Peter Coleman menunjukkan wang 'error' yang didapati secara tidak sengaja ketika mengeluarkan wang dari mesin ATM. - Kredit foto: Nangtime.com.
SEORANG lelaki di Britain tidak menyedari dia sebenarnya mendapat 'rezeki terpijak' selepas salah satu wang kertas yang dikeluarkan dari mesin juruwang automatik (ATM) mempunyai cici-ciri 'wang kertas error (cacat)' atau 'kecacatan cetakan' yang bernilai tinggi.
Peter Coleman, 72, yang juga seorang pesara dikatakan bakal menjadi 'orang kaya baharu' selepas wang kertas bernilai £10 atau kira-kira RM57.30 yang dikeluarkan dari ATM adalah wang dicetak tanpa wajah Ratu Elizabeth II seperti sepatutnya yang menjadi idaman pengumpul mata wang 'error' di seluruh dunia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wang kertas
Dia pada mulanya terkejut selepas mendapati wang kertas tersebut tiada wajah monarki Britain seperti wang kertas lain dan beranggapan wang kertas tersebut tidak boleh digunakan berikutan terdapat kecacatan semasa proses cetakan.
Dia hanya menyedari wang tersebut sah digunakan ketika cuba menggunakannya di sebuah kedai serbaneka. Juruwang kedai tersebut pada mulanya enggan menerima wang kertas tanpa wajah tersebut, namun mengubah fikiran selepas mesin pengesan wang palsu mendapati wang tersebut adalah tulen dengan nilai seperti yang tertera.
"Saya memberitahu juruwang tersebut bahawa saya berhasrat untuk menyimpan wang kertas tersebut kerana berasakan wang tersebut mungkin akan membawa tuah kepada saya.
"Saya juga tidak teragak-agak untuk melelong wang kertas milik saya ini sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berminat untuk membelinya dengan harga yang munasabah," katanya.
Mengikut pakar-pakar serta pengumpul koleksi wang kertas, wang tanpa wajah £10 yang dimiliki Coleman itu boleh mencecah nilai ribuan pound jika dilelong.
Secara ringkas dikongsikan beberapa kesilapan yang pernah berlaku semasa proses cetakan wang kertas sehingga menyebabkannya dikategorikan sebagai mata wang 'error' atau 'cacat' yang sering menjadi rebutan pengumpul koleksi wang kertas.
Terdapat imej bertindih sama ada pada permukaan yang sama atau sebalikya disebabkan berlaku pertindihan cetakan atau 'double printed' semasa proses cetakan.
Selain itu ' missed printed' atau cetakan tidak sempurna akan menyebabkan kehilangan sebahagian cetakan selain terdapat 'alur cetakan' berikutan kemungkinan keadaan kertas yang terlipat semasa proses cetakan dilakukan.
Cetakan tidak sempurna juga boleh menyebabkan warna wang kertas menjadi seakan luntur dan kabur seolah-olah warna cetakan belum kering.
Bagi kesilapan 'extra paper' semasa proses pemotongan pula boleh menyebabkan terdapat lebihan kertas pada mana-mana bahagian wang yang dihasilkan menjadikannya tidak sempurna kerana terdapat baki kertas serta ukuran yang tidak sama berbanding wang asal.
Sementara bagi kesilapan 'cutting error merging' pula menyebabkan pemotongan tidak sama besar di mana-mana bahagian, namun secara keseluruhan ukuran adalah sama mengikut saiz mata wang asal.
Terdapat banyak lagi kecacatan wang kertas yang berlaku semasa proses cetakan sebelum ini, namun perkembangan teknologi percetakan yang semakin maju ketika ini menyebabkan wang 'cacat' semakin sukar ditemui. - KitaReporters
Wang 'cacat' yang terhasil daripada kesilapan semasa proses cetakan semakin sukar ditemui berikutan kemajuan bidang percetakan katika ini. - Kredit foto: Watandaily.com