SEIRING dengan semakin menurunnya kes baharu penularan penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19 di Wuhan, China, bandar di mana kes tersebut mula-mula dikesan, pihak berkuasa bandar itu menutup 16 buah hospital sementara yang digunakan sebagai tempat merawat para pesakit. : KitaReporters
GAMBAR bertarikh 5 Februari 2020 di mana para pesakit COVID-19 dirawat di hospital sementara yang diubah suai daripada sebuah pusat pameran di Wuhan. Hospital ini kini sudah ditutup. - Kredit foto: Getty/Xinhua.
Proses penutupan selesai dilakukan pada Selasa ,10 Mac 2020.
Antara tempat-tempat yang dijadikan hospital sementara ialah pusat-pusat kemudahan awam seperti pusat pameran dan gimnasium.
Memetik laporan agensi berita Xinhua/Asian News Network, sebanyak 17 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Wuhan pada Isnin, 9 Mac 2020.
Angka ini adalah rekod di mana untuk pertama kalinya jumlah kes yang dilaporkan jatuh di bawah 20 kes.
Angka ini menyerlahkan penurunan yang signifikan berbanding dengan sebulan lalu apabila jumlah kes yang dilaporkan pada 9 Februari 2020 berjumlah 1,921 kes.
Hospital-hospital sementara diwujudkan pada awal Februari 2020 dalam usaha merawat pesakit yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan sederhana serta mengasingkan mereka yang menjadi punca penularan.
Hospital-hospital ini beroperasi merawat ramai pesakit dalam keadaan kakitangan perubatan yang tidak mencukupi serta kemudahan rawatan dan perubatan yang terhad.
PARA petugas perubatan pada 10 Mac 2020 memberi tabik hormat kepada para pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan telah menamatkan tempoh 14 hari kuarantin di sebuah pusat pemulihan di Wuhan. -Kredit foto Xinhua/Xiong Qi
Dengan penutupan dua hospital terakhir pada 10 Mac 2020, kesemua hospital sementara di Wuhan telah menerima dan merawat sejumlah 12,000 pesakit.
Menurut ketua pentadbir Wuhan Union Hospital, Hu Yu, usaha mewujudkan hospital sementara merupakan satu langkah inovatif dan berkesan serta mencapai matlamat merawat lebih ramai pesakit dan membendung punca penularan penyakit.
Wuhan Union Hospital adalah antara hospital yang diberi tanggungjawab menguruskan salah sebuah hospital sementara berkenaan.
Di Stadium Hongshan, Wuchang, kumpulan terakhir 49 pesakit dibenarkan keluar daripada hospital sementara itu pada kira-kira pukul 3.30 petang Selasa, 10 Mac 2020.
Stadium tersebut adalah antara tiga tempat awam yang pertama diubah suai menjadi hospital sementara.
Ini susulan pengumuman pihak berkuasa pada 3 Februari 2020 untuk menyediakan kemudahan rawatan di tempat kemudahan awam.
Pada hari tersebut sahaja, jumlah kes COVID-19 baharu yang disahkan dicatatkan di Wuhan ialah sebanyak 1,242 kes.
PARA petugas perubatan bergembira meraikan kejayaan melaksanakan tugas setelah semua pesakit COVID-19 dibenarkan keluar dari sebuah hospital sementara di Wuhan pada 10 Mac 2020. - Kredit foto: AFP.
Hospital-hospital sementara ini mula menerima pesakit COVID-19 pada 5 Februari 2020.
Sepanjang ia beroperasi sehingga ditutup sepenuhnya setelah kira-kira 35 hari beroperasi, seramai 860 pekerja perubatan dari 14 wilayah dan perbandaran bertugas merawat para pesakit.
Sementara
itu, seorang jururawat, Yang Xiaoyan yang mengakhiri tugas syif enam jam di hospital
sementara Jianghan, yang diubah suai dari sebuah pusat pameran antarabangsa,
mengambil kesempatan bergambar dengan rakan-rakan di dataran di luar bangunan.
Sebelum
kumpulan terakhir pesakit dibenarkan keluar, dia menyanyi beberapa buah lagu
dengan para pesakit dan menasihatkan mereka supaya sentiasa bersikap positif menjalani
tempoh kuarantin.
Xiaoyan yang telah bertugas di hospital tersebut selama lebih 20 hari menyifatkan penutupan kesemua hospital sementara adalah tanda kejayaan dalam membendung COVID-19. - KitaReporters
Laporan dan statistik terkini mengenai COVID-19 boleh diikuti di https://kitareporters.com/coronavirus