Alam & Sains 17 Aug, 2021

Helo YB-YB! Liputan internet lemah! 100 pelajar di Perumahan Awam Labis sukar ikuti kelas online!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Mazidah Munawir, pelajar tahun dua jurusan Sains Mathmatik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terpaksa 'melepak' di pondok perhentian bas setiap kali mahu mengikuti kuliah secara dalam talian. 


HAMPIR 100 pelajar di Perumahan Awam Labis, Johor berada dalam keadaan tersepit sama ada 'mahu' ponteng kelas yang dijalankan secara dalam talian dan tercicir dalam pelajaran atau berdepan tindakan undang-undang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak lebih setahun lalu sekiranya berada di tempat awam untuk mendapatkan liputan internet bagi mengikuti kelas dalam talian.

Situasi tersebut berlaku disebabkan kebanyakan daripada mereka sukar mendapatkan liputan internet memandangkan rangkaian terlalu lemah di kawasan tersebut  yang mana hanya beberapa lokasi awam seperti perhentian bas, taman permainan, padang bola atau berhampiran jalan raya utama sahaja yang mempunyai liputan internet yang agak baik bagi membolehkan mereka mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Internet

Esak Ahmad


Salah satu menara komunikasi yang terdapat berhampiran kawasan penduduk Perumahan Awam Labis, Johor.


Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Esak Ahmad, 60, berkata, situasi tersebut bukan perkara baharu yang terpaksa dihadapi pelajar-pelajar di Perumahan Awam Labis dan mengakui sering menerima aduan berhubung perkara tersebut daripada ibu bapa mengenai kesukaran anak mereka untuk mengikuti PdPR yang dijalankan.

“Saya berharap perkara ini mendapat perhatian pihak berwajib serta syarikat penyedia perhidmatan telekomunikasi (telco) untuk mengatasi masalah tersebut dengan segera bagi memastikan golongan pelajar di sini tidak tercicir demi kepentingan masa depan mereka terutama bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

“Saya akui pembelajaran mereka sememangnya terjejas disebabkan terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa ponteng kelas. 

"Pada masa sama, mereka tidak berani untuk mengikuti proses PdPR di kawasan awam kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa kerana melangar SOP,” katanya ketika ditemui.


Muhammad Hambali bersama adiknya, Muhammad Hafiz sedang mengikuti pembelajaran dalam talian di hadapan Dewan Serbaguna Perumahan Awam Labis. 


Katanya, lebih malang lagi terdapat ibu bapa yang berkemampuan cuba melanggan perkhidmatan TM Unifi, namun usaha tersebut juga tidak menemui jalan penyelesaian berikutan perkhidmatan tersebut juga terlalu lemah liputannya disebabkan tiada kemudahan fiber optik, sebaliknya menggunakan teknologi copper ke kawasan tersebut seperti yang dimaklumkan oleh penyedia perkhidmatan iaitu pihak Telekom Malaysia (TM).

Pada masa sama, Esak turut mengesa Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tenang, Solihan Badri yang juga merupakan Exco Pengangkutan, Kerja Raya dan Infrastruktur negeri Johor serta Ahli Parlimen Labis, Phang Hok Liong serta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) negeri Johor untuk turun padang meninjau serta mencari jalan untuk menyelesaikan segera masalah yang dihadapi pelajar-pelajar di perumahan awam tersebut.


Muhammad Hambali pelajar tahun pertama jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) sedang mengikuti kelas secara dalam talian di kawasan Dewan Serbaguna Perumahan Awam Labis yang merupakan saah satu lokasi terdapat liputan terbaik internet.


"Saya dapati terdapat juga dalam kalangan pelajar yang mengambil keputusan untuk bertandang ke rumah saudara-mara atau kenalan mereka di Felda Chemplak atau pekan Labis yang terletak kira-kira empat kilometer setiap kali ingin mengikuti kelas secara dalam talian.

"Tindakan ini dikhuatiri boleh mengundang risiko kepada mereka bukan sahaja risiko kemalangan jalan raya malah risiko dijangkiti Covid-19 sekiranya mereka terleka atau gagal mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika berada di lokasi tersebut," katanya.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan penyelesaian jangka pendek melibatkan mereka yang mempunyai kemudahan pengangkutan serta pelajar pada peringkat pusat pengajian tinggi atau menengah atas sahaja, tetapi bagaimana pula bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan atau pelajar peringkat sekolah rendah yang tidak mampu berbuat demikian.

Katanya, usaha meningkatkan capaian internet di kawasan tersebut bukanlah sesuatu mustahil  memandangkan sudah terdapat beberapa menara tekekomunikasi di sekitar kawasan tersebut yang mana jaraknya hanya kira-kira tiga kilometer dari kawasan perumahan berkenaan.

Menurutnya, demi masa depan golongan tersebut, dia berharap pihak berwajib tidak memandang ringan perkara ini dan usaha untuk menyelesaikannya perlu digerakkan seberapa segera memandangkan tiada jaminan bila masalah Covid-19 ini akan berakhir dan sekolah dapat dibuka semula seperti biasa. 


Muhammad Hafiz pelajar darjah lima SK Pekan Ayer Panas, Labis sedang mengikuti PdPR di hadapan Dewan Serbaguna Perumahan Awam Labis yang merupakan salah satu lokasi terdapat liputan internet


“Memang terdapat kenyataan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat-peringkat bermula September depan, namun apakah jaminan kepada ibu bapa berhubung keselamatan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah secara bersemuka dalam keadaan kes Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

“Kalau pun sekolah dibuka seperti biasa, persoalannya apakah ibu bapa akan berasa selamat untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah ketika kes harian yang mencecah angka belasan ribu sehari sedangkan majoriti pelajar merupakan golongan yang belum diberi atau mereka ini belum layak untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.- Kita Reporters


Muhammad Haikal Fitri Kamal, penuntut Institut  Latihan Kemahiran Bukit Katil, Melaka mengikuti kuliah di tepi padang bolasepak.

0
2
3
1
0
You will be interested