Alam & Sains 16 Nov, 2023

Video| Sonamarg, boathouse dan Tasik Dal di Lembah Kashmir Dalam Kenangan! Kunjungi Syurga Di Bumi!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this


Panorama kaki gunung yang indah di Sonamarg yang juga kawasan banjaran Himalaya. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Kalau nampak pemandangan menarik berlatarkan bukit atau gunung bersalji yang indah lagi mengasyikkan dalam filem percintaan Hindi@Bollywood, pastinya di Kashmir, India. 

Bentuk geografi yang bergunung-ganang dan berlembah menawarkan begitu banyak lokasi menarik yang mampu membuatkan pelancong terpesona dengan keindahan alamnya.

Destinasi pergunungan popular dalam kalangan pelancong dan pengembara di Kashmir ialah Sonamarg, Gulmarg dan Pahalagam. Bersalji di kemuncak gunung dan terkadang memutih sampai ke kaki gunung dan bukit pada musim sejuk, menjadikannya lokasi tumpuan penggambaran bagi babak-babak percintaan selain di kawasan bertasik.

Destinasi popular kawasan bertasik adalah di Srinagar. Bandar Srinagar di Lembah Kashmir berkedudukan di tepi Sungai Jhelum, anak sungai Indus.


Lembah berair sungai cetek yang mengalir deras dari kawasan pergunungan antara pemandangan syahdu mengiringi perjalanan pengunjung ke Sonamarg dan Gulmarg. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim 


Shikara (perahu) menunggu penumpang di salah satu jeti Tasik Dal untuk membawa mereka ke boathouse di tengah tasik. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Terletak di ketinggian 1,730 m, betul betul di kawasan tengah Kashmir, Srinagar terkenal dengan tasik semula jadi yang menawarkan keindahan tersendiri. Bandar itu juga terkenal dengan taman-taman luas terbentang dipenuhi hamparan bunga berwarna-warni pada musimnya. 

Berkunjung ke Kashmir tidak sah kalau tidak menginap di Tasik Dal, Srinagar. Bukan di rumah penginapan biasa, sebaliknya penginapan jenis rumah bot (boathouse) yang terletak di tengah tasik. 

Bayangkan bot-bot sebesar rumah berada di air tasik. Bangunannya disempurnakan dengan bumbung, dinding, lantai dan pintu masuk seperti mana sebuah kediaman. Sesetengah berfungsi sebagai rumah kedai dan ada juga hotel.


Seorang penumpang sedang keluar daripada shikara menaiki pelantar jeti. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Ini kenangan kami bercuti di Kashmir zaman sebelum wabak Covid-19. Dari jeti, pengunjung menaiki shikara (perahu dayung) untuk ke boathouse di tengah tasik. Shikara dikayuh manual (dengan tangan) membawa penumpang terus ke pelantar di hadapan boathouse. Mula-mula menaiki shikara cemas juga tetapi kemudian terbiasa apabila beberapa kali berulang-alik dari jeti ke boathouse sepanjang menginap empat hari tiga malam.

Sesampai sahaja, melangkah penuh berhati-hati dari shikara ke pelantar yang kemudian membawa ke anjung rumah bot. Disebabkan boathouse berada di permukaan air, perasan seperti bergoyang tetapi sebenarnya tidaklah sangat. 


Rumah bot atau boathouse tempat penginapan pelancong yang popular di Tasik Dal, Srinagar. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Pengalaman menginap tiga hari dua malam memang mengujakan. Pertamanya kerana dapat tidur di rumah bot yang bersih lagi cantik, diperbuat daripada kayu jenis Devdar yang kukuh dan tahan air. 

Bangunannya diperincikan dengan hiasan ukiran kerawang yang berseni, sekali gus menerbitkan imej gah pada fasad depan. Sesetengahnya menerapkan ukiran motif tumbuhan dan unggas bercirikan zaman Mughal. 

Difahamkan penginapan boathouse diilhamkan daripada rumah perahu/kapal pada zaman dahulu, di mana alat pengangkutan air itu dijadikan tempat tinggal sewaktu berlabuh lama di tepi sungai dan tasik. 

Houseboat di Srinagar kini menjadi tarikan utama pelancong di Kashmir, bertumpu di kawasan Tasik Dal dan Nagin. Beberapa catatan pengalaman di laman blog, memberi ulasan tidak selesa dengan keadaan houseboat yang kurang terjaga namun tempat kami menginap berkeadaan baik.  


