Alam & Sains 19 Sep, 2022

Keluarga Malaysia akan terus dapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin! Pada harga mampu bayar!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


KERAJAAN terus bersikap prihatin dan memberi jaminan bahawa Keluarga Malaysia akan terus mendapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin pada harga mampu bayar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pada masa yang sama, satu penyelesaian holistik amat diperlukan bagi menjamin bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran Keluarga Malaysia selain menggalak daya saing dan inovasi dalam industri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi

"Dalam konteks ini, Kerajaan telah menggubal Dasar Tenaga Negara, 2022–2040 atau DTN, dengan mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan. 

"DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan," katanya pada Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) pada Isnin, 19 September 2022 di Hotel Marriott Putrajaya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)


Menurut Perdana Menteri, visi DTN adalah Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama dan disokong oleh tiga objektif

"Pertama, meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga; kedua, mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga; dan ketiga, memastikan kelestarian alam sekitar

"Objektif ini bertujuan mengimbangi trilema tenaga yang sejajar dengan matlamat utama Rancangan Malaysia Kedua Belas dan juga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)," jelas beliau. 

Sehubugan itu, beliau berkata, untuk mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti, berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun. 

Oleh itu, katanya lagi, Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana  strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan. 

"Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing. 

"DTN juga merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa," kata Ismail Sabri lagi. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 (DTN) pada Isnin, 19 September 2022 di Hotel Marriott Putrajaya :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Alah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita semua dapat berkumpul dalam Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 atau DTN pada hari ini (19 September 2022). 

2. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan majis yang sangat signifikan kepada dasar dan hala tuju negara, sekali gus untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030. 

3. Saya amat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi kerana kesudiannya mengundang saya untuk merasmikan majlis ini. 

4. DTN merupakan komitmen Kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama kemampanan sosioekonomi bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

5. Sektor tenaga di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya permintaan dan kos bekalan tenaga yang semakin meningkat. 

6. Kedua-dua cabaran ini, akan terus memberi tekanan kepada Kerajaan untuk menanggung subsidi yang tinggi agar kehidupan Keluarga Malaysia tidak terbeban. 

7. Contohnya, bagi tahun 2022, Kerajaan dijangka menanggung subsidi tenaga sebanyak RM37.3 bilion bagi petrol, diesel dan LPG. 

8. Kerajaan juga menampung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion, bagi manfaat Keluarga Malaysia serta memberikan jaminan pembiayaan sehingga RM6 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), agar operasinya tidak terjejas. 

9. Selain itu, kemelut pandemik dan ketidaktentuan geopolitik dunia, serta isu perubahan iklim yang serius turut memberi kesan kepada harga bahan api dan peralihan kepada tenaga yang lebih mampan. 

10. Di sebalik keadaan ini, Kerajaan terus bersikap prihatin dan memberi jaminan bahawa Keluarga Malaysia akan terus mendapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin pada harga mampu bayar. 

11. Pada masa yang sama, satu penyelesaian holistik amat diperlukan bagi menjamin bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran Keluarga Malaysia selain menggalak daya saing dan inovasi dalam industri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi. 

12. Dalam konteks ini, Kerajaan telah menggubal Dasar Tenaga Negara, 2022 – 2040 atau DTN, dengan mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan. 

13. DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan.

Keluarga Malaysia yang saya hormati, 

14. Visi Dasar Tenaga Negara adalah Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama dan disokong oleh tiga objektif: 

Pertama, meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga; 

Kedua, mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga; dan 

Ketiga, memastikan kelestarian alam sekitar. 

15. Objektif ini bertujuan mengimbangi trilema tenaga yang sejajar dengan matlamat utama Rancangan Malaysia Kedua Belas dan juga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

16. Kerajaan telah menetapkan Aspirasi Pelepasan GHG Sifar Bersih 2050 yang mencakupi seluruh aspek aktiviti antropogenik.

17. Sehubungan itu, Dasar Tenaga Negara, 2022-2040 yang dilancarkan hari ini menetapkan sasaran khusus bagi sektor tenaga, iaitu Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040. 

18. Saya percaya inisiatif ini akan dapat membantu mencapai aspirasi negara pada tahun 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim. 

19. Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah DTN mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada tahun 2040, antaranya: 

Pertama, perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus; 

Kedua, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus; 

Ketiga, standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30;

Keempat, penggunaan gas asli cecair atau LNG sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus; dan 

Kelima, penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus. 

20. Pelaksanaan aspirasi ini secara holistik dijangka dapat meningkatkan purata KDNK sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu. 

21. Malah, sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari pada peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu, seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV, serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

22. Untuk mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti, berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun. 

23. Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana  strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan. 

24. Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing. 

25. DTN merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

26. Kerajaan kini menumpukan kepada pembangunan EV dengan menawarkan pelbagai insentif cukai bertujuan menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau. 

27. Kerajaan juga telah menubuhkan EV Taskforce yang dianggotai oleh pelbagai pihak untuk memperinci strategi sedia ada berkaitan pembangunan EV dan mempromosi industri EV tempatan. 

28. Dalam hal ini, empat bidang menjadi fokus utama iaitu meningkatkan penggunaan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan, membangunkan bakat dan menarik pelaburan selain rangka kerja strategik dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan industri EV tempatan. 

29. Sehingga kini, lebih 600 buah kemudahan pengecas EV telah dipasang di seluruh negara dan ditingkatkan lagi  melalui inisiatif syarikat seperti TNB dan Petronas dengan memeterai jaringan kerjasama dengan pihak berkaitan. 

30. Bagi memacu pembangunan hidrogen, Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, meliputi penggalakan penyertaan pemain industri, R&D termaju yang berorientasikan pasaran serta penggunaan produk dan teknologi berkaitan hidrogen.

31. Kerajaan juga telah mengagih semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat bagi memacu penjanaan hidrogen hijau. 

32. Pada masa ini, Petronas juga sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang hidrogen bagi penjanaan sumber ekonomi baharu. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

33. Kerajaan yakin DTN berupaya memastikan sektor tenaga negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran masa hadapan. 

34. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi serta semua pihak yang terlibat dalam menggubal DTN dan menjayakan majlis pada hari ini. 


12
9
0
13
0
You will be interested