Alam & Sains 30 Jul, 2024

Anugerah khas kepada belia jadi penderma darah! Usaha UMT libatkan golongan muda aktif derma darah!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this

Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia dan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2024.


Program derma darah adalah suatu inisiatif penting dalam menjaga kesihatan awam dan memastikan ketersediaan bekalan darah yang mencukupi di negara kita. 

Namun, keperluan untuk memastikan tabung darah sentiasa mencukupi adalah satu cabaran disebabkan memerlukan penyertaan aktif daripada semua lapisan masyarakat terutama golongan muda dan pelajar universiti. 

Penglibatan golongan muda dalam program derma darah adalah kunci utama dalam membentuk generasi yang peka terhadap keperluan tabung darah negara serta menjamin bekalan darah negara.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat global, Hari Penderma Darah Sedunia turut diperkenal oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disambut pada 14 Jun setiap tahun. 

Ketetapan itu merupakan platform yang baik untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan derma darah selain menghargai dan mengiktiraf para penderma darah secara sukarela yang telah sanggup menderma darah mereka tanpa mengharapkan ganjaran. 

Menurut Pengarah Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong, keperluan darah dilihat lebih tinggi menjelang musim cuti umum dan juga musim perayaan.

“Di Terengganu, alhamdulillah jumlah penderma darah di Terengganu lebih daripada 2%. Namun begitu kami menyasarkan 3.5-4.0% kadar pendermaan darah bagi rakyat Malaysia dan sekurang-kurangnya 3% untuk negeri Terengganu, sebagaimana negara maju," katanya lagi.



Beliau ditemui ketika menyampaikan ucapan perasmian penganjuran Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia dan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2024.

Program sambutan itu hasil kerjasama daripada kolaborasi antara Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta beberapa agensi kerajaan dan pihak swasta.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UMT, Dr. Arnie A Rahim berkata, pihaknya telah memperkenal inisiatif bagi menarik minat golongan belia dan mahasiswa untuk bergiat aktif bagi program derma darah.

“Pihak jabatan perubatan transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah telah menerima sebanyak 2,500 beg darah daripada pihak universiti khususnya UMT pada tahun lalu (2023). 

"Kita menjadikan program derma darah sebagai aktiviti berkala sehingga 8 kali setahun.

“Kita juga wujudkan anugerah khas kepada ikon belia bagi menarik lebih ramai golongan muda tampil menderma darah dan pemberian pingat bagi penderma darah yang menderma lebih 10 kali,” katanya.

Sambutan Hari Penderma Darah dan Hari Pendengaran Sedunia 2024 yang julung kali diadakan dengan kolaborasi UMT itu sebagai medan untuk memberi kesedaran berkaitan derma darah dan galakan kepada generasi baharu untuk menjadi pelapis penderma darah pada masa akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
16
0
11
0
You will be interested