Bahagian anjung sarat berukir memberi gah pemandangan pada fasad depan bangunan boathouse di Tasik Dal, Srinagar. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim.


Bahkan terkesima melihat houseboat yang indah berukir. Apa pun cantik saja tidak cukup kalau kurang fungsi heater (pemanas), terutama pada musim sejuk. Dengan sistem pemanas di tilam, tidur pun selesa, bayangkan alat itu tidak berfungsi, sejuk menggigillah jawabnya. Alhamdulillah kami tidak menghadapi masalah begitu.

Walau ada heater, sebelum tidur petugas memasang api di bekas pendiang untuk menghangatkan bilik. Namun apinya tidak tahan lama justru perlunya pemanas elektrik. 

Pendiang konvensional berupa bekas silinder logam, di dalamnya dimasukkan arang@kayu untuk menyalakan api. Diperbuat daripada zink, bekas itu berpenutup, asap keluar menerusi saluran yang dihalakan ke luar rumah.

Satu yang rimas, dengan hawa sejuk dari luar, rasa tidak selesa memijak permukaan permaidani yang lembab.

Paling tidak seronok apabila selalu diganggu kedatangan penjaja, menjual pakaian baju dan aksesori wanita. Apabila disua-suakan, yang tidak merancang berbelanja pun terbeli juga. 

Begitu juga sewaktu kegiatan shikara ride (bersiar di tasik). Terlepas peluang nak melihat keindahan pemandangan sekeliling kerana diserbu penjaja berperahu (shikara), yang datang menempel satu demi satu.


Alat pendiang tradisional, ketulan kayu dimasukkan ke dalamnya dan dinyalakan api untuk menghangatkan bilik. - Kredit gambar: Rashidah Ibrahim.


Saya diberitahu ada kira-kira 1,500 boathouse beroperasi di situ sebagai rumah penginapan yang kesemuanya milik penduduk tempatan. Kalau termasuk rumah kedai, penginapan hotel dan lain-lain, mencecah puluhan ribu unit. Mereka membina rumah bot dengan harga sangat mahal.

Waktu terbaik melancong ke Kashmir pada April hingga Oktober kerana seluruh lembah ini dihampari keindahan bunga warna-warni. Pun begitu Srinagar adalah destinasi sesuai dikunjungi sepanjang tahun kerana cuacanya kekal menyenangkan baik semasa musim panas mahupun sejuk.  

Lebih 3.04 juta pelancong dilaporkan mengunjungi Lembah J&K (Jammu dan Kashmir) di India pada Januari, Februari dan Mac 2022 selepas tamatnya sekatan perjalanan akibat pandemik, lapor laman berita Wionews.


Menampilkan perincian ukiran yang halus berseni pada gerbang dan pintu masuk Bothouse. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Berkedudukan di utara India di kawasan banjaran Himalaya menjadikan Kashmir tempat sejuk sepanjang tahun.

Sebenarnya Kashmir ialah suatu wilayah yang wujud bersama Jammu, maka secara rasminya dikenali Jammu dan Kashmir (J&K) namun sebutan lumrah, Kashmir saja. 

J&K adalah negeri wilayah kesatuan (union territory) utara India, bersempadan dengan negeri-negeri Himachal Pradesh dan Punjab, India di selatan, negara Pakistan di barat dan Republik Rakyat China di timur laut dan timur. 

J&K meliputi tiga bahagian iaitu Jammu, Lembah Kashmir dan Ladakh. Menariknya, Srinagar adalah ibu negeri musim panas, dan Jammu pula ibu negeri musim sejuk. 

Lembah Kashmir diberi jolokan "Syurga Di Bumi" terkenal dengan keindahan landskap pergunungan. 

Kelebihan Jammu, mampu menarik puluh ribu pengunjung Muslim dan Hindu, Ladakh pula dikenali "Tibet Kecil" juga tersohor dengan keindahan pergunungan selain kaya dengan kebudayaan masyarakat beragama Buddha. - KitaReporters


Panorama alam tasik berlatarkan gunung, dengan shikara dan boat house di air. - Kredit foto: Pexels


14
10
0
7
0
You will be interested