Alam & Sains 08 Jun, 2023

Catatan Akademik| Integriti dan tata kelola Malaysia Madani melalui digitalisasi! Guna AI, data raya!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Sejak dilantik pada November 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali mengingatkan betapa integriti dan tata kelola yang baik adalah tonggak kepada sebuah kerajaan yang berkesan, sesuai dengan slogan Malaysia Madani yang menitikberatkan prinsip kemampanan dan kesejahteraan. 

Kepercayaan umum terhadap institusi negara yang terpalit isu integriti dan rasuah akan tergugat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. 

Selain pelaksanaan undang-undang dan pembudayaan ke atas masyarakat, kerajaan juga boleh memanfaatkan elemen pendigitalan terutama komponen Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam usaha memperkukuh integriti, menangani rasuah selain meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.



Ketelusan Dipertingkat 


Antara komponen utama IR4.0 yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan integriti jabatan kerajaan adalah kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan dan mencegah penipuan dan penyalahgunaan dana kerajaan. 

Melalui teknologi ini, setiap data yang berkaitan kepentingan awam akan direkod dan dianalisis coraknya secara masa nyata, sekali gus mengenal pasti penyelewengan melalui transaksi luar kebiasaan terutama dalam perolehan dan penguatkuasaan. 

Ini dibantu oleh teknologi AI Generatif yang mampu memanipulasi dan mensintesis data sedia ada bagi menghasilkan output yang dikehendaki. 

Republik China umpamanya telah memanfaatkan teknologi ini untuk memantau tingkah laku penjawat awam dalam mengenal pasti potensi berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka. 

Projek antijenayah yang digelar ‘Skynet’ ini digunakan untuk menganalisis data individu dari pelbagai sumber termasuk media sosial, rekod kewangan dan pemantauan Kamera Litar Tertutup (CCTV).

Selain China, Estonia juga merupakan antara negara yang mengaplikasikan AI dalam mengesan penipuan dan pengelakkan cukai dengan lebih cekap dan efisien. 

Usaha ini adalah rentetan pelbagai program digitalisasi cukai yang dilaksanakan negara tersebut sejak tahun 2000. 

Menariknya, ia terbukti meningkatkan kepercayaan awam dengan 91% rakyatnya bersetuju bahawa cukai adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.  

Selain dari penjimatan perbelanjaan sehingga lebih RM1 bilion, penggunaan AI telah meringankan beban kerja penjawat awam sehingga 33% dalam program pembantaian rasuah sekali gus meletakkan negara Eropah Timur itu di kedudukan pertama dalam Indeks Daya Saing Cukai.

Ratusan tuntutan palsu dana PERKESO melibatkan kos RM43 juta antara tahun 2018 sehingga 2022 adalah antara kejadian yang boleh diminimumkan jika jabatan berkaitan mengadaptasi AI dan sains data untuk menganalisis corak tindakan individu terbabit sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang. 

Penggunaan AI dan data raya (big data) juga boleh diperluas untuk mengenal pasti individu atau kumpulan yang berhak mendapat bantuan kerajaan seperti bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bantuan Rahmah dengan lebih holistik. 

Melalui analisis data raya, pemilihan boleh disandarkan atas pelbagai faktor selain dari pendapatan isi rumah seperti tahap keberhutangan, kesihatan isi rumah, keterlibatan dalam bencana, pendidikan anak-anak dan lain-lain. 

Ia menjadikan bantuan lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan selain mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan melalui pemalsuan dokumen dan maklumat peribadi. 

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menganggarkan 10% hingga 25% daripada kos kontrak kerajaan dalam negara membangun telah diselewengkan. 

Antara faktor utama penyelewengan adalah kuasa yang terlampau besar dimiliki individu yang menguruskannya. 

Bagi membendung gejala ini, kerajaan boleh mula meneroka dan mengkaji teknologi Blockchain yang berkosepkan desentralisasi, pengagihan lejar dan mekanisme konsensus dalam penyimpanan data dan rekod. 

