Alam & Sains 26 Jan, 2024

Arab Saudi perkenal pengangkutan udara masa depan! Teksi terbang Lilium! Terbang dari Jeddah ke Mekah!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Mungkin beginilah reka bentuk Lapangan terbang  pesawai ringan Lilium atau 'teksi terbang' bakal dibina di Arab Saudi  nanti.  Jet Lilium dijadualkan melakukan persijilan dan perkhidmatan di Jerman pada tahun 2025 - Kredit foto: Lilium.


Siapa sangka Arab Saudi mempunyai idea dan keberanian yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang luar biasa dengan memperkenal teksi terbang di negara mereka sendiri.

Ia bakal diperkenal kepada orang ramai khususnya kepada bakal jemaah haji dan umrah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke hotel-hotel sekitar kota suci Mekah, lapor Al Arabiya.

Pengarah Komunikasi dan Korporat Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani berkata syarikat penerbangan nasional Saudia (Saudi Arabian Airlines) sedang bersungguh-sunguh membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai pengangkutan baharu semasa musim haji dan umrah pada masa akan datang.


Teksi terbang bakal diperkenal pertama kali di Arab Saudi untuk kemudahan jemaah haji dan umrah pada masa akan datang. - Kredit foto: Lilium.


Menurut Al-Shahrani, Kumpulan Saudia telah membuat tempahan pembelian kira-kira 100 buah jet buatan syarikat Jerman, Lilium GmbH iaitu pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik (eVTOL).

Kegunaan 'teksi terbang' itu merupakan pengangkutan perjalanan pergi balik antara lapangan terbang di Jeddah menuju ke hotel-hotel sekitar Mekah berhampiran Masjidil Haram. 

Pesawat elektrik Lilium merupakan pesawat pertama yang beroperasi sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik dan mempunyai ciri-ciri mesra alam tanpa petrol dan sekali gus mempunyai kadar pelepasan karbon yang rendah.

Jelasnya lagi, teksi terbang itu berkapasiti empat hingga enam penumpang  dan berkeupayaan mengekalkan perjalanan udara tanpa henti meliputi jarak sehingga 250 kilometer.

Selain itu, 'teksi terbang' ini menampilkan ruang kabin dan tempat duduk luas yang memenuhi keperluan tetamu elit yang mencari pengalaman perjalanan terbaik.


Ruang dalam kabin dan tempat duduk yang luas dan selesa . - Kredit foto: Lilium.


Menurut Al-Shahrani lagi, Saudi Airlines akan berusaha untuk menyokong syarikat Lilium GmbH dengan menyediakan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk mengendalikan pesawat jenis tersebut di pasaran Saudi.

"Ini adalah satu langkah penting dalam merangka usaha menambah baik sektor pengangkutan udara di negara ini.

"Secara tidak langsung, inisiatif ini akan menyumbang dalam merangsang kemampanan sektor pelancongan melalui penerbangan tanpa pelepasan," tambahnya. - KitaReporters


Teknologