Alam & Sains 19 Aug, 2025

Perlu ada ramai bakat muda tempatan kuasai AI! Untuk beri hasil, manfaat nyata kepada rakyat! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Bagi memastikan teknologi kecerdasan buatan (AI) memberi sumbangan bermakna kepada rakyat, negara perlu melahirkan ramai bakat muda tempatan yang mampu menguasai AI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, pencapaian dalam teknologi AI tidak wajar hanya diukur dari segi jumlah pelaburan dan tahap kemajuan yang dicapai, tetapi turut dinilai dari sudut hasil dan manfaat kepada rakyat serta masyarakat.

Beliau menjelaskan, transformasi digital adalah teras Ekonomi Madani, namun penguasaan teknologi mesti berjalan seiring dengan nilai dan budaya bangsa. 

"Kita perlu ‘menggapai langit’ dengan AI dan teknologi baharu, tetapi tetap ‘mengakar ke bumi’ dengan prinsip, nilai dan identiti kita," tegas beliau ketika merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya pada 18 Ogos 2025.



Fakulti di MMU itu diwujudkan sebagai satu tonggak baharu dalam usaha negara menguasai teknologi digital dan AI.

Beliau berkata, kerangka ini sudah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu menaikkan siling untuk melonjakkan teknologi dan ekonomi, menaikkan lantai agar semua rakyat menikmati manfaatnya, dan menjadikan tatakelola sebagai tunjang. 

"Tanpa tatakelola, reformasi hanya akan melahirkan rasuah, kronisme dan ketidakadilan," tambahnya.

Beliau turut mengulas penemuan dalam laporan UNU dan McKinsey yang memberi peringatan tentang ‘AI Productivity Paradox’ bahawa pelaburan besar dalam AI tidak semestinya menghasilkan produktiviti sebenar. 

"Laporan ini menyedarkan kita untuk memastikan setiap peruntukan diukur dengan hasil dan manfaat nyata kepada rakyat terbanyak. Justeru, keutamaan adalah melahirkan bakat muda yang mampu menguasai AI. 

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada nilai Barat, sebaliknya mesti membina keupayaan sendiri untuk melatih generasi muda sebagai pereka, pencipta dan penggerak teknologi berteraskan identiti kita," jelas Perdana Menteri.



Namun kemajuan ini, ujarnya tidak bermakna jika kita terus dibelenggu oleh budaya kebencian, perpecahan kaum, buli dan rasuah. 

"Pendidikan sejati bukan sekadar ilmu teknikal, tetapi yang mengangkat martabat manusia dengan akhlak, nilai dan rasa hormat sesama insan.

"Saya optimis dengan generasi muda Malaysia. Dengan ilmu, nilai dan keberanian, kita mampu menjadikan negara ini maju dan hebat. Jangan biarkan suara kecil yang menanam kebencian mengaburi pandangan kita," katanya lagi.

Usai pelancaran, Perdana Menteri telah mengadakan sesi dialog dengan mahasiswa dalam sesi Temu Anwar untuk mendengar pandangan dan kebimbangan mereka tentang pekerjaan, kos sara hidup, kebergantungan kepada AI dan bahaya perkauman yang mengancam perpaduan. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
15
0
7
0
You will be interested