Alam & Sains 26 Oct, 2020

Kluster Makekar: 3 kes baharu! JKN Terengganu bantu Sabah!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan tiga lagi kes baharu COVID-19 di Terengganu dan tiada pertambahan kes sembuh menjadikan terdapat 21 kes COVID-19 aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 kes pada 26 Oktober 2020. Tiga kes baharu itu berkait rapat dengan kehadiran kluster baharu COVID-19 di negeri ini. : KitaReporters


 Grafik Pecahan kes mengikut daerah di Negeri Terengganu yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu


Lagi cerita-cerita berkaitan koronavirus:

https://kitareporters.com/coronavirus


Ketiga-tiga kes baru ini merupakan kes tempatan iaitu kontak rapat kepada pesakit daripada Kluster Makekar. Kesemua 21 kes aktif ini dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Ketika ini terdapat empat kluster yang didaftarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Negeri Terengganu iaitu kluster Makekar, Bah Tanjung, Bah Sahabat dan Bah Bemban

Kes baharu yang dikesan hari ini, Isnin 26 Oktober 2020 melibatkan masing-masing satu kes di Mukim Cukai, Telok Kalong dan Banggol, Daerah Kemaman hasil kontak rapat kepada kes daripada Kluster Makekar.


 


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kluster Makekar didaftarkan pada 25 Oktober 2020, merupakan kluster tempat kerja dan dikenal pasti di Mukim Rusila dan Pulau Kerengga di Marang, Mukim Kepong di Kuala Terengganu, Mukim Rasau di Dungun, Mukim Kerteh, Banggol, Chukai dan Teluk Kalong di Kemaman.

Katanya, secara umumnya, situasi pandemik COVID-19 di Negeri Terengganu pada masa ini adalah terkawal. 


Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus


“Pihak jabatan sentiasa memantau rapat perkembangan kes dan kluster dari semasa ke semasa. Bagi setiap kes yang dikesan, langkah-langkah kawalan akan dijalankan dengan segera dan semua kontak rapat akan dikenalpasti dan dihubungi bagi menjalani saringan dan pengasingan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang dan sentiasa mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) serta mengamalkan amalan norma baharu yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Dr Nor Azimi  (tengah) mengaminkan doa bersama Pasukan Bantuan Perubatan Terengganu yang berlepas ke Sabah



Dalam perkembangan lain. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut menghantar Pasukan Bantuan Perubatan ke Sabah bagi membantu tugas yang diperlukan di negeri tersebut.

Katanya, pasukan terbabit merupakan kumpulan kedua di hantar ke Sabah terdiri daripada 13 orang pegawai pelbagai kategori iaitu tiga pegawai perubatan dan 10 penolong pegawai perubatan berlepas ke negeri tersebut pada hari ini, Isnin 26 Oktober 2020. 

“Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri berkenaan,” katanya. - KitaReporters

Doktor Noor Azimi menyerahkan peralatan perubatan kepada wakil Pasukan Bantuan Perubatan Terengganu  ke Sabah

6
0
2
1
3
You will be interested