Alam & Sains 16 Apr, 2022

Bestnya! 60k penghantar Foodpanda kini dilindungi skim perlindungan Perkeso! Semasa kemalangan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PENYEDIA perkhidmatan penghantaran dalam talian terkemuka, Foodpanda Malaysia, telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyedia dan memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 60,000 rakan penghantarnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

MoU yang ditandatangani Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO dan Sayantan Das, Pengarah Urusan, Foodpanda Malaysia dengan disaksikan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pada 13 April 2022 lalu, turut menyaksikan rakan penghantar penyedia platform tersebut menerima bantuan subsidi caruman tambahan oleh foodpanda Malaysia, di samping bantuan subsidi sedia ada bagi caruman SKSPS daripada Kerajaan menerusi inisiatif Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Padanan Caruman di bawah Bajet 2022. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan agensi Perkeso



Dalam satu kenyataan media, Saravanan berkata, SPS Padanan Caruman merupakan satu insentif yang ditawarkan kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS), termasuk pekerja-pekerja gig, bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas. Ini seiring dengan nilai-nilai Keluarga Malaysia yang digagaskan Kerajaan untuk menerapkan sifat kasih sayang dalam kalangan masyarakat di negara ini.

SKSPS merupakan satu skim yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti bekerja

Antara faedah yang ditawarkan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.

“Inisiatif SPS Padanan Caruman yang dilaksanakan PERKESO akan menawarkan perlindungan bersubsidi kepada OBS melalui SKSPS PERKESO untuk tempoh setahun, di mana Kerajaan akan membiayai 80% daripada Pelan 2 caruman SKSPS (RM186.20), manakala OBS hanya perlu membayar baki 20 peratus (RM46.60) sahaja,” kata Dr. Mohammed Azman.

Mengulas mengenai inisiatif ini, Das berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan dan PERKESO kerana telah menerajui inisiatif murni seperti ini bagi manfaat rakan penghantar kami. 

"Sebagai disruptor dalam ruangan q-commerce, misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan komuniti B40 dengan menambah  pendapatan melalui platform kami. Ia juga sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi galakan digital dan teknologi, serta menjadi peneraju dalam ekonomi digital.”



Menerusi kolaborasi strategik ini juga, Foodpanda Malaysia akan menawarkan bantuan subsidi tambahan sebanyak 50% daripada baki (atau 10% daripada jumlah keseluruhan) keseluruhan caruman yang perlu dibayar oleh rakan penghantarnya yang berjumlah RM23.30 bagi setiap individu, untuk tempoh perlindungan selama setahun.

Foodpanda sebagai sebuah platform penghantaran terkemuka di Asia Pasifik dengan lebih 12.5 juta pelanggan dan 60,000 rakan restoran, turut menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menyertai ekonomi gig. Sejak 2020, Foodpanda telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu komuniti B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk mengeluarkan atau memberi subsidi kos ‘onboarding’, perbelanjaan pemasaran, kos pemasangan POS dan sesi latihan. foodpanda sudah pun membantu PKS atau PMKS dalam usaha mereka untuk lebih berjaya, dan juga telah membantu lebih daripada 20,000 usahawan, termasuk tukang masak rumah, usahawan wanita, dan perniagaan B40.

“Foodpanda Malaysia berazam untuk melindungi rakan penghantar kami dan ini sentiasa menjadi keutamaan memandangkan mereka terdedah kepada persekitaran kerja yang agak berbahaya setiap hari. 

"Kami berharap inisiatif yang diperkenalkan ini akan membantu mengurangkan bebanan mereka untuk membayar caruman bagi skim perlindungan PERKESO dan kami juga menggalakkan lebih ramai rakan penghantar kami untuk mendaftar. Kami berharap untuk meneruskan lagi kerjasama seperti ini bersama pihak Kerajaan dan PERKESO bagi memperkenal lebih banyak faedah pada masa hadapan,” tambah Das lagi dalam kenyataan media tersebut.

Pemeteraian MoU bersama Foodpanda Malaysia merupakan yang pertama bagi PERKESO bagi kerjasama pelaksanaan inisiatif ini. Pendaftaran bagi inisiatif ini kini telah tersedia menerusi portal Rider Shop buat rakan penghantar foodpanda yang berminat untuk mendaftar dan memanfaatkan insentif ini. - KitaReporters


19
10
0
11
0
You will be interested