Alam & Sains 19 Mar, 2025

Kembalikan semula! Status Pulau Bebas Cukai sepenuhnya di Langkawi! Seperti pada 1987! - Penduduk

@mohd hussin che rus
Bekas jurufoto bebas bagi sebuah syarikat swasta yang kini menjadi mojo sambilan serta bergiat aktif dalam NGO. Beliau kini menetap di Langkawi. Emel: abgdee63@gmail.com

Share this

 

Menara Maha menjadi mercu tanda di Pekan Kuah Langkawi.

Langkawi telah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Januari 1987 menjadikannya destinasi pelancongan popular dan syurga membeli-belah bagi pelancong tempatan serta antarabangsa.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini perubahan dalam pelaksanaan dasar dan sistem percukaian telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan serta pemain industri pelancongan.


Antara tumpuan pelancong membeli-belah.

Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah telah mohon agar status bebas cukai dikuatkuasakan semula di Langkawi. Status bebas cukai sejak dari 1987 di pulau tersebut telah ditamatkan pada 2021, dan menurut Suhaimi keputusan tersebut telah mengganggu ekonomi penduduk tempatan.

Pada tahun 2021, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di pulau bebas cukai termasuk Langkawi sebagai langkah untuk menangani ketirisan hasil cukai akibat penyeludupan.

Langkah ini bagaimanapun dianggap oleh sesetengah pihak sebagai faktor yang mengurangkan daya tarikan Langkawi sebagai destinasi bebas cukai.

Selain itu, pengecualian cukai di Langkawi telah menyebabkan kehilangan hasil cukai sebanyak RM227.96 juta atau 59.7% berbanding tahun sebelumnya.


Tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Walaupun terdapat peningkatan hasil pelancongan sebanyak 34.9% kepada RM2.4 bilion antara 2022 hingga 2024 kerajaan tetap berhati-hati dalam memperluas skop pengecualian cukai kerana ia boleh memberi kesan langsung kepada kutipan hasil negara.

Sehubungan itu penduduk Langkawi menggesa kerajaan untuk mengembalikan status bebas cukai sepenuhnya di Langkawi bagi merancakkan semula industri pelancongan dan ekonomi tempatan.

Mereka berpendapat bahawa insentif cukai ke atas rokok dan produk tembakau yang dikutip kerajaan sejak 2021 tidak seberapa jika dibandingkan dengan kerugian yang ditanggung oleh pemain industri pelancongan serta kesan negatif terhadap daya saing Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama.


Tumpuan organisasi untuk mengadakan persidangan, forum, mesyuarat dan bengkel.

Penduduk juga menyuarakan kebimbangan mengenai harga barang yang semakin meningkat di Langkawi dipercayai berpunca daripada kos pengangkutan yang tinggi serta cukai yang dikenakan ke atas beberapa produk tempatan seperti rempah, sambal, dan produk makanan lain apabila dihantar ke tanah besar.

Mereka berharap kerajaan dapat memberikan pengecualian cukai kepada produk tempatan serta melaksanakan penyeragaman harga antara Langkawi dan tanah besar dengan kos pengangkutan ditanggung oleh kerajaan.

Selain itu penduduk Langkawi juga mencadangkan agar lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikembalikan kepada status bebas cukai seperti pada awal pengisytiharan pulau ini.

Langkah ini menurut mereka dapat mengembalikan daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama dan menjadikan pulau ini lebih mesra kepada pelancong. 


Keindahan pulau yang mengamit pelancong.

Diharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan permasalahan dan cadangan ini demi memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif dan berdaya saing.

Selain itu, kepentingan penduduk tempatan juga perlu diambil kira terutama dalam menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan. - KitaReporters

12
13
0
21
0
You will be interested