Alam & Sains 20 Apr, 2020

TERIMA KASIH!! KEMAS BESUT SEDIA 1,500 UNIT PPE

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

BERBEKAL semangat setiakawan dan sifat prihatin dengan keselamatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas barisan hadapan lain yang berdepan kekurangan bekalan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE), pelbagai pihak tampil memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan. : KitaReporters 

Sukarelawan KEMAS Besut sedang menjahit  Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE), 


Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) antara agensi yang turut mengambil inisiatif membantu membekalkan baju makmal pakai buang, topeng muka, sarung kaki dan sarung tangan.

Secara kebetulan KEMAS mempunyai tenaga sukarela yang mahir dalam bidang jahitan selain kelengkapan untuk menjahit kerana agensi itu mempunyai bengkel jahitan sendiri. 

Begitulah hasrat seluruh warga KEMAS Negeri Terengganu khususnya KEMAS Daerah Besut yang memulakan langkah dalam membantu membekalkan kelengkapan keperluan PPE kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kegunaan barisan hadapan negara di daerah Besut, Terengganu dalam menangani wabak COVID-19.

Aktiviti menghasilkan PPE ini telah diadakan di Bengkel Jahitan KEMAS Kampung Raja, Besut dengan kekuatan 12 orang yang terdiri daripada tiga orang Pemaju Masyarakat KEMAS dan tiga lagi merupakan peserta Kelas Jahitan KEMAS

Kesemua mereka adalah sukarelawan KEMAS yang telah diberikan amanah untuk menggalas tugasan ini.

Pegawai KEMAS Daerah Besut, Masnida Mat Kudin 


Pegawai KEMAS Daerah Besut, Masnida Mat Kudin berkata, bagi fasa pertama pihaknya menyiapkan sebanyak 1,500 unit PPE seperti Baju Makmal Pakai Buang (Disposable Lab Coat), topeng muka, sarung kaki dan sarung tangan.

Katanya, apabila siap, pihaknya akan menyerahkan peralatan tersebut kepada Pejabat Kesihatan Daerah Besut dengan harapan agar ianya dapat melicinkan segala urusan barisan hadapan negara kita.

Topeng muka hasil sukarelawa KEMAS Besut untuk kegunaan anggota TUDM Gong Kedak, Besut


Beliau berkata, Pemaju Masyarakat dalam bidang jahitan yang merupakan tenaga pengajar dan pelatih kelas Jahitan yang menjadi Sukarelawan Kemas. 

Menurutnya, kesemua mereka juga mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada para sukarelawan KEMAS yang telah menyumbangkan masa, tenaga dan kemahiran mereka dalam merealisasikan hasrat yang murni ini," katanya.

PPE yang sudah siap dijahit di bengkel KEMAS Besut untuk kegunaan petugas barisan hadapan


Beliau berkata, dana untuk membeli peralatan disediakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Terengganu dan dibantu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Masnida (kanan) menyusun PPE yang sudah siap untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukannya.


Selain untuk KKM, pihak KEMAS Besut juga turut membekal peralatan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut dan Pasukan Unit Gerak Khas (PUGK) Terengganu.

Masnida berkata, untuk peringkat awal pihaknya akan membekalkan 100 unit alat pelindung muka kepada TUDM yang berpangkalan di Gong Kedak, Besut. - KitaReporters

 

9
1
1
0
0
You will be interested