Alam & Sains 19 Aug, 2022

Sakit di mata, sakit di hati! Iktibar daripada musibah! Bencana banjir lumpur di Kpg Iboi, Baling!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

MELIHAT berita tentang bencana banjir lumpur di Baling, Kedah pada 4 Julai 2022 lalu, hati saya terus berdetik. "Aku mesti berusaha untuk melihat sendiri dan memberi sumbangan walau sedikit". 

Hati benar-benar tersentuh. Mendengar luahan dan rintihan mangsa yang terlibat menerusi kaca TV, jiwa halus saya meruntun. 
Jika saya masih kuat dan sihat tentu banyak yang saya boleh bantu mengikut cara saya. 
Alhamdulillah. Kuasa Allah jadi penentu. Dengan kudrat dan kesihatan yang Allah kembalikan, hajat saya hendak ke Baling tertunai juga walaupun dua kali tertangguh disebabkan cuaca yang tidak menentu. 
Allah Maha Mendengar dan faham isi hati hambaNya, saya yang kerdil ini. 

Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan banjir di Kampung Iboi


Dan pada hari Sabtu, 6 Ogos 2022 lalu, saya menjejak kaki di kawasan bencana, Kampung Iboi, Baling bersama grup SAHOCA Bikers Legend yang diketuai oleh ketua konvoi Cikgu Shafferi Rejab dan dibantu oleh Cikgu Shamsulbadri  Ishak. 
Syukur alhamdulillah. Segala perancangan kami dipermudah dan berjalan lancar. 
Jika  tiga minggu lalu saya hanya melihat berita dan gambar kejadian daam kaca televisyen tapi akhirnya saya melihat sendiri keadaannya. Semua terpapar di hadapan mata. 



Menyusuri pekan Baling suasana nampak tenang. Penduduknya menjalani kehidupan macam tidak ada apa-apa berlaku. Orang berniaga macam biasa mencari rezeki untuk menampung hidup. 

Memasuki ke kawasan Kampung Iboi destinasi yang dituju hati saya mula terusik. Bergenang air mata. 

Jalan-jalan yang berlumpur dan di kiri kanan terpapar kemusnahan akibat banjir lumpur berpunca daripada kepala air dari Gunung Inas yang berlaku pada 4 Julai 2022 lalu itu. 

Longgokkan kayu, pokok pokok tumbang, ranting kayu dan dahan serta perkakas rumah, barangan letrik tersadai tak dipedulikan sepanjang laluan. 
Rumah-rumah yang musnah hanya kelihatan serpihan bumbung.. Ada yang masih berdiri tetapi menunggu masa rebah ke bumi. Kebanyakan kawasan yang dilanda musibah kelihatan sangat menyedihkan. 


Sedih, sayu dan insaf melihat ujian Allah kepada penduduk di Kampung Iboi, Baling ini. Saya yang melihat pun sangat sedih, apalagi mereka yang terbabit. 
Sungai- sungai yang dahulunya menjadi kawan kini bertukar menjadi lawan. Dengan arus yang deras apa-apa sahaja boleh berlaku. 
Sungai yang menjadi tempat bermandi-manda dan bersantai anak- anak kampung kini tidak semesra dahulu. 
Semuanya berubah sekelip mata. Dari jernih airnya berubah menjadi seperti teh tarik di kedai mamak.  Dari cantik mata memandang menjadi sakit  pula di hati. 


Kebanyakan penghuni rumah masih trauma. Ada yang sudah pulang untuk membersihkan rumah sementara ramai yang kekal menumpang di rumah anak dan saudara mara yang tidak terjejas dengan musibah yang berlaku. 
Takut kejadian berulang menjadi alasan walau hati berat meninggal kediaman yang berpuluh-puluh tahun sudah didiami. 
Halaman rumah yang dulunya cantik dipandang dengan tanaman pokok bunga, kini bertukar menjadi pemandangan yang amat mengusik hati.
Perabot yang rosak, karpet dan barangan lain berselerak di hadapan rumah. Tersadai tanpa disentuh. Nak cuci pun berfikir panjang. 
Penat belum hilang, takut banjir datang lagi. 


Kerakusan manusia mengejar kemewahan hidup mengundang musibah kepada penduduk yang tidak berdosa. 

Ya benar, semua ketentuan Allah. Tetapi ingatan dan bersyukur kepada nikmat dan anugerah Allah juga perlu diambil kira oleh kita hamba-Nya yang kerdil dan serba kekurangan. 

Apa yang berlaku di Kampung Iboi anggaplah sebagai teguran daripada Allah. Semoga penduduk di Kampong Iboi dan sekitarnya diberi kesabaran dan ketabahan untuk meneruskan kehidupan mereka. 
Kita hanya melihat, mereka yang menanggung. Sesungguhnya Allah sayang, sebab itu Dia uji. 

Kita yang mudah lupa. Lupa pada kebesaran Allah. Lupa hubungan sesama manusia


Penulis, Normala Hmzah.


Semoga penduduk Kg Iboi dan penduduk Baling menerima dengan reda apa yang berlaku. Semoga keharmonian dan ketenangan di Baling pulih sepenuhnya. 

Kepada yang rakus mengejar duniawi, yang penting diri, Istiqomahlah. Didik hati menghargai ciptaan Allah, menghargai sesama manusia.
Cukup-cukuplah mengejar harta dan nikmat dunia.  Hidup ini hanya sementara. Jangan usik kerja Allah. Dia perancang terbaik. - KitaReporters

16
5
0
15
0
You will be interested