Alam & Sains 18 Sep, 2022

Indah bercahaya! Rakyat Terengganu teruja saksikan kenderaan, beca berhias! 7 tahun tidak diadakan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Sebahagian penonton yang hadir menyaksikan pertandingan kenderaan dan beca berhias


SUDAH banyak program yang diadakan di Negeri Terengganu sama ada bertaraf tempatan atau antarabangsa selepas negara diisytiharkan berada dalam status endamik susulan lebih dua tahun berada dalam pandemic COVID-19 sejak 2020.

Perhimpunan motosikal berkuasa tinggi, himpunan motosikal Yamaha RXZ, Luncur Udara Bukit Bubus, kayuhan basikal adalah antara acara besar-besaran yang sudah berlalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti berhias

Kenderaan berhias dari Pejabat Daerah Kemaman muncul johan pertandingan. - Kredit foto: Media MB Terengganu


Terbaharu, Pertandingan Perarakan Kenderaan dan Beca Berhias bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan Sultan Terengganu adalah acara yang paling menarik sepanjang tahun 2022 ini. 

Pertandingan yang berlangsung di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Jumaat 16 September 2022 yang jatuh pada hari Sambutan Hari Malaysia meninggalkan kesan mendalam kepada kepada orang ramai kerana pertandingan terakhir pernah diadakan ialah pada 2015.


Sultan Terengganu bersama  Sultanah Nur Zahiran dan  anaknda baginda menyaksikan pertandingan kenderaan berhias


Walaupun keadaan trafik di Bandar Raya Kuala Terengganu agak sesak sejak jam 7 malam, namun orang ramai tetap teruja kerana dapat menyaksikan beraneka reka bentuk kenderaan dan beca berhias hasil kreativiti peserta sama ada dari organisasi, jabatan kerajaan dan individu.

Keberangkitan  Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama ahli kerabat diraja dan berkenan mencemar duli merasmikan pertandingan perarakan tersebut memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.

Mengiringi baginda pada upacara itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.


Antara beca berhias yang menyertai pertandingan


Sebanyak lapan buah daerah yang menyertai perarakan kenderaan berhias yang terdiri daripada Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman.

Manakala bagi perarakan beca berhias pula disertai 16 anak syarikat kerajaan negeri yang terdiri daripada Primula Beach Resort, Duyong Marina Resort dan pelbagai lagi.

Perarakan bagi kenderaan dan beca berhias adalah sejauh kira-kira 3.2 kilometer yang bermula dari Dataran Shah Bandar ke Dataran Batu Buruk.


Kenderaan berhias dari Pejabat Daerah Besut


Turut hadir menyambut keberangkatan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Cuti umum Hari Malaysia menjadi faktor kebanjiran kehadiran pelancong luar negeri di samping keterujaan rakyat Terengganu setelah sekian lama acara wajib berkenaan tidak diadakan.


Kenderaan berhias dari Daerah Setiu


Dalam pertandingan itu, Daerah Kemaman dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias 2022 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Dungun serta Kuala Nerus

Bagi Pertandingan Beca Berhias pula dijuarai Hotel Paya Bunga, disusuli Duyong Marina Resort dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menduduki tempat kedua serta ketiga. - KitaReporters


Sebuah beca berhias melalui  di hadapan orang ramai di Dataran Batu BUruk,Kuala Terengganu

12
12
0
13
1
You will be interested