Mohamad Sabu menunjukkan durian premium MARDI Super MS88 yang baharu dijenamakan semula daripada MDUR 88 selepas mengadakan lawatan kerja di MARDI Kuala Kangsar.
Memperkenal varieti durian premium dan peluang memperkomersial durian pada pasaran tepat dan antarabangsa. Usaha ini membolehkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjenamakan semula durian varieti MDUR 88 kepada MARDI Super (MS88).
Setakat ini sebanyak 8,000 pokok durian MS88 di tanam di seluruh negara oleh para pekebun bagi memenuhi permintaan pasaran eksport terutama ke negara China.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MS88 telah melalui kajian selama 15 tahun dan ia mempunyai tekstur yang halus dan rasa sedap setanding dengan durian Black Thorn (duri hitam).
Beliau berkata, langkah memperkenal durian premium Malaysia MS88 untuk membuka peluang komersial yang lebih luas untuk pasaran domestik dan pasaran global.
“MS88 ini adalah hasil penyelidikan di sini (MARDI Kuala Kangsar) dan telah dilancar pada 1992.
“Mardi Kuala Kangsar sebagai pusat penyelidikan dan memperkenal varieti-varieti baharu khasnya durian premium dan ada juga manggis dan rambutan tetapi keutamaan adalah durian kerana durian menjadi perdagangan yang besar berbilion-bilion ringgit di China," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di MARDI Kuala Kangsar pada 28 Disember 2024.
Hadir sama ialah Pengerusi MARDI, Dr Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani. MARDI Kuala Kangsar dibuka pada 1974 dengan mempunyai kawasan seluas 39.52 hektar.
Mohamad Sabu berkata, walaupun durian Malaysia mendapat persaingan dari durian Vietnam dan Thailand namun durian Malaysia masih menjadi pilihan di China.
Beliau berkata, Mardi akan memberi tunjuk ajar kepada petani yang mahu menanam durian MS88 termasuk memberi benih durian MS88 secara percuma. “Tanaman durian MS88 itu akan ditingkat kepada 10,000 pokok,” katanya.
Durian MS88 dilaporkan mempunyai rasa yang lemak manis, isi tebal, buah yang lambat merekah dan membolehkan penyimpanan lebih lama tanpa menjejaskan kualiti isi.
Selain itu, ia tahan terhadap penyakit dan dihasilkan melalui teknik penghibridan dan pemilihan yang teliti, mempunyai tahap ketahanan terhadap penyakit yang setanding dengan vareiti premium lain.
Ciri ini memberi kelebihan dalam pengangkutan dan pemasaran untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Ciri ini juga memastikan kestabilan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Sabu berkata, kelapa juga perlu ditanam dengan lebih banyak kerana harga santan meningkat.
“Kita akan mengalami perayaaan Tahun Baharu Cina serta Hari Raya Aidilfitri dan bekalan kelapa diperlukan bagi memenuhi permintaan tempatan.
“Kita berunding dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya bekalan kelapa dapat dibawa dari Indonesia,” katanya.
Justeru itu, katanya, pihaknya terus memberi galakan kepada pekebun untuk menanam lebih banyak kelapa bagi keperluan dalam negara. - KitaReporters
Sebahagian pengamal media sedang menikmati keenakan durian ketika membuat liputan lawatan kerja Mohamad Sabu di MARDI Kuala Kangsar.