Alam & Sains 20 Oct, 2021

MyDigitalMaker 2021! Usaha MDEC, Jazro mempersiap sedia pelajar kepada dunia segalanya digital!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


JAZARI Robot Resources (Jazro) telah bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menganjurkan pesta maya #MyDigitalMaker bagi wilayah Pantai Timur bermula dari 17 hingga 22 Oktober 2021

#MyDigitalMaker ialah pesta pendidikan yang bertujuan mengajar para peserta pelbagai subjek termasuk robotik, pengekodan, dron, cetakan 3D, penerokaan angkasa, kepintaran buatan dan pembelajaran mesin

Acara ini terbuka kepada murid sekolah menengah dan rendah, dan menyasarkan untuk menarik penyertaan 5,000 peserta dari tiga negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Meskipun begitu, murid dari negeri-negeri lain dijemput mengambil bahagian. Setiap sekolah yang mengambil bahagian akan diberi Sijil Penyertaan.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pendidikan

Sesi pelancaran pesta maya #MyDigitalMaker bagi wilayah Pantai Timur pada 2 Oktober 2021. - Kredit foto: Ihsan Jazro


Dalam satu kenyataan media, Dr. Sumitra Nair, Ketua Pegawai Kerja & Kemahiran Digital MDEC berkata: “Digital adalah masa hadapan, masa hadapan adalah sekarang. 

"Sebagai agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, tanggungjawab kami memupuk rasa cinta terhadap segalanya yang digital termasuk kemahiran dan pengetahuan generasi masa hadapan kita bagi memastikan mereka berjaya dan membentuk tulang belakang ekonomi digital.” 

Tambah beliau, “Program #MyDigitalMaker sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) memastikan penghasilan bakat secara berterusan sambil kami mengatur jalan ke arah menjadikan Malaysia Pusat ASEAN Digital.” 



Sementara itu, Dzulfarqeish Zainuddin (gambar atas), pengasas bersama Jazro berkata: “Kami teruja dilantik MDEC sebagai rakan kongsi Hab #MyDigitalMaker bagi wilayah Pantai Timur. 

"Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM penting bagi mempersedia anak-anak kita untuk masa hadapan yang mencabar. Jazro komited menjadikan pesta maya ini berkesan serta menyeronokkan agar memberi faedah kepada setiap peserta daripada pelbagai peringkat umur. Kami berterima kasih kepada MDEC atas peluang keemasan ini.” 

Selain webinar, #MyDigitalMaker Pantai Timur akan turut menganjurkan beberapa pertandingan seperti Reka Bentuk 3D, Cipta Permainan Sendiri, cabaran dron, Penerokaan Angkasa Misi ke Marikh dan Cabaran Arduino. Hadiah-hadiah menarik menanti para pemenang. 

Jazro bekerjasama dengan pelbagai institusi termasuk universiti, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam penganjuran dan penyampaian bahan-bahan yang disesuaikan untuk para peserta sepanjang pesta enam hari tersebut. 

Gerakan #MyDigitalMaker ialah inisiatif bersama awam-swasta-akademia yang diterajui MDEC dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengubah belia Malaysia daripada pengguna digital kepada pengeluar dalam ekonomi digital



MDEC ialah agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang meneraju perubahan ekonomi digital selama 25 tahun. Agensi itu bermatlamat membolehkan ekonomi digital diteraju inovasi yang progresif. 

Bagi mencapai hasrat ini, MDEC akan melaksanakan rangka kerja NADI (Nadi Digital)-nya yang berasaskan empat teras: kemahiran baru (New skills), pengambilan (Adoption), peningkatan skala digital (Digital ScaleUps) dan pelaburan (Investments). 

NADI akan memacu program teras kami demi rakyat, industri dan pelabur. 

MDEC akan terus meneraju ekonomi digital Malaysia ke hadapan ke arah menjadi negara digital yang berdaya saing pada peringkat dunia, berteraskan inovasi, kelestarian dan kemakmuran bersama bagi menjadikan Malaysia kukuh sebagai Pusat ASEAN Digital. - KitaReporters


11
11
0
15
0
You will be interested