Alam & Sains 26 Mar, 2024

Tangguhkan pendaftaran Sistem PADU! Sehingga beberapa isu berbangkit mengenainya diselesaikan! - MBM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa agar kerajaan menangguhkan pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kepada satu tarikh yang bersesuaian, sehingga beberapa isu berbangkit mengenainya diselesaikan. 

Usaha pendaftaran ini tidak perlu tergesa-gesa kerana telah wujud beberapa integrasi data melalui pelbagai agensi kerajaan. 

Sejak dilancarkan pada Januari lalu, sebanyak 35.1 peratus atau hanya 7.7 juta pendaftaran direkodkan. 

Melihat kepada angka terkini, masih jauh untuk mencapai sasaran yang diletakkan kerajaan iaitu 29 juta penduduk menjelang 31 Mac yang hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. 

MBM melihat usaha pengintegrasian data secara berpusat ini merupakan satu inisiatif baik kerana ia dapat menjamin usaha ke arah pendigitalisasian sistem pentadbiran negara yang dapat melicinkan urusan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar dengan lebih berkesan. 



Namun, hakikatnya masih ramai tidak memahami dengan mendalam kepentingan sistem PADU ini. 

Oleh itu, kerajaan perlu bersifat lebih terbuka dalam menerima cadangan untuk menangguhkan usaha pendaftaran PADU ini bagi memberi ruang kepada penjelasan kekaburan kepentingan sistem PADU dan beberapa persoalan besar seperti kelemahan akta, keselamatan platform dan kekurangan program “outreach” pendaftaran yang ditimbulkan beberapa negeri seperti Perak, Sarawak dan terbaharu Sabah. 

Melihat kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini, MBM menyarankan agar : 

1) Penangguhan pendaftaran sistem PADU bagi memberi ruang penyelesaian untuk menjawab persoalan besar yang ditimbulkan negeri yang berkenaan; 

2) Melipatgandakan usaha penerangan dan komunikasi secara terus melalui semua agensi kerajaan pusat dan negeri tentang kepentingan pendaftaran sistem PADU; 

3) Memperbanyak usaha “outreach” dan kaunter bergerak sistem PADU terutama di kawasan luar bandar bagi membantu kelompok yang kurang mahir dengan teknologi (Boleh juga dijadikan masjid dan surau sebagai kaunter “outreach”);

4) Menggubal atau meminda secara segera akta perlindungan data atau Omnibus yang dicadangkan untuk membentuk kepercayaan menyeluruh masyarakat. 



Oleh itu, MBM berharap agar pelaksanaan pendaftaran PADU ini ditangguhkan penguatkuasaannya sekurang-kurangnya sehingga pada suku kedua atau ketiga tahun 2024 bagi memberi ruang kepada penyelesaian segala persoalan dan kebimbangan yang timbul. 

Diharapkan juga, setiap kementerian dan agensi tidak bertindak secara “silo” bagi menjayakan inisiatif ini. 

MBM juga bersedia untuk menghulurkan tangan bagi membantu kerajaan untuk menggiatkan usaha pendaftaran sistem PADU secara besar-besaran dengan menggembleng 42 buah badan gabungannya dan 106 Majlis Belia Daerah setelah segala persoalan terjawab. 


Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)


13
7
0
12
0
You will be interested