Amalan melepaskan ikan pemangsa ke dalam ekosistem air tawar sebenarnya adalah masalah yang sangat membimbangkan para nelayan kerana ia dapat menjejaskan sumber pendapatan nelayan.
Jabatan Perikanan (DOF) mengesan ada pihak melepaskan ikan
pemangsa (invasif) ke dalam perairan air tawar untuk tujuan ritual atau tradisi
kepercayaan lainnya.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan ) Jabatan Perikanan Malaysia, Yeo Moi Eim, berkata, perbuatan itu dikesan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi sekitar Johor baru-baru ini.
Katanya, jika sebelum ini ikan invasif dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium serta kolam di kediaman, tetapi kemudian dilepaskan ke sistem saliran air tawar antaranya sungai apabila tidak lagi mampu mengendalikannya.
"Antara spesies ikan asing ini ialah baung ekor merah, peacock bass dan pacu yang mempunyai keupayaan membiak serta boleh membesar dengan cepat dan terus berkembang dengan jumlah yang semakin ketara.
"Sebahagian daripadanya juga boleh bertahan dalam keadaan air tercemar seperti ikan keli Afrika dan ikan bandar raya (ikan pleco)," katanya selepas program PelepasanBenih Anak Udang di Jambatan Putus Buloh Kesap, Segamat pada 12 Oktober 2025.

Yeo Moi berkata, pihaknya tidak pernah melarang atau
menyekat sesiapa untuk melakukan upacara ritual berkenaan, namun dengan syarat
tidak melepaskan ikan invasif ke perairan air tawar umum.
“Orang awam perlu peka dan tidak mengambil mudah dengan pencerobohan ini atas apa sahaja alasan, termasuk kepercayaan, sosial dan masalah untuk memeliharanya.
"Semua pihak yang berhasrat melepaskan ikan ke perairan umum, dimohon mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Perikanan atau persatuan nelayan terdekat.
"Ini kerana daripada hasil program inventori yang dijalankan dan maklum balas daripada nelayan darat mendapati beberapa sungai utama negeri ini kini dikesan ada kehadiran habitat ikan pemangsa terlarang berkenaan," katanya.
Beliau berkata, spesies berkenaan mula mengancam populasi air tawar tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tenggalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah yang selama ini mendiami perairan air tawar terbabit. - KitaReporters