Alam & Sains 11 Dec, 2020

Nyaris maut! Pegawai polis Taiwan diserang tebuan gergasi!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

LAZIMNYA, anggota-anggota polis akan sentiasa berdepan dengan serangan penjenayah ketika mereka sedang bertugas terutama sewaktu membuat rondaan. Malangnya kali ini, bukan diserang oleh manusia (penjenayah) tetapi tebuan gergasi Asia yang tidak kurang bahaya sehingga boleh membawa maut sekiranya disengat serangga berbisa itu. : KitaReporters 


Gambar hiasan


Lagi kisah-kisah berkaitan serangga:

https://kitareporters.com/search?search=serangga


Seorang pegawai polis Taiwan telah diserang oleh seekor tebuan "pembunuh" pada bahagian telinganya sebelum dia dapat membunuhnya.

Kejadian berlaku ketika beliau sedang  meronda di kawasan Loji Janakuasa Sungai Dajia di Daerah Heping di Bandar Taichung pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada pada 5 Disember 2020 lalu.


Tebuan gergasi Asia itu sedang merayap-rayap berjalan di bahagian telinga seorang pegawai polis Taiwan ketika beliau sedang bertugas pada 5 Disember 2020. - Kredit foto: FB Chang Wen-yung.


Chang Wen-yung, 51, tidak menyangka tebuan gergasi Asia atau lebih yang dikenali "lebah kepala harimau"  di Taiwan secara tiba-tiba mendarat pada telinga kirinya.

Menurut akaun dalam Facebook beliau yang disiarkan pada Ahad, 6 Disember 2020, Chang menulis bahawa dia terdengar bunyi “buzzing” seperti tebuan berada dekat pada bahagian telinga luar dan tidak berani bergerak serta menepisnya kerana bimbang serangga itu akan menyengatnya. 

Katanya lagi, makhluk itu kemudian mula mengunyah sesuatu ke dalam kawasan sekitar telinganya.

Chang kemudian berjalan perlahan-lahan menuju ke dalam bilik mandi untuk melihat di cermin kedudukan serangga itu.

Dalam keadaan ketakutan beliau sempat pula merakam foto tebuan pada telinganya selama kira-kira lima minit dengan tenang dengan telefon pintarnya.

Akhirnya, arthropod (haiwan invertebrat) itu terbang jauh dari telinganya, dan dengan sepantas kilat Chang menutup pintu bilik mandi dengan memerangkapnya di dalamnya.

Dia kemudiannya mencapai tuala untuk menangkap serangga berbisa itu sebelum membunuhnya. 


Telinga Chang kelihatan berdarah akibat gigitan tebuan Asia itu.  - Kredit foto: FB Chang Wen-yung.


Chang berkata tebuan Asia itu telah mengunyah sebahagian kecil telinganya dan menyebabkan ia berdarah.

Mujurlah, dia tidak disengat oleh serangga berbelang hitam kuning itu dan jika tidak bisanya akan merosakkan tisu organ dalaman tubuh, sekali gus membawa maut.

Beliau berkata ini adalah kali pertama dia diserang oleh tebuan itu sejak dipindahkan ke tempat kerja yang baharu pada bulan Julai 2020 lalu. 


Akhirnya Chang berjaya membunuh tebuan yang dikurung di dalam bilik air dengan menggunakan tuala mandi. - Kredit foto: FB Chang Wen-yung.


Jabatan Bomba daerah Miaoli menegaskan bahawa tebuan gergasi Asia sangat tertarik kepada bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan berwarna terang dengan bau wangian yang kuat.

Pihak bomba juga mengingatkan orang ramai yang gemar melakukan perjalanan atau pendakian ke kawasan pergunungan atau bukit, dinasihatkan tidak memakai pakaian berwarna terang dan haruman minyak wangi, lapor EBC. 

Sekiranya didatangi tebuan gergasi yang sedang berlegar-legar berhampiran kita, jabatan bomba meminta orang ramai supaya tidak cuba memukulnya, sebaliknya bertenang dahulu dan berjalan perlahan-lahan dengan berhati-hati.

Jika seseorang itu disengat dan mengesyaki berlaku tindak balas alahan, mereka perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

Tebuan gergasi Asia atau nama saintifik Vespa mandarinia (Asian Giant Hornets) dikatakan berasal dari Jepun mempunyai ukuran panjang badan 45 milimeter (lebih dua inci), sayap sekitar 75 milimeter (mm), dan sengatan 6 mm panjang, yang mampu menyuntik sejumlah besar bisa berbahaya.

Bisa sengatannya juga mampu membunuh manusia jika disengat berkali-kali.

Tebuan ini lebih suka tinggal di kawasan gunung dan hutan yang rendah dengan suhu yang sederhana panas. Serangga pemangsa ini mudah ditemui di Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tenggara, dan Rusia. - KitaReporters


Sumber: 

https://www.taiwannews.com.tw/en/news/4071486

0
0
0
0
0
You will be interested