Alam & Sains 15 Apr, 2020

GIATMARA GANU SUMBANG 1,117 PPE! YANG LAIN?

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

MESKIPUN hanya duduk di rumah, bukan bererti tidak menyumbangkan khidmat bakti kepada negara untuk memerangi pandemik COVID-19 kerana secara tidak langsung kita memutuskan rantaian jangkitan. Melihat kepada keadaan itu, GiatMARA (GM) Negeri Terengganu turut sama mengikuti arahan kerajaan supaya se ua pelatihnya duduk di rumah. : KitaReporters

Dr Normahizan (kiri) dan Rasmadi Ibrahim pada majlis penyerahan PPE kepada Pejabat Kesihatan Besut, Terengganu.


Dalam pada itu, pelatih-pelatih tidak mengabaikan tanggungjawabnya untuk membantu golongan yang memerlukan pada saat negara memerlukan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Justeru, pusat kemahiran GIATMARA tidak ketinggalan mahu melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR) bagi membantu para petugas barisan hadapan.

Kerana itu, GIATMARA Negeri Terengganu mengambil inisiatif menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di Negeri Terengganu ini dalam membendung penularan wabak COVID-19

Sehingga kini, pusat berkenaan sudah menyumbang sebanyak 1,117 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Dungun (674) dan Pejabat Kesihatan Kampung Raja, Besut (443).

Pengarah GIATMARA Terengganu, Wan Ahmad Roslizam Wan Husain 


Pengarah GIATMARA Terengganu, Wan Ahmad Roslizam Wan Husain berkata program CSR ini membabitkan sepuluh tenaga pengajar Pusat GIATMARA Ketengah, Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Besut serta dibantu oleh lepasan pelatih dan usahawan GIATMARA.

"Projek menjahit PPE itu dimulakan pada 1 April 2020 di GM Kuala Nerus (Disposable Gown), 7 April-9 April di GM Marang (Head Cover) dan GM K. Terengganu (Sarung Kaki) dan 8 hingga 10 April 2020 di GM Besut (Disposable Gown) ”  katanya.

Selain itu, GIATMARA negeri ini mempunyai lima pusat latihan GM yang menawarkan kursus jahitan dan memiliki peralatan yang mencukupi, maka pusat tersebut juga tidak mahu ketinggalan bagi membantu menghasilkan PPE sebanyak yang termampu.

Begitu juga, Komuniti Usahawan GIATMARA (KUG) iaitu lepasan pelatih dan usahawan juga terpanggil untuk membantu dan mereka bersepakat melakukan program berkenaan secara sukarela menjahit di rumah masing-masing.

Contoh PPE yang dihasilkan oleh GiatMara Besut


"Dalam melaksanakan Program CSR ini, kami mengamalkan langkah kebersihan dan pencegahan dengan sentiasa menggunakan hand sanitizer dan face mask, serta mematuhi social distancing sekurang-kurangnya satu meter.

"Kesanggupan 18 pelatih GIATMARA Besut membantu pusat itu menghasilkan PPE untuk diagihkan kepada petugas hospital yang memerlukan pakaian berkenaan amat dihargai dan disanjung masyarakat," katanya lagi.

Proses memotong PPE untuk dihantar kepada tukang jahit di rumah pelatih


Tindakan pelajar terbabit yang bekerja menjahit PPE di rumah masing-masing  amat tepat kerana menuruti perintah PKP yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Sementara itu, Pengurus GIATMARA Besut, Rasmadi Ibrahim berkata, pihaknya bangga kerana pelajar terbabit sanggup tinggal di rumah dan melakukan kerja menjahit PPE untuk diagihkan kepada pihak terbabit.

Katanya, sekumpulan pelatih lain melakukan kerja memotong PPE di pusat, manakala yang lain berada di rumah untuk menjahit.

PPE yang dihasilkan oleh pelatih GiatMara Besut untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Besut


Beliau berkata, majlis penyerahan 443 helai PPE yang sudah siap dijahit telah diadakan di Pejabat Kesihatan Daerah Besut untuk diagihkan kepada petugas di hospital. 

Beliau sendiri menyerahkan PPE itu kepada Pegawai Kesihatan Keluarga Besut, Dr Normahizan Ahmad dalam satu majlis ringkas di Pejabat Kesihatan Daerah Besut pada Selasa, 14 April 2020. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

1
1
0
0
0
You will be interested