Alam & Sains 29 Jun, 2020

eMFL: Liga 'padang skrin'! Penawar rindu bola Liga Malaysia!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BOLA sepak di padang sebenar belum boleh dimainkan, kini bola sepak elektronik (e-bola sepak) pula muncul secara dalam talian. Gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara bagi mengekang penularan pandemik maut, Covid-19, saingan Liga Malaysia 2020 telah tertangguh sejak 16 Mac 2020 biarpun ada harapan bakal cuba disambung semula mulai 1 September 2020. : KitaReporters

LOGO MFL dan Liga Bola Sepak e-Malaysia (eMFL) 2020. - Kredit foto MFL


Saling tidak tumpah dengan sepotong pepatah Melayu, "kalau tiada rotan, akar pun jadilah," apabila dikaitkan dengan kemunculan Liga Bola Sepak e-Malaysia (eMFL).

"Menerusi kerjasama dengan satu jenama terbesar industri permainan video dan sukan elektronik (e-sukan), Electronic Arts (EA), eMFL diwujudkan secara liga rasmi yang dimainkan dalam platform PlayStation 4 dengan menggunakan judul FIFA20

"eMFL menjadi liga e-bola sepak kedua di Asia yang menjalin kerjasama dengan EA selepas Piala eMBS Arab Saudi dan mengikut jejak tiga liga utama Eropah seperti Sepanyol, England dan Jerman. 

"eMFL terdiri daripada dua peringkat iaitu peringkat kelayakan dan liga," lapor siaran media Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini, Isnin 29 Jun 2020.

AB GHANI HASSAN (dua dari kiri) menekan butang alat kawalan konsol permainan PlayStation FIFA20 sebagai gimik pelancaran eMFL 2020.  - Kredit foto: MFL


Pada peringkat kelayakan Mac 2020, 25 pemain berstatus ‘sahih’ yang berada dalam kedudukan rasmi Siri Dunia FIFA telah bersaing sesama mereka dalam format pusingan swiss untuk merebut 12 tempat teratas peringkat liga. 

Seterusnya, 12 pemain terbaik ini akan mewakili antara kalangan pasukan Liga Super 2020 seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Melaka, Sabah, UiTM FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pahang, Perak, Felda United, Terengganu FC, PJ City FC dan Kedah.

AB. Ghani Hassan (dua dari kanan) bersama-sama wakil penaja dan rakan penganjur eMFL 2020 di Petaling Jaya, Selangor. - Kredit foto: MFL


eMFL akan bermula pada 1 Julai 2020 hingga 10 Julai 2020 dengan aksi hebatnya boleh ditonton para penyokong menerusi siaran langsung laman Facebook rasmi eMFL, eMFLmy mulai pukul 8.45 malam. 

Kerjasama eMFL-EA ini bakal mewujudkan gelanggang yang tepat dalam melahirkan pemain terbaik FIFA20 Malaysia sekali gus meningkatkan karier mereka dalam kejohanan e-bola sepak peringkat tertinggi. 

MFL, badan pengurus Liga M juga melantik GB Esports Sdn. Bhd. - penganjur kejohanan e-sukan terkemuka bagi kategori konsol di Malaysia, sebagai rakan e-sukan eksklusifnya dalam menguruskan dan mempromosikan eMFL.

PARA pegawai MFL, wakil-wakil penganjur dan penaja serta pemain-pemain eMFL 2020 menayangkan isyarat bagus selepas majlis undian. - Kredit foto: MFL


Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan percaya, eMFL bukan sahaja menaikkan nilai komersial FIFA dalam e-sukan negara bahkan generasi muda kini memiliki pilihan untuk menjadi jagoan profesional permainan konsol itu. 

“eMFL juga dijangka mampu mengubati kerinduan penyokong-penyokong yang mahu menyaksikan Liga Malaysia kembali. Inilah satu perkembangan baik untuk generasi muda malah Liga Malaysia telah berkembang dalam saluran digital sekali gus membuka pilihan baharu mereka dalam karier profesional sukan ini.  

“Harapan saya ialah agar setiap pemain bermainlah bersungguh-sungguh demi menjaga prestij pasukan mereka,” katanya pada majlis undian eMFL di pejabat MFL di Petaling Jaya, Selangor.  - KitaReporters


Keputusan undian pemain pasukan eMFL 2020 :

Ahmad Shahrin Shaharudin (PDRM), Alif Dani Noor Badarrudin (Melaka), Faaiz Zainuddin (Pahang), Iskandar Mirza Mohd. Mustafa (Selangor), Muhamad Luqman Haziq Hajiman (JDT), Muhammad Zainun (Sabah), Muhammad Akhmal Roslan (UiTM FC), Muhammad Faid Mohd. Said (PJ City FC), Muhammad Faiz Hariry Mohammad Fadzai (Terengganu FC), Muhammad Imran Burhanudeen (Kedah), Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa (Perak), Mirza Mohammad Nabil Beg Mirza Mohammad Taiyab Beg (Felda United).

WAKIL Persatuan e-Sukan Kuala Lumpur menayangkan kertas undian bertulisan nama pemain e-bola sepak pasukan JDT, Muhamad Luqman Haziq Hajiman. - Kredit foto: MFL 

0
0
0
0
0
You will be interested