Teknologi ini mampu mengurangkan penguasaan secara berpusat, selain menyukarkan satu pihak untuk membuat pengubahsuaian dan pemalsuan dokumen. 

Konsep ini selaras dengan kajian bahawa digitalisasi mampu meningkatkan integriti dengan mengimbangi keterlibatan individu secara terus dalam membuat keputusan yang kritikal, terutamanya dalam kewangan. 



Peningkatan Penyampaian dan Responsif


Teknologi digital juga boleh dimanfaatkan kerajaan untuk melaksanakan reformasi birokrasi yang  meliputi tata kelola yang baik dan ketelusan dalam penyampaian, di samping meminimumkan kesilapan, kelewatan serta dokumentasi yang berlebihan. 

Buat masa ini, Malaysia telah berada di landasan tepat apabila lebih 80% dari penyampaian kerajaan dilaksanakan secara dalam talian melalui portal MyGov sebagai gerbang utama.

Namun, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki contohnya pemerkasaan sistem dan aplikasi janji temu di klinik dan hospital bagi mengurangkan tempoh menunggu.

Pelaksanaan sistem rekod elektronik pesakit contohnya membolehkan keutamaan layanan dibuat berdasarkan kadar kesakitan, sejarah pesakit dan sebagainya. 

Ini boleh dibantu teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) seperti pemasangan alatan ECG dan alat tekanan darah berasaskan-Internet kepada pesakit yang menunggu rawatan untuk tujuan pengambilan data, pemantauan dan amaran.

Pimpinan juga perlu memanfaatkan sepenuhnya digitalisasi untuk berhubung dengan rakyat secara terus. 

Buat masa ini di sebalik kewujudan akaun media sosial, kebanyakan pemimpin politik kurang responsif dan gagal menggunakan sepenuhnya platform tersebut untuk menyampaikan maklum balas kepada rakyat. 

Mungkin selain dari media sosial, komunikasi berkesan dengan rakyat juga boleh dipertingkat dengan penggunaan chatbot atau laman maya seperti Kratt yang diaplikasi di Estonia. 

Melalui kaedah berasaskan AI ini, kerajaan dapat mengenal pasti golongan sasar bagi mendapat makluman berkaitan program-program yang dilaksanakan.

Kerajaan juga disarankan untuk mewujudkan portal terbuka yang membolehkan rakyat mengakses maklumat awam seperti paparan penggunaan bajet yang dibentangkan setiap tahun secara masa nyata menggunakan teknologi ‘Gudang Data’ (data warehouse). 

Ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan membantu menggalakkan akauntabiliti dan memastikan dana awam dimanfaatkan dengan berkesan.


Mulakan dari Pendidikan Tinggi


Laporan dari WEF menyebut 60% dari pekerjaan akan datang masih belum wujud pada waktu ini. Ia merujuk kepada pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan, data sains, data analitik dan seangkatan dengannya.

Bagi memastikan keluncuran dalam pengaplikasian teknologi ini dalam menggerak pentadbiran pada masa akan datang, kerajaan perlu mula menyerapkan teknologi seperti AI Generatif dan Data Raya dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Institusi Pendidikan Tinggi

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) antara lain mencadangkan intervensi dalam PdP sedia ada seperti latihan dan sesi pendedahan AI Generatif selain semakan dasar dan peraturan akademik sekiranya terdapat keperluan untuk pelarasan berkaitan aspek integriti.

Pastinya pendigitalan sahaja tidak mungkin mampu mengurangkan masalah integriti 100%. Ia perlu disokong dengan sikap masyarakat itu sendiri yang jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. 

Tentunya ia bermula dari pimpinan tertinggi, iaitu sejauh mana keinginan dan keazaman mereka untuk membanteras korupsi dan rasuah bermula dari atas sehingga ke akar umbi.


AHMAD WIRAPUTRA SELAMAT ialah Pegawai Teknologi Maklumat Kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg Malim, Perak. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. 


10
14
0
14
0
You will be interested