Alam & Sains 19 Apr, 2023

Catatan Akademik| Jangan terlepas peluang! Saksikan Gerhana Matahari Hibrid! Pada 20 April 2023!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh DR. MOHD AZMAN HASHIM @ ISMAIL

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Umat Islam yang kini berada pada penghujung Ramadan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Sabtu 22 April 2023 bergantung kepada keputusan cerapan anak bulan yang dijadualkan pada hari Khamis, 20 April 2023 di beberapa lokasi cerapan di Malaysia. 

Namun begitu, pada 20 April 2023, umat Islam juga akan menyaksikan suatu fenomena alam iaitu Gerhana Matahari Hibrid. 

Kita hanya berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa mulai jam 11:00 pagi hingga 1:30 petang dengan litupan 2% di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan litupan semakin bertambah sehingga 43% di Sabah kerana bayang-bayang penumbra bulan melalui di Malaysia pada waktu tersebut. 

Gerhana Matahari Hibrid ini berlaku anggaran sekali setiap dekad di mana kedua-dua jarak bulan dan matahari dengan bumi perlu berada pada kedudukan yang spesifik bagi membolehkan ia berlaku dengan beberapa kriteria Gerhana Matahari Hibrid. 

Bagi membolehkan gerhana ini berlaku, tiga objek akan terlibat iaitu matahari, bulan dan bumi. 



Tahukah bahawa, ketiga-tiga objek ini bergerak dengan kelajuan yang tinggi dalam orbit, sedangkan pemerhati yang berada di lokasi bumi akan melihat gerakan bulan dan matahari adalah perlahan dan ia memberi kesempatan kepada kita untuk menyaksikan.  

Bumi yang beredar mengelilingi matahari pada kelajuan 107,200 km/j dan pada masa yang sama, berputar dengan kelajuan 1,670 km/jam. 

Namun begitu ada suatu ketika bumi berputar lebih pantas pada 29 Jun 2022 dengan melengkapkan putaran penuh dalam masa 1.59 milisaat kurang daripada putaran piawaian 24 jam. 

Perkara lain yang perlu diperhatikan lagi ialah saiz bagi ketiga-tiga objek. 

Matahari mempunyai garis pusatnya berukuran 1,391,980 kilometer atau 109 kali ganda saiz Bumi, manakala bumi pula bersaiz lebih kurang 4 kali ganda saiz bulan. 

Walaupun saiz ketiga-tiga objek ini berbeza, apabila berlaku gerhana matahari penuh, saiz bulan seolah-olah adalah sama dengan matahari. 

Ini terjadi kerana kedudukan bulan dan matahari perlu berada pada suatu jarak nisbah yang sesuai semata-mata untuk hamba-Nya menyaksikan ciptaan-Nya. Subhanallah.

“Sungguh, Tuhanmu (adalah) Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat. (Dia ciptakan) matahari, bulan dan bintang-bintang tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah! Segala penciptaan dan urusan menjadi hak-Nya. Maha Suci Allah, Tuhan sekelian alam.” Surah al-A’raf ayat 54.



Sebagai rekod, Gerhana Matahari Hibrid ini berlaku 7 kali pada abad ke-21, iaitu pada tahun 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067. 

Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana melibatkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra yang menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, Gerhana Matahari Penuh, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Separa sepanjang laluan tengah gerhana. 

Walaupun begitu, jenis gerhana yang kita dapat lihat adalah bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana tersebut. Di sini, bayang bulan menutupi bumi mengikut lokasi pemerhati. 

Dalam kesempatan pada Fenomena Gerhana Matahari Hibrid yang berlaku pada 20 April 2023, pemerhati yang berada di Hemisfera Selatan boleh menyaksikan mulai jam 09:35:34.3 dan berakhir pada 15:00:31.9 waktu tempatan. 

Fenomena tersebut (Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Penuh) boleh dilihat di sebahagian Australia, Timor-Leste, Indonesia (Papua Barat dan Papua) manakala Gerhana Matahari Separa boleh dilihat di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Hindia Timur, Australia, Filipina dan New Zealand. 

Laluan gerhana pula adalah selebar 49km yang bermula di Lautan Hindi ketika matahari terbit dan berakhir ketika matahari terbenam di Lautan Pasifik dan hanya melintasi kawasan darat di sebahagian Australia Barat, Timor Leste dan Papua Barat. 

Ketika fenomena ini berlaku, gerhana anulus akan kelihatan dalam beberapa saat di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dengan gerhana maksimum di Exmouth, Australia Barat (sekitar 1 minit), Timor-Leste (1 minit 14 saat) dan Papua Barat (1 minit 9 saat). Gerhana Matahari Separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan yang lebih luas meliputi Asia Tenggara termasuk Malaysia, Hindia Timur, Australia, Filipina dan New Zealand. 

Sebagai langkah keselamatan orang awam adalah diingatkan untuk menggunakan penuras khas bagi menyaksikan fenomena Gerhana Matahari. 

Melihat terus ke arah matahari tanpa mengunakan sebarang penuras yang sesuai adalah dilarang kerana ia boleh menyebabkan kerosakan mata atau mengakibatkan buta kekal.



PROF MADYA DR MOHD AZMAN HASHIM @ ISMAIL ialah Dekan Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


13
10
0
14
0
You will be interested