Alam & Sains 07 Feb, 2021

Inisiatif Cikgu Ku Liana! Pelakon serba boleh PdPR! Kreatif tingkat kefahaman, hilang kebosanan

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


“INI merupakan inisiatif dan cara kreatif saya bagi menarik perhatian serta tumpuan murid apabila melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kesan daripada merebaknya pandemik Covid-19.

“Kebiasaannya seorang kanak-kanak hanya mampu memberi perhatian 15 minit sahaja kepada pengajaran guru apatah lagi dalam situasi tidak dapat bersemuka, mereka akan cepat jemu dan hilang tumpuan atau berasa bosan kerana itu saya memikirkan cara terbaik bagi mengatasinya,” kata Cikgu Ku Liana Farhany Ku Abdul Halim.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan guru:

https://kitareporters.com/search?search=guru-guru



Beliau yang mengajar murid daripada Tahun Tiga hingga Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, Arau, Perlis bagi subjek Sains di samping subjek elektif iaitu Pendidikan Seni Visual menganggap PdPR suatu cabaran dalam bidang perguruan.

Ku Liana yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia mempraktikkan cara mengajar PdPR dengan membawa watak bersesuaian dengan topik yang diajar untuk meningkatkan lagi kefahaman dan ingatan murid.


Ku Liana melakonkan watak seorang doktor yang menyeramkan seperti 'hantu' bagi topik Proses Hidup Manusia Tahun Empat.


Menurutnya, menerusi idea yang kreatif dengan melakonkan watak berkaitan sesuatu topik itu akan menguatkan ingatan murid apabila membayangkan lakonan yang beliau bawakan selain menambah keseronokan untuk belajar secara PdPR.

Katanya, sebagai contoh seperti topik Proses Hidup Manusia Tahun Empat, dia akan melakonkan watak sebagai seorang doktor sambil memegang replika gambar jantung bagi menerangkan sistem pernafasan dan sebagainya.


Setiap watak yang dilakonkan akan disertai gambar rajah bagi menghilangkan rasa bosan dalam kalangan murid.


“Apabila menerangkan topik Sistem Rangka Manusia Tahun Lima, saya akan menyolekkan diri seperti tengkorak dan untuk topik Mikroorganisma Tahun Enam pula menjadikan diri macam sekeping roti yang berkulat.

“Sambil memberi penerangan dengan disertakan gambar rajah menerusi watak dilakonkan itu akan menghilangkan rasa bosan dalam kalangan murid untuk memberi tumpuan kepada topik  yang diajar selain berasa terhibur apabila diselitkan dengan lagu,” katanya.


Idea kreatif Cikgu Ku Liana sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah seorang guru.


Ku Liana berkata, apa yang dilakukan itu bukan untuk mencari populariti atau dikenali ramai tetapi sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah seorang guru selain mencari kepuasan dalam bidang perguruan yang dicintainya itu.

Menurutnya, ada ibu bapa memberikan maklum balas menerusi aplikasi WhatsApp mengenai anak mereka turut menari dan menyanyi lagu mengiringi topik yang diajar menerusi Google Meet bersesuaian dengan watak beliau lakonkan.


Idea kreatif Cikgu Ku Liana turut mendapat galakan daripada rakan sejawatan, ahli keluarga dan suami.


“Rakan sejawatan dan ahli keluarga termasuk suami turut memberi galakan untuk saya meneruskan cara mengajar PdPR itu di samping memanfaatkan bidang solekan yang saya minati,” katanya. - KitaReporters

21
3
0
0
1
You will be interested