Alam & Sains 12 Dec, 2020

Bukan lagi zon hijau! Hulu Terengganu tukar jadi zon kuning!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

HARAPAN penduduk Hulu Terengganu untuk mengekalkan rekod sifar kes COVID-19 tidak terlaksana apabila daerah tersebut akhirnya dikategorikan sebagai zon kuning selepas satu kes baharu dikenal pasti pada 12 Disember 2020. Sebelum ini, sejak  wabak COVID-19 menular di negara ini pada awal tahun 2020, daerah tersebut satu-satunya daerah di Terengganu yang sebelum ini bebas daripada jangkitan wabak berkenaan. : KitaReporters 


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus


Bagaimanapun, harapan itu berkecai apabila kes baharu iaitu kes 249 merupakan kes import B dan didaftarkan di mukim Penghulu Diman, Hulu Terengganu

Ketika tujuh daerah lain di negeri ini bergelombang dengan wabak tersebut, Hulu Terengganu tetap kekal sebagai zon hijau apabila tiada sebarang kes COVID-19 direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan  pada 18 Mac 2020 sehinggalah pada 11 Disember 2020. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebooknya.


Status COVID-19 di Terengganu pada 12 Disember 2020


Menurut kenyataan, kes merupakan pesakit terlantar dan mempunyai sejarah perubatan penyakit darah tinggi, diabetes dan angin ahmar. 

"Kes dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada 11 Disember 2020 dengan masalah pernafasan dan seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut. 

"Berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa, kes telah dimasukkan ke ICU dan diberikan alat bantuan pernafasan,"  kata kenyataan itu pada 12 Disember 2020. 


Status COVID-19 mengikut Mukim di Terengganu


Dalam perkembangan lain, penduduk negeri Terengganu, pada hari ini, Sabtu 12 Disember 2020 dikejutkan dengan berita pertambahan enam kes baru COVID-19, yang menjadikan terdapat 13 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 250 kes.

Susulan itu, bagi membendung penularan tempatan dan menjaga zon hijau di negeri ini, individu yang memasuki Terengganu digalakkan hadir ke klinik kesihatan dan hospital berdekatan untuk menjalani penilaian risiko oleh petugas kesihatan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember 2020. 


Notis pemakluman kebenaran Rentas Daerah dan Negeri yang dikeluarkan CPRC Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu


Katanya, sebagai langkah kawalan, mereka ini diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dan menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan.

Beliau berkata, sejak 7 Disember 2020 pihaknya mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu. 

Katanya, kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan.  

"Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk 'protect' (lindung) Terengganu yang situasi COVID-19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu,” katanya.

Dr Noor Azimi berkata, ada  yang masuk dari zon merah tetapi terus ke klinik kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian.

"Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain," ujarnya. - KitaReporters

1
0
3
1
0
You will be interested