marin serta memperkenal Pulau Dodol sebagai produk pelancongan berasaskan pelancongan alam semula jadi (eco-tourism) di negeri ini.
Malah penganjuran program sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat tanggungjawab bersama terhadap alam sekitar, sebaliknya turut menyokong usaha ke arah destinasi pelancongan hijau dan lestari yang memberi keseimbangan antara pembangunan serta pemeliharaan alam. - KitaReporters

