Alam & Sains 23 Sep, 2020

Pusat Pengajian Al-Quran Braille! Yang terbaharu di Besut!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

PELUANG Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di Terengganu untuk mempelajari kaedah membaca kitab suci al-Quran semakin mudah apabila kerajaan negeri menubuhkan Pusat Pengajian Al-Quran Braille untuk golongan berkenaan. Syabas Terengganu, syabas Yayasan Islam Terengganu. : KitaReporters

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan perasmian Pusat Pengajian Al-Quran Braille di Besut 


Lagi cerita-cerita berkaitan Al-Quran:

https://kitareporters.com/search?search=al-quran


Yayasan Islam Terengganu (YIT) mengambil tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai golongan berkenaan celik al-Quran menerusi kelas khas yang diwujudkan di pusat pengajian berkenaan.  Perkembangan itu sekali gus memudahkan OKU penglihatan mempelajari al-Quran secara sistematik.

Berikutan itu, sebuah lagi pusat pengajian dibuka di Daerah Besut bagi memberi peluang  kepada golongan berkenaan mempelajari kaedah membaca al-Quran menggunakan Braille.

Dr Ahmad Samsuri melihat seorang peserta OKU menggunakan komputer riba yang turut berfungsi sebagai Braille


YIT dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu sebelum ini sudah menubuhkan pusat tersebut bagi daerah Dungun dan Kemaman, yang dibuka di Masjid Jamek Paka sebelum ini dan yang pertama telah lama wujud sejak 2007 iaitu di Seberang Takir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri amat berbangga dengan perkembangan itu dan berharap agar menjadi pemangkin kepada perkembangan Al-Quran di Terengganu tanpa ada halangan kepada sesiapa sahaja yang mahu mendalaminya.

Dr Ahmad Samsuri tertarik dengan kemahiran seorang pelajar menggunakan kemudahan Braille di Pusat Pengajian Al Quran Braille di Besut

Katanya, penubuhan pusat pengajian ini memberi fokus kepada golongan OKU cacat penglihatan untuk mengikuti kelas pengajian asas al-Quran dan hafazan.

“Mereka ada keistimewaan yang tersendiri, kita ingin uar-uarkan kepada seluruh masyarakat terutama yang mempunyai anak-anak OKU cacat penglihatan supaya mengambil peluang ini untuk mendedahkan anak-anak mereka mengenai pembelajaran al-Quran di pusat ini,” Katanya ketika merasmikan Pembukaan Pusat Pengajian Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Pejabat Yayasan Islam, Besut, baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar


Katanya, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan memberi komitmen untuk memperkasa dan memperkukuhkan pusat ini demi melahirkan generasi yang mengenal serta memahami al-Quran tanpa mengira perbezaan lapisan masyarakat.

“Kesedaran mempelajari dan mendalami ilmu al-Quran melalui sistem pendidikan secara berterusan walaupun dalam kalangan OKU cacat penglihatan akan melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini,” katanya.

Pelajar sedang mengikuti pembelajaran di Pusat Pengajian Al-Quran Braille di Besut


Beliau berkata, tahun 2020 ini kerajaan negeri memperuntukkan  RM1 juta untuk pengurusan di dua pusat ini dan untuk tahun depan 2021, akan  dipertingkatkan lagi peruntukan untuk menambah baik dan menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik.

Katanya, setakat ini Pusat Al-Quran Braille Yayasan Islam Terengganu di Besut mempunyai 12 pelajar, sementara di Paka 10 pelajar dengan masing-masing seorang guru.

Pusat Pengajian Al Quran Braille di Besut beroperasi sejak dua bulan lalu


Untuk rekod, kerajaan Terengganu pada awal tahun 2019 lalu berjanji untuk menubuhkan dua lagi Pusat Pengajian Al-Quran Braille di negeri ini membabitkan kos RM3 juta setiap satu. - KitaReporters

1
0
0
0
0
You will be interested