KES kumulatif jangkitan denggi pada tahun 2022 meningkat lebih 150% berbanding tahun sebelumnya dan jumlah kematian akibat denggi pula meningkat sehingga 180%. Dengan statistik sebegini, sudah tiba masanya untuk kita menilai semula apa yang kita tahu tentang demam denggi supaya kita dapat melindungi diri dengan lebih baik daripada penyakit endemik ini.
Kebiasaan akan membuatkan kita menjadi jemu atau bersikap acuh tak acuh. Demam denggi yang merupakan penyakit endemik di Malaysia kini membuatkan ramai semakin leka akan ancamannya terhadap kita.
Ada sesetengah orang yang terpedaya dan tersalah anggap dengan maklumat separuh benar sehinggakan boleh membawa kepada kemudaratan berbanding kebaikan kerana ia mewujudkan perasaan selamat yang palsu. Ini menjadikan orang ramai terdedah kepada ancaman demam denggi yang sebenar.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kes demam denggi
Menurut Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga di International Medical University (IMU), kenyataan sebenarnya adalah ada lima (5) salah tanggapan biasa mengenai demam denggi yang perlu dijelaskan dan ditangani.
Mitos No. 1: Kita boleh dijangkiti demam denggi sekali sahaja seumur hidup
Fakta : Demam denggi ada empat serotaip dan ini bermakna seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali iaitu sekali untuk setiap serotaip. Imuniti kekal hanya diperolehi jika seseorang itu sudah dijangkiti setiap satu daripada empat serotaip tersebut.
Namun begitu, sebelum anda berfikir adalah lebih elok dijangkiti sebanyak empat kali, beringatlah yang berkemungkinan besar jangkitan-jangkitan seterusnya adalah lebih teruk. Setiap jangkitan itu pula hanya meningkatkan peluang anda untuk mendapat demam denggi yang teruk.
Demam denggi yang teruk adalah penyakit yang serius yang memerlukan kemasukan ke hospital dan boleh membawa kepada akibat yang dahsyat seperti kegagalan organ. Oleh itu, jangkitan berulang bukanlah idea yang baik untuk mendapatkan imuniti.
Mitos No. 2: Selagi saya tidak rasa sakit, ia tidak berbahaya
Fakta : Terdapat tiga tahap demam denggi. Ia bermula dengan fasa demam kuat secara tiba-tiba selama 1 ke 2 hari. Ketika itu, pesakit berkemungkinan mengalami sakit-sakit badan, sakit kepala dengan sakit di belakang mata, muka menjadi merah dan kulit bertompok-tompok atau ruam.
Kemudian masuk pula fasa kritikal. Ironinya, ia datang selepas demam mereda dan ramai yang merasakan mereka semakin sihat. Namun, tempoh sehari dua itu boleh menyebabkan pesakit mengalami kejutan jika kapilari darah membocorkan plasma dan ini membawa kepada penurunan tekanan darah secara mendadak.
Fasa inilah yang akan menentukan sama ada pesakit itu menjadi lebih sihat iaitu memasuki fasa pemulihan (pesakit mampu menyerap semula cecair dan nadi menjadi stabil), atau menjadi lebih teruk dan menderita demam denggi yang teruk.
"Banyak penyakit virus seperti demam denggi boleh reda dan sembuh sendiri (self-limiting). Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya perlu merawat diri sendiri di rumah. Paling penting minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi yang datang bersama kebocoran plasma. Sesiapa pun yang dijangkiti demam denggi perlu minum sekurang-kurangnya tiga liter air sehari pada tiga hari pertama," nasihat Dr. Verna.
Mitos No. 3: Demam denggi cuma penyakit biasa yang ringan
Fakta : Walaupun kebanyakan pesakit denggi boleh sembuh di rumah, ia tidak bermakna kita tidak perlu berwaspada.
“Dianggarkan 1% pesakit akan mengalami demam denggi teruk dikenali sebagai demam denggi berdarah yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pendarahan boleh bermula pada fasa demam, lazimnya dalam kulit dan gusi. Jika tidak diuruskan dengan betul, keadaan pesakit akan bertambah buruk semasa fasa kritikal dan ketika itulah kebanyakan pesakit akan masuk wad," kata Dr. Verna.
