SEKARANG sudah masuk musim banjir dan musim bah itu bukan lagi membabitkan negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, malah boleh dikatakan kawasan utama seluruh negara sudah berisiko dinaiki air, demikian kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (gambar bawah). : KitaReporters
Lagi laporan-laporan berkaitan banjir:
https://kitareporters.com/search?search=banjir
Istilah musim tengkujuh itu bukan lagi merujuk negeri itu yang `tenggelam` air setiap hujung tahun kerana banjir akibat hujan lebat itu sudah pun melanda Lembah Klang sehingga kejadian di Kajang baru-baru ini.
Banjir kilat di Lembah Klang sebenarnya banyak berpunca daripada saluran longkang di taman perumahan dan sistem longkang utama bandar raya yang tersumbat. Ini kerana sikap sesetengah penduduk yang mencari jalan mudah membuang sampah sarap di longkang, sungai menyebabkan aliran hujan jadi tersangkut dan lembab.
"Tanggungjawab kita sebenarnya untuk melestarikan alam sekitar kerana ia adalah cabang keimanan paling rendah disebut dalam alQuran. Kita hendaklah membuang halangan seperti kayu, sampah sarap yang menyusahkan perjalanan yang boleh mendatangkan kemudaratan," kat Zaini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan di majlis E-Tahlil dan Imarahkan Malam Jumaat secara dalam talian, anjuran bersama badan kebajikan myEnsani TM bersama Yayasan Tahfiz An-Nisaa pada 25 November 2020.
Kenangan pahit banjir di Kajang. - Kredit gambar: Utusan Malaysia
Majlis yang sudah berlangsung kali ke-6 itu disiarkan ke seluruh negara dan malam itu disertai 60 peserta. Mereka yang ingin mengikuti majlis itu boleh menghubungi myEsani menerusi link yang disediakan oleh pasukan berkenaan.
Zaini berkata dalam kajian tafsiran mengenai sungai dalam al-Quran, yang sedang ditulis bersama Profesor Zulkifli Mohd Yusof, al-Quran menyebut 54 kali tentang sungai dan 41 daripadanya sungai itu dikaitkan dengan keindahan sungai yang mengalir dalam syurga.
"Malah perkataan sungai ini disebut lebih banyak daripada bidadari, bermakna sungai kita harus diperindahkan dan dijaga dengan sewajarnya oleh setiap insan yang dilantik sebagai khalifah di dunia," katanya.
Sebelum ini Zaini sudah menghasilkan buku Inti Sari 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar.
Zaini turut memetik satu hadis itu yang menyebut, cabang yang tertinggi dalam keimanan adalah menyebut kalimah Laillahillah dan yang terendah ialah menggalakkan manusia membuang halangan kecil seperti kayu, paku di jalanan, batu bata atau sampah sarap yang boleh menimbulkan kemudaratan apabila kenderaan berhenti mengejut.
"Sebutan kalimah Laillahillah itu memang menjadi amalan utama umat Islam dalam solat dan tahlil. Adalah wajar cabang terendah yang kita selalu diajar supaya kutip paku, dahan kayu atau batu yang boleh menyebabkan kemalangan, kematian itu kita beri perhatian terutama membabitkan musim banjir sekarang," katanya.
Katanya setiap manusia wajib menjaga alam kerana kewujudan alam itu bukan saja membabitkan dunia nyata tetapi berkait rapat dengan alam ghaib, alam barzah dan akirat.
Sejajar itu, beliau mencadangkan pertubuhan bukan kerajaan boleh menggalakkan persatuan atau kelab sukarela menggemblengkan orang ramai bekerjasama membersihkan longkang di taman perumahan, kawasan perbandaran dan sungai yang menjadi sumber utama bekalan air negara.
Mengenai banjir, kementeriannya mendapat laporan daripada jurutera bahawa banjir mendadak di seluruh negara kerana saluran longkang yang dibina memang mampu menampung sukatan isi padu air tetapi apabila tersumbat dengan buangan sampah sarap, air hujan tersekat-sekat dan akibatnya, penduduk setempat yang menderita apabila rumah mereka dimasuki banjir.
Sementara itu Wakil Yayasan An-Nisaa, Puan Umi atau Jasmi Baba berkata yayasan berkenaan sedang merancang pelan pertanian moden khususnya di bandar bagi menggerakkan masyarakat menjaga alam sekitar, mendidik dan memastikan orang ramai menjaga keselamatan membabitkan pemakanan.
Menurutnya yayasan sudah pun ada kumpulan sukarelawan mahir mengenai teknik pelestarian alam sekitar untuk menyebarkan ilmu kepada pengguna. Mereka hanya memerlukan media untuk menyebarkan kempen dan gerak kerja program yang diatur untuk menarik pembabitkan peserta.
"Segala derma yang diterima akan disalurkan untuk menjayakan program yang kami sudah ilhamkan termasuk mengadakan bengkel ilmu keusahawan mendidik peserta tentang cara pemakanan selamat dan program melindungi alam sekitar," katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan eTahlil berkenaan.
Majlis itu turut disertai oleh anak-anak yatim lelaki dari rumah anak yatim di Paya Jaras, Sungai Buloh. - KitaReporters