Alam & Sains 26 Sep, 2020

Pelajar sekolah kurang iodin! KKM pantau jual garam beriodin

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this

KEKURANGAN iodin menyebabkan kerencatan mental pada kanak-kanak serta kelenjar tiroid yang besar (goitre) dan kekurangan hormon tiroid pada orang daripada semua peringkat umur. Jangan ambil ringan mengenai perkara ini kerana ada akta berkaitan penjualan garam beriodin di negara kita. : KitaReporters 


Lagi cerita-cerita berkaitan kesihatan:

https://kitareporters.com/search?search=kesihatan


Mungkin ramai yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan iodin. Iodin ialah zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan manusia dalam kuantiti yang sedikit namun peranannya penting dalam proses sintesis hormon tiroid di kelenjar tiroid.

Foto: Google Image.


Hormon ini bertanggungjawab dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisma badan manusia di semua peringkat usia. Malah, keperluan zat iodin meningkat sebaik saja hamil.

Zat iodin adalah penting dalam pembentukan otak janin terutama bagi perkembangan otak serta fungsi saraf selain bertujuan mencegah wanita hamil daripada masalah goiter dan hipotirodisme.

Bagi mengelakkan masalah ini, iodin dicampur sekali dengan garam memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

Jangan ambil ringan mengenai perkara ini kerana ada akta berkaitan penjualan garam beriodin di negara kita.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat 25 September 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuatkuasa di seluruh negara pada 30 September 2020.


Pindaan di bawah peraturan ini mewajibkan semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh Malaysia.

Pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

Selain daripada itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goitre. Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum.

Oleh itu, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat.

Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan menyentuh isu berkaitan penjualan garam beriodin.


Pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ia dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.

Penggunaan garam beriodin dalam makanan juga didapati tidak akan menjejaskan dari segi kualiti rasa makanan yang disediakan. Pada masa yang sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi).

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan dan kualiti  makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). - KitaReporters

2
0
0
0
0
You will be interested