Seorang mangsa hanya mampu melihat tangga rumah selepas rumahnya dihanyutkan oleh banjir besar di Kampung La, Hulu Besut, Terengganu. - Kredit Gambar: Jabatan Penerangan Terengganu
PENDUDUK Kampung La, Hulu Besut di Terengganu, pasrah dan reda dengan ketentuan Allah yang menyebabkan banjir besar melanda kampung tradisional tersebut yang disifatkan oleh penduduk sebagai bencana paling besar berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
Banjir luar biasa pada kejadian 19 Disember 2022 meskipun tidak ada kehilangan nyawa tetapi lima buah rumah pusaka milik penduduk musnah keseluruhanya selepas dilanda banjir.
Lima rumah terbabit turut dihanyutkan selain ada yang mengalami kerosakan struktur kayu, simen dan tinggal tangga di tapak pembinaan asal.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan bencana banjir
Sebuah rumah milik penduduk di Kampung La, musnah dalam kejadian banjir besar pada 19 Disember 2022
Seorang mangsa, Raja Kamarudin Raja Mohamad, 58, berkata, air yang terlalu deras dari Sungai La memusnahkan rumahnya dan beliau bersyukur kerana ketika kejadian, semua ahli keluarganya sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung La.
Jiran beliau, Nik Mah Nik Salleh, 66, turut menjadi mangsa setelah rumah pusaka miliknya turut dihanyutkan air deras.
Beliau bersyukur kerana sudah berpindah ke rumah kakaknya ketika kejadian itu berlaku.
Penduduk bergotong royong membersih sisa-sisa rumah yang musnah
Selain Kampung La, sebuah rumah di Kampung Permaisuri, Setiu turut rosak setelah dilanda air deras pada kejadian 19 Disember 2022.
Pemilik rumah, Mohamad Zulfahmi Khairul Kamaliza berkata, hadapan rumahnya rosak teruk setelah air deras menghakis tanah dan menyebabkan tiang simen beranda rumah itu dibawa arus.
Katanya, seorang ahli keluarga beliau turut cedera dalam usaha menyelamatkan diri daripada dibawa arus deras.
Seorang wanita memerhati kesan kerosakan rumah yang dilanda banjir
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung La, Abd Razak Labuh berkata, kejadian banjir di kampung itu disifatkan sebagai paling besar dalam sejarah sehingga menyebabkan keseluruhan penduduk kehilangan harta benda kerana semua rumah ditengelami air banjir.
Katanya, selain rumah ditengelami air hingga ke paras bumbung ada juga yang kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka dihanyutkan arus deras.
“Mujur penduduk kampung itu mempunyai pengalaman dalam menghadapi bencana banjir menyebabkan mereka bertindak berpindah segera selepas melihat keadaan air semakin naik lalu menyebabkan tidak ada kehilangan nyawa,” katanya.
Dua wanita berusaha memindah peti sejuk yang ditenggelami air
Pihak berkuasa juga sudah menyiapkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Masjid dan Sekolah Kampung La bagi memudahkan mangsa mencari tempat perlindungan.
Bagaimanapun, katanya penduduk menghadapi masalah perhubungan
komunikasi apabila tidak dapat akses dengan dunia luar selama tiga hari kerana gangguan sistem komunikasi.
“Penduduk juga tidak dapat keluar ke Bandar Jertih apabila jalan utama ke Hulu Besut terputus di beberapa lokasi disebabkan jalan raya turut ditengelami air,” katanya.
Abdul Razak berkata, semua perhubungan komunikasi, bekalan elektrik dan jalan raya hanya dapat dipulihkan pada 21 Disember 2022. - KitaReporters
Seorang wanita sedang melintasi sebuah rumah yang musnah dalam kejadian banjir di Kampung La