Alam & Sains 25 Apr, 2024

Terbaiklah NEST! Dapat pengiktirafan pelbagai pihak! Usaha bangunkan industri avitourisme negara!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Program Backyard Buddy Putrajaya, kerjasama di antara Perbadanan Putrajaya dan NEST.


PERTUBUHAN Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) semakin matang mengatur langkah mengharungi pelbagai senario dalam mengangkat industri avitourisme dan alam sekitar berikutan sokongan serta pengiktirafan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk korporat, institusi pengajian tinggi dan masyarakat.

NEST yang ditubuhkan sebagai sebuah NGO pada 2016 didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan secara rasmi pada 31 October 2017. Ia mengumpulkan barisan sukarelawan yang berminat dalam alam semula jadi dan burung berkongsi yang mempunyai satu matlamat untuk menyampaikan ilmu serta kepakaran kepada masyarakat. 

neVisi besar NEST ialah membawa alam semula jadi kepada komuniti dengan harapan pendedahan dan penyampaian ilmu dan kefahaman mengenai alam akan memberi impak yang lebih positif terutama membabitkan hubungan antara manusia dan alam semula jadi.

Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan, berkata pertubuhan itu juga meletak misi sebagai platform bagi mempromosi, menghasilkan bakat, kepakaran dan pembentukan insan yang dedikasi, kreatif dan menghargai alam semula jadi dalam kehidupan mereka.

"NEST mahu meniup inspirasi bagi menzahirkan perhatian masyarakat kepada keindahan dan 1001 kebaikan alam dengan harapan mereka lebih peka dan menjaga bumi daripada segala bentuk pencemaran dan toksin yang kelak boleh memusnahkan planet ini. 

Sulaiman Salikan


"Apa yang kami tawarkan kepada masyarakat ialah kerjasama untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan, institusi pendidikan , syarikat komersial seperti kajian, pembelajaran, merangka aktiviti , latihan dan perunding.

"Dalam bidang pendidikan, kami menyediakan sukarelawan yang peka dalam pendidikan sama ada jangka pendek atau panjang bagi menyalur ilmu mengenai alam semula jadi dan burung sama kepada IPT, kerajaan, korporat dan pihak yang berminat dalam bidang ini," katanya selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara NEST dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau mewakili NEST manakala UMT di wakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Program Bird Race Putrajaya, kerjasama Perbadanan Putrajaya dan NEST di Taman Wetland Putrajaya mendapat sambutan luar dugaan peserta. 


Sulaiman berkata, MoU itu dan pelancaran bengkel pencerapan serta penyelidikan burung di Tasik Kenyir adalah pencapaian NEST yang amat dibanggakan. Semoga ia dapat menyumbang manfaat dari segi pengalaman, keilmuan, kepakaran dan kajian dalam memantapkan lagi biodiversiti negara dan bidang avitourism khususnya di Terengganu.

"Sebelum ini, kami banyak terbabit dalam aktiviti berkaitan alam semula jadi dan burung sama ada dengan kerajaan atau korporat seperti Taiping Birds Week, Bird Race Putrajaya, Backyard Buddy Putrajaya dan Pertandingan Fotografi Putrajaya Minggu.

"Malah kami adalah penerima Geran Di Bawah Dana Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) Bagi Projek 'Bird Survey: Taman Negeri And Forest Reserve Parks In Peninsular Malaysia'," katanya. 

Bird Week Taiping bersama Majlis Perbandaran Taiping dan Zoo Taiping Night Safari adalah acara tahunan yang dikendalikan oleh NEST.


Selain itu, NEST juga aktif memberi pendedahan mengenai alam kepada masyarakat melalui seni, lukisan, gambar dan video dalam pelbagai pameran, pertandingan, media massa dan penerbitan.

"NEST terbabit secara langsung dalam "master plan" program Urban Birding Putrajaya, Pameran Fotografi Burung di MATIC pada 2017 dan Taiping Bird Week pertama pada 2017. Kami turut menjalankan kajian berkaitan burung bersama Perbadanan Putrajaya sejak 2018 dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada 2020.

"Pengalaman seumur hidup apabila kami terbabit dalam kolaborasi bersama Majlis Perbandaran Taiping, Taiping Zoo & Night Safari, Perhilitan and Taiping Birding Community bagi memantau kehadiran burung hud-hud di Tasik Taiping yang mencetuskan fenomena di seluruh negara malah mendapat maklum balas daripada peminat burung di luar negara," katanya. 

Burung hud-hud yang menjadi fenomena di seluruh negara selepas ditemui membuat sarang di Taman Tasik Taiping, Perak.  


Team NEST sedang mengambil sudut menarik untuk merakam setiap pergerakan burung hud-hud di Taman Tasik Taiping.


Untuk program komuniti, katanya NEST bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya untuk program Green Khalifa, Backyard Buddy, pelbagai aktiviti burung dan pameran. Manakala, dalam penerbitan, pertubuhan itu menghasilkan buku Bird Haven Putrajaya pada 2019, Putrajaya Photography Bird Guide Book dan 111 Birds of Seremban pada 2021.

"Tahun lalu (2023), kami terbabit bersama Jabatan Perhutanan Perlis dan kerajaan negeri meneroka biodiversiti khazanah hutan di negeri itu dan menyediakan program “The Northernmost Bird Race Wang Kelian, Perlis 2023" di Taman Negeri Perlis dan sekitar Wang Kelian. Ia dirasmikan MB Perlis, Mohd Shukri Ramli," kata Sulaiman lagi.

Sejenis burung hantu spesies Sunda Scops Owl yang ditemui ketika birdsuvey di hutan Wang Kelian, Perlis.


Beliau berkata, memang menjadi matlamat NEST sejak penubuhan untuk memajukan industri berkaitan burung terutama melahirkan pemandu pelancong yang mahir dalam bidang itu kerana permintaan di pasaran amat tinggi sedangkan jumlah sedia ada terlalu kecil.

"Ada kira-kira 3,000 pemandu pelancong terlatih di negara ini tapi yang memberi fokus kepada aktiviti memburung hanya 50 orang dan ia perlu ditambah bagi memastikan ia dapat menampung permintaan yang tinggi di kalangan peminat burung di dalam dan luar negara.

"Saya yakin tugas pemandu pelancong membawa peminat burung bagi aktiviti memburung di sesuatu lokasi adalah kerjaya yang lumayan jika dapat dilakukan secara serius," kata Sulaiman. - KitaReporters

Team NEST yang terbabit dalam survei burung bersama Jabatan Perhutanan Perlis di Wang Kelian dan hutan sekitar.

29
15
0
14
0
You will be interested