"Mereka yang mempunyai sistem imun yang sihat selalunya akan sihat dalam dua hari, tetapi jika berlaku komplikasi akibat radang organ dalaman seperti jantung, hati dan otak, ia boleh memakan masa seminggu atau lebih untuk sihat semula."
Bagi orang yang memang mengalami tekanan darah rendah, gejala mungkin bermula lebih awal. Wanita yang sedang haid pula mungkin mengalami lebih banyak pendarahan, tambahnya.
Tanda-tanda lain demam denggi teruk termasuklah sakit perut yang kuat, kerap muntah-muntah dan najis atau muntah berdarah.
Mitos No. 4: Ujian demam denggi hanya boleh dibuat selepas 3 hari
Fakta : “Memang benar gejala awal lazimnya tidak ketara kerana demam adalah tanda banyak penyakit lain. Tetapi, pesakit denggi selalunya mengalami demam tinggi secara tiba-tiba, sedangkan COVID-19 misalnya, permulaan demam itu lebih lambat. Ujian antigen pantas denggi S1 boleh mengesan demam denggi pada hari pertama. Oleh itu, usahlah berlengah-lengah untuk mendapatkan nasihat perubatan jika anda tiba-tiba mengalami demam panas," jelas Dr. Verna.
Ingatlah, fasa demam hanya sehari dua sahaja sebelum bertukar kepada fasa kritikal yang mana pesakit akan tiba-tiba menjadi lebih teruk.
Mitos No. 5: Saya tidak perlu mengambil apa-apa langkah pencegahan denggi sebab kawasan saya sudah dibuat penyemburan
Fakta : Usaha pencegahan seperti penyemburan hanya membantu membunuh nyamuk Aedes dewasa. Membersihkan air bertakung di longkang-longkang awam dan tempat lain pula hanya boleh mencegah tempat pembiakan nyamuk. Namun begitu, usaha-usaha ini membabitkan kos dan tenaga yang banyak dan kesannya tidak menyeluruh.
Pada tahun 2009/2010, anggaran kos yang dibelanjakan adalah RM777 million dan ia pasti lebih tinggi sekarang. Terdapat bukti nyamuk sudah kebal kepada racun serangga biasa yang digunakan dalam penyemburan.
“Pihak berkuasa sudah menjalankan kaedah-kaedah pengujian baharu seperti penggunaan nyamuk yang diubah suai genetiknya di lokasi panas. Sekarang, ada berita mengenai vaksin yang dalam penilaian. Adalah bagus apabila ada lebih banyak cara untuk melindungi diri daripada demam denggi," terang Dr. Verna.
Namun begitu, itu bukan bermakna kita harus leka. "Secara peribadi, kita semua boleh bertindak dalam lingkungan rumah sendiri untuk mencegah pembiakan dan gigitan nyamuk. Kita kena ingat yang kita boleh kuarantinkan manusia tetapi kita tidak boleh berbuat yang sama kepada nyamuk kerana ia ada di mana-mana.
"Kita perlu berusaha lebih kuat untuk melindungi diri dan keluarga dengan memastikan kawasan rumah bebas tempat pembiakan nyamuk, pakai pakaian yang menghalang kulit daripada terdedah dan menggunakan ubat nyamuk, terutama pada waktu senja dan subuh."
Akhir sekali, Dr Verna memberi amaran supaya kita berhenti berangan-angan yang demam denggi boleh diubati.
“Masih tiada ubat untuk demam denggi, atau rawatan khusus, apatah lagi antivirus yang boleh membantu pada masa ini. Tiada salahnya untuk mengambil jus buah-buahan dan cecair lain kerana ia mencegah dehidrasi, tetapi itu semua bukan ubat," terang beliau.
“Oleh kerana demam denggi adalah penyakit yang boleh sembuh dengan sendiri (self-limiting), dan ramai yang sembuh tanpa perlu masuk hospital, maka kita hanya perlu berpesan kepada diri yang badan kita berkemampuan dan tugas kita hanya adalah untuk membantunya." - KitaReporters/Kenyataan Media