Alam & Sains 27 May, 2021

Nak buat haji 2021? Arab Saudi hanya iktiraf Pfizer, AstraZeneca, Johnson & Johnson, Moderna!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


KERAJAAN Arab Saudi hanya membenarkan pengambilan empat vaksin Covid-19 iaitu sama ada Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson atau Moderna sahaja kepada bakal jemaah haji tahun 1442/2921 ini selain mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan demikian dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur pada 24 Mei 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mekah


Kredit foto-foto: FB Haramain


Menurutnya, bermula Mac 2021, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyarankan agar bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Saya ingin menasihatkan bakal jemaah haji untuk bersabar dan membuat persiapan sebaiknya daripada sudut ilmu, fizikal, spiritual dan semestinya mendaftar untuk pengambilan vaksin Covid-19 agar pelaksanaan ibadah haji di Tanah Suci kelak berjalan lancar.

“Pihak TH juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di sana (Arab Saudi).

Kursus asas haji selama 13 minggu juga telah berjaya dianjurkan dengan lancar di seluruh negara secara dalam talian bagi melengkapkan bakal jemaah haji dengan ilmu pengetahuan dan maklumat terkini serta gambaran suasana semasa di Tanah Suci,” ujar Dr. Zulkifli.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.  


Sementara itu katanya, pihak kerajaan Malaysia dan TH masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji negara, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan ibadah untuk musim haji pada kali ini.

Menurut Dr Zulkifli, TH sedang giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci sejak tahun 2020 bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun 2021 ini. 

Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri. Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Mekah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya.



“Marilah sama-sama kita berdoa agar urusan bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci dipermudahkan Allah. 

"Kerajaan Malaysia akur dengan apa jua keputusan berkenaan kebenaran mengerjakan ibadah haji dan kuota jemaah haji negara daripada Kerajaan Arab Saudi kelak. Kerajaan Malaysia akan mengumumkan keputusannya kepada bakal jemaah haji sejurus  mendapat kenyataan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin menjunjung kasih atas keprihatinan Khadimul Haramain al-Syarifain Raja Salman Abdulaziz dan sekalung penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas usaha dan komitmen dalam menyediakan perkhidmatan yang cemerlang saban tahun kepada jemaah haji daripada seluruh dunia khususnya Malaysia,” katanya. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested