Kredit foto: KL Gadget Guy
PERNAHKAH anda mendengar mengenai 'penunggang agama'? Sudah tentu pernah. Lazimnya, ia merujuk kepada mereka yang menggunakan agama untuk kepentingan sesuatu perkara atau keuntungan yang bersifat keduniaan.
Kita selalu digembar-gemburkan mengenai penunggang agama dalam dunia dakwah dan perubatan Islam, sehingga ada filem khusus bertajuk 'Penunggang Agama' diterbitkan bagi menerangkan kepada masyarakat betapa bahayanya spesis sebegini.
Namun, 'penunggang agama' ini bukan sahaja melibatkan kemahiran manusia secara interpersonal (antara insan). Sebaliknya kini sudah ada juga yang melibatkan barangan, teknologi, imej dan sebagainya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan peranti
Sebagai contoh, baru-baru ini telah tular sebuah laman Internet dari Rusia yang cukup terkenal dengan menawarkan iPhone dengan ciri unik sejak sekian lama. Kali ini mereka tampil memperkenalkan model terbaru iPhone 12 Pro Max dengan kerangka yang diinspirasikan dari Masjid Nabawi.
Bukan itu sahaja, ukiran Allah dan Nabi Muhammad SAW juga turut terlihat pada model telefon pintar paling terkini itu.
Di manakah ia boleh dianggap sebagai 'penunggang agama'?
Asalnya, harga bagi sesebuah unit iPhone 12 Pro Max adalah bermula sekitar RM4,899 sahaja, namun jenama dari Rusia yang telah mencipta model berinspirasikan imej-imej Islamik itu diletak pada harga yang cukup tinggi iaitu AS$7,830 (kira-kira RM32,400) bagi storan 512GB.
Kredit foto: Caviar
Menurut sumber Caviar, kerangka ini diselaputi dengan material (bahan) emas bagi menampakkan iPhone 12 Pro Max ini tampil lebih premium dan eksklusif.
Namun, apakah logik dengan hanya memberi tambahan kepada Masjid Nabawi, ukiran Allah dan Muhammad SAW pada bahagian belakang telefon bimbit ini, maka harganya boleh dinaikkan hingga lebih RM32,000 bagi satu unit?
Bagi mereka yang memiliki kemampuan dan menilai telefon bimbit ini sebagai suatu gajet yang unik dan stailis, mungkin harga sebesar itu tiada sebarang masalah untuk mereka miliki.
Kredit foto: Caviar
Pun begitu, persoalan yang harus kita sama-sama fikirkan, apakah ini boleh dianggap sebagai 'penunggang agama' apabila menggunakan imej-imej agama untuk menaikkan harga barangan dengan begitu mendadak untuk mendapatkan keuntungan?
Sedangkan telefon bimbit tersebut mempunyai fungsi dan kelebihan yang sama seperti telefon bimbit yang boleh dibeli pada harga bermula dari RM4,899?
Anda mungkin mampu beli enam unit iPhone 12 Pro Max biasa dengan nilai yang sama anda membeli iPhone 12 Pro Max 'Islamik' ini. Fikirkanlah. - Kitareporter