Alam & Sains 02 Nov, 2025

Di mana kekuatan teknologi? Upaya angkat tamadun! Bukan tenggelamkan nilai luhur asas kita! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Di mana letakkan kekuatan teknologi? Malaysia percaya bahawa kekuatan sebenar teknologi terletak pada keupayaannya mengangkat tamadun, bukan menenggelamkan nilai-nilai luhur yang menjadi asasnya.



Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sekadar peranti canggih di hujung jari, ia kini menjadi nadi masa depan kita di seluruh dunia. 

"Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimana memastikan teknologi ini dapat menyantuni manusia tanpa rasa terbeban serta tidak menghakis nilai yang membentuk kemanusiaan," jelas beliau.

Anwar berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia dalam sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Sesi kali ini, katanya, memberi tumpuan kepada tema “Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadap Masa Hadapan.”

Beliau menjelaskan, sesi pada Sabtu, 1 November 2025 ini menyorot cabaran dan peluang yang muncul daripada lonjakan AI serta transformasi digital yang sedang mencorak semula kehidupan, ekonomi dan peradaban manusia.



"Lebih setengah abad lalu, filasuf Jerman, Martin Heidegger telah mengingatkan bahawa asas roh teknologi tidak terletak pada mesin yang kita cipta, tetapi pada bagaimana ia mengubah cara kita berfikir, berperilaku dan mencari makna hidup.

"Peringatan ini sangat relevan hari ini, tatkala algoritma dan data mula membentuk pandangan dunia serta mempengaruhi setiap keputusan yang sepatutnya ditentukan oleh akal budi dan nilai kemanusiaan," jelas Perdana Menteri.

Katanya, Malaysia percaya bahawa kekuatan sebenar teknologi terletak pada keupayaannya mengangkat tamadun, bukan menenggelamkan nilai-nilai luhur yang menjadi asasnya. 

"Kami menyokong pembangunan AI untuk memperluas ilmu, mempercepat inovasi dan mencipta peluang baharu yang mampu mengangkat martabat rakyat," tambahnya.

Perdana Menteri juga mengingatkan, kemajuan tidak boleh diukur semata-mata dengan kecekapan atau keuntungan. 



Pertumbuhan digital mesti bergerak seiring dengan tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam, dan prinsip moral yang tidak boleh dikompromi, ujarnya.

"Kita tidak mahu sebuah dunia di mana peranti menentukan takdir manusia. 

"Sebaliknya, kita ingin membina masa depan di mana AI memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa," tegas beliau.

Anwar menambah, teknologi mesti kekal sebagai alat kemajuan insan bukan pengganti makna kemanusiaan. 

"Yang penting bukan hanya untuk menjadi negara pintar, tetapi bangsa yang bijaksana. 

"Kerana kemajuan tanpa nilai serta hikmah, hanya akan membawa dunia dan manusia kehilangan arah dan makna," tambahnya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
10
0
13
0
You will be interested