Alam & Sains 22 Mar, 2020

WRESTLEMANIA 'SUNYI' KENA "SLAM" COVIDMANIA

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

PERTARUNGAN gusti profesional popular dunia, WrestleMania 36 atau WrestleMania 2K20 tetap akan dilangsungkan pada 4 dan 5 April 2020, namun buat kali pertamanya di venue kosong tanpa penonton atau diadakan secara tertutup. : KitaReporters

WRESTLEMANIA 36 pada April 2020 bakal berlangsung sunyi kali pertama tanpa penonton, sedangkan 82,265 penonton membanjiri Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey dalam edisi 35, 2019. - Kredit foto: wwe.com 


Venue pertunjukan sukan berunsur hiburan itu turut dipindahkan dari Stadium Raymond James, Tampa, Florida, Amerika Syarikat (AS) ke Pusat Prestasi World Wrestling Entertainment (WWE), Orlando, Florida.

WWE, penganjur WrestleMania sejak 1985, memberitahu dalam laman sesawangnya, wwe.com: “Dalam penyelarasan dengan rakan kongsi tempatan dan pegawai-pegawai kerajaan, WrestleMania dan segala acara berkaitan di Tampa Bay tidak akan diadakan.

LOGO WrestleMania 36. - Kredit foto: wwe.com


“Walau bagaimanapun, WrestleMania 36 masih akan ditayangkan secara strim langsung mulai pukul 7 malam (timur AS) menerusi WWE Network yang boleh didapati secara siaran berbayar. 

"Hanya kakitangan yang perlu, akan ditugaskan di set tertutup Orlando itu untuk menerbitkan siarannya.”

Tindakan nekad ini diambil bagi mengelak risiko penularan wabak pembawa maut, penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19) yang sudah pun meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, sekiranya 65,618 orang membanjiri menurut muatan stadium tersebut.

Justeru, buat julung-julung kali, WrestleMania bakal kesunyian sorak-sorai dan hiruk-pikuk terutama para penyokong setia jagoan-jagoan popular seperti Roman Reigns, Brock Lesnar, Goldberg, The Undertaker, AJ Styles dan John Cena.

Beberapa badan utama bola sepak baru-baru ini mengumumkan penangguhan Kelayakan Piala Dunia, Euro dan Copa America 2020, namun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Selasa, 17 Mac 2020 masih berkeras untuk meneruskan Sukan Olimpik pada 24 Julai hingga 9 Ogos 2020.

WRESTLEMANIA VI, 1990 antara yang paling hebat kerana pertembungan juara WWE, Hulk Hogan (kiri) dan juara Antara Benua, (mendiang) The Ultimate Warrior di Toronto. - Foto wwe.com


Namun tidak seperti gusti amatur Olimpik atau gaya Greco-Roman yang mengutamakan sukan tulen, gusti profesional sudah banyak diadunkan dengan elemen persembahan hiburan, komedi, cinta, seks, seram dan ganas yang mirip teater sukan atau tayangan watak komik dan filem secara langsung di gelanggang.  

Populariti gusti profesional sudah lama dianggap setaraf pertandingan bola rempuh utama AS, Super Bowl sehingga WrestleMania 35 pada 7 April 2019 berjaya menarik kehadiran 82,265 penonton ke Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.

Rekod hadirin tertinggi dalam sejarah WrestleMania ialah 101,763 orang dalam edisi 32 pada 3 April 2016 di Stadium AT&T, Arlington, Texas yang menyaksikan Reigns merampas bengkung heavyweight dunia WWE daripada Triple H selepas berentap selama 27 minit 11 saat.

Angka ini memecahkan rekod terdahulu yang dipegang WrestleMania III di Pontiac Silverdome, Pontiac, Michigan iaitu 93,173 orang pada 29 Mac 1987 dengan pertarungan kemuncaknya dimenangi juara (ketika itu WWF - World Wrestling Federation), Hulk Hogan yang menundukkan (mendiang) Andre The Giant.

HULKAMANIA dan WrestleMania seperti wabak Covid-19 sekarang yang pernah melanda dunia sukan profesional pada era 80-an hingga 90-an. - Kredit foto CBR.com


WrestleMania 2 pula mencatat kehadiran penonton paling sedikit di Rosemont Horizon, Chicago, Illinois iaitu 9,000 orang namun ketika itu turut dipecahkan dan dilangsungkan di dua lagi venue iaitu Arena Sukan Peringatan Los Angeles, California (14,500) dan Nassau Coliseum, Uniondale, New York (16,585) atau jumlah besarnya, 40,085 orang.

Justeru angka penonton terendah bagi sesebuah WrestleMania ialah 16,158 orang di Arena Sukan Peringatan Los Angeles pada edisi VII yang berjudul ‘Stars & Stripes Forever’ (Bintang dan Jalur Selamanya), di mana Hogan bergelar juara WWF kali ketiga selepas menumpaskan Sgt. Slaughter.

GOLDBERG (kiri) akan mempertahankan bengkung Kejuaraan Sejagat dengan Roman Reigns dalam WrestleMania 2K20. - Kredit foto: wwe.com


WrestleMania sulung yang diasaskan pada 31 Mac 1985 di Madison Square Garden, New York telah dihadiri 19,121 orang yang menyaksikan gandingan Hogan dan bekas pelakon siri The A-Team, Mr. T menewaskan (mendiang) Roddy Piper dan Paul Orndorff dengan (Allahyarham) Muhammad Ali, legenda tinju dunia, tampil sebagai pengadil undangan khas di luar gelanggang.

Saban tahun sebelum WrestleMania, WWE akan mengadakan sebuah majlis penganugerahan mengenang jasa veteran dan legenda gusti popular termasuk kalangan bukan penggusti seperti pengulas, pengurus dan pegawai mahupun pengadil.

‘Hall Of Fame (HOF)’ (Dewan Terbilang) walau bagaimanapun tidak dapat dipastikan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 2 April 2020 ekoran Covid-19 atau terpaksa diadakan dengan hadirin terhad.  

Veteran gusti pro yang dicalonkan sebagai ahli baharu HOF ‘Kelas 2020’ ialah Jushin ‘Thunder’ Liger, mendiang The British Bulldog, John Bradshaw Layfield (JBL), The Bella Twins (Nikki dan Brie Bella), Batista dan New World Order (nWo) - Hogan, Scott Hall, Syxx dan Kevin Nash. - KitaReporters

BROCK Lesnar, juara WWE menentang Drew McIntyre, pemenang 'Perang Raksasa' Royal Rumble pada Januari 2020. - Kredit foto wwe.com


JADUAL PERTARUNGAN WRESTLEMANIA 36, 2K20 :

  • Juara WWE, Brock Lesnar lawan Drew McIntyre
  • Juara Sejagat, Goldberg lawan Roman Reigns
  • Phenom dan Phenomenal: The Undertaker lawan AJ Styles
  • John Cena lawan 'The Fiend' Bray Wyatt
  • Juara Wanita Raw, Becky Lynch lawan Shayna Baszler
  • Juara Wanita NXT, Rhea Ripley lawan Charlotte Flair
  • Kevin Owens lawan Seth Rollins

0
4
0
0
0
You will be interested