Alam & Sains 04 Jun, 2023

Dron adalah masa hadapan! Pelabur dijemput teroka kerjasama strategik dengan Malaysia! - Ismail Sabri

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Ucaptama Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Kongres Dron Sedunia 2023

Intercontinental Hotel, Shenzhen, China pada 2 Jun 2023


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Petang,

Ta Jia Hao? (Hi, apa khabar semua?)



Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu World UAV Federation kerana menjemput saya bagi merasmikan pembukaan Kongres Dron Sedunia 2023.

Saya juga berbesar hati mengucapkan selamat datang kepada ahli persekutuan WUAVF yang terdiri daripada 40 buah negara serta delegasi-delegasi yang merangkumi 91 buah negara.

Saya difahamkan Kongres Dron Sedunia ini telah masuk siri yang ketujuh dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pakar industri serta pembuat dasar dan wakil Kerajaan.

Ini menandakan bahawa pentingnya industri dron atau Kenderaan Udara Tanpa Kawalan (UAV) dalam membentuk dunia yang lebih progresif serta masyarakat yang celik teknologi.

Teknologi sentiasa melalui proses revolusi dan kecanggihan yang akan memanfaatkan manusia dan salah satu daripada teknologi yang semakin mendapat tumpuan pada hari ini ialah dron.

Dianggap sebagai sektor teknologi baru muncul beberapa tahun lalu namun sistem dron ini telah lama diguna pakai oleh beberapa negara maju.

Ia mempunyai kebaikan dan keburukan. Ada yang menggunakannya untuk memelihara nyawa dan ada pihak menggunakannya sebagai senjata untuk membunuh nyawa. Saya percaya dunia akan menggunakannya sebaik mungkin untuk kesejahteraan manusia.

Penggunaannya sudah meluas meliputi sektor pertanian, perindustrian dan pembangunan kawasan baharu. 



Di pentas ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi bagaimana pasukan tentera Malaysia dan polis mengguna pakai sistem dron atau UAV ini semasa negara menghadapi cabaran pandemik COVID-19 kira-kira tiga tahun lalu.

Sistem dron ini amat berguna ketika dunia dilanda wabak COVID-19 kerana manusia tidak perlu turun padang memantau keadaan sekeliling tapi hanya menggunakan sistem dron untuk membantu Kerajaan mengawal COVID-19 daripada merebak.

Sistem dron atau UAV telah berkembang luas melangkaui sektor ketenteraan malah kini telah banyak digunakan dalam sektor perusahaan dan pertanian termasuk dimiliki sendiri oleh orang awam.

Sektor pertanian di Malaysia sudah mula menggunakan dron secara intensif dalam aktiviti pemetaan ladang, pemeriksaan tanah, pembajaan dan peracunan. 

Sebagai contoh, sebuah agensi Kerajaan menggunakan dron untuk mengawal selia ladang kelapa sawit miliknya seluas hampir 900 ribu hektar.

Setiap koridor di Malaysia juga mempunyai hab dron yang tersendiri seperti Kedah Aerotropolis serta Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) yang akan menjadi pencetus kepada sistem ekologi bandar pintar.

Kawasan yang ditetapkan ini menyediakan persekitaran khusus untuk pembangunan dron, ujian dan penggunaan rekreasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri dron.

Justeru, ketika menerajui Kerajaan Malaysia, saya telah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.



UAV adalah masa hadapan. Fungsinya bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, malah boleh meningkatkan sekuriti makanan negara dan meminimumkan impak perubahan iklim.

Sejak dunia dilanda wabak COVID-19, perkara utama yang menjadi keresahan seluruh dunia adalah isu sekuriti makanan negara. 

Tanpa kita sedari, kemunculan sistem dron ini mampu membantu meningkatkan sumber makanan negara terutama dalam aspek penanaman tanaman, pemantauan kesihatan tumbuhan dan hasil.

Selain itu, isu perubahan iklim perlu dijadikan perbincangan utama kerana kesan daripadanya memberi kemudaratan kepada kehidupan manusia seperti bencana alam, peningkatan suhu yang mendadak dan peningkatan kadar kepupusan haiwan.

Banyak manfaat dapat kita peroleh daripada sistem dron ini jika digunakan sebaiknya dan perlu ada kesedaran yang tinggi oleh setiap negara untuk mencebur dan melabur dalam industri dron.

Kongres Dron Sedunia 2023 ini adalah detik terbaik untuk memacu industri dron dunia dan memulakan langkah pertama ke arah mengadaptasi transformasi digital kepada seluruh lapisan masyarakat. Tahniah World UAV Federation.

Saya telah melihat sendiri bagaimana Industri UAV ini mampu memanfaatkan negara dan rakyatnya. Saya yakin banyak negara telah mencorak kerangka industri dron di negara masing-masing.

China merupakan contoh yang terbaik dalam membangunkan industri ini. Syarikat-syarikat dari negara ini menguasai pasaran dron dunia. Kerajaan dan pemain industri saling berganding bahu untuk memastikan teknologi ini terus berkembang.

Dalam masa yang sama, Malaysia telah mempunyai ekosistem untuk industri dron melalui pembinaan prasarana dan dasar yang jelas menerusi pelan MDTAP30.

Justeru, saya ingin mengajak pemain-pemain industri, pembuat dasar dan wakil Kerajaan untuk menerokai kerjasama strategik dengan Malaysia menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Sekarang bukan masa untuk kita menolak arus perubahan teknologi kerana ternyata dron memberi banyak manfaat kepada negara dan masyarakat seterusnya mewujudkan negara yang membangun.

Saya berharap semua delegasi dapat memanfaatkan masa dan ruang yang ada selama 3 hari ini untuk bertukar pandangan dan idea mengenai masa depan industri dron dunia.

Dengan hasrat tersebut, saya merasmikan pembukaan Kongres Dron Sedunia ke-7, 2023. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
16
0
9
0
You will be interested