Alam & Sains 05 Aug, 2024

Gara-gara gagal jawab teka-teki, satu maut ditikam kawan! Siapa tahu? Ayam dulu atau telur dulu!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

'Ayam atau telur dahulu' isu yang masih tiada jawapan tuntas sehingga kini.


AWAS apabila main teka-teki ‘ayam atau telur dahulu’, baik bersama kawan atau ahli keluarga. Silap perhitungan, teka-teki bersifat gurauan ini boleh membawa maut, seperti yang terjadi di Sulawesi Tenggara, Indonesia pada akhir minggu lalu.

Memetik laporan Kompas.com, seorang lelaki, Kadir Markus, 47, mati ditikam oleh rakannya, dikenali sebagai DR, ekoran perselisihan faham mengenai isu mana dahulu, ayam atau telur. 

Kadir ialah penduduk Desa Lekapre, Kecamatan Gu, Kabupaten Buton Tengah. 


POLIS menangkap DR (tengah) atas kesalahan membunuh rakannya, Kadir Markus, kerana isu 'ayam atau telur dahulu' di Sulawesi Tenggara.


Menurut polis, tragedi berlaku apabila Kadir tidak dapat menjawab soalan DR mana dahulu, ayam atau telur. 

Sebelumnya kedua-dua mereka mabuk akibat minuman keras. Dalam keadaan mabuk itu, DR bertanya kepada Kadir mana dahulu antara ayam dan telur.

Disebabkan Kadir tidak dapat menjawab soalan, dia meminta izin untuk pulang ke rumah. Ini menyebabkan DR tidak puas hati dan marah. Dia lalu mengambil badik dan mengejar Kadir. 

DR dilapor menikam Kadir sebanyak 15 kali menggunakan badik itu sehingga sahabatnya mati. 

Kejadian ini menggemparkan seluruh kampung. Meskipun orang ramai yang melihat kejadian membantu Kadir dan sempat membawanya ke hospital, dia tidak dapat diselamatkan akibat luka parah. 

Berikutan itu, polis menangkap DR. Sebilah senjata dan seluar miliknya dirampas. Dia didakwa dengan pembunuhan. Jika sabit kesalahan dia menghadapi hukuman penjara 18 tahun.

Siapa yang menduga teka-teki dan guruan antara dua sahabat akhirnya membawa maut kepada seorang daripadanya. Dipercayai peristiwa terjadi didorong oleh pengaruh minuman keras yang menyebabkan hilang kewarasan dan pertimbangan.


PETA Sulawesi... Kabupaten Buton Tengah berada di Sulawesi Tenggara. Berhampirannya Kabena, Wowoni dan Wakatobi.


Peristiwa ini wajar dijadikan iktibar supaya berhati-hati apabila bergurau atau bermain teka teki agar tidak sampai bertukar menjadi perkelahian yang seterusnya membawa padah. 

Anggap teka teki seperti ini hanya untuk berseronok. Pastikan yang berteka teki semua dalam keadaan siuman.

Isu mana dahulu telur atau ayam tidak ada jawapan tuntas sehingga kini. Ada yang berpendapat tentu ayam dahulu. Jika tidak manakan ada telur. Kelompok lain pula berpendapat, tentulah telur dahulu, jika tidak mana boleh menetas menjadi ayam.

Jadi mana sebenarnya? Yang kita tahu, apabila lahir dan membesar, telur dan ayam sudah ada di sekeliling. Kedua-dua ayam dan telur adalah makanan kegemaran bagi ramai orang sebagai lauk yang boleh dimasak dalam pelbagai menu.

Telur ayam pula selain sebagai lauk, merupakan bahan penting dalam pembuatan kuih muih. Bahulu, pelbagai jenis kek, kuih bakar, tart dan sebagainya memerlukan telur. Begitu pentingya peranan telur dalam kehidupan seharian.

Kita sendiri jarang atau tidak pernah memikirkan telur atau ayam dahulu. Yang penting jangan sampai isu ini mendatangkan mudarat. Sesungguhnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui jawapan sebenar. - KitaReporters


Mungkinkah jawapannya ada dalam ayat al-Quran ini?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

7
17
0
17
0
You will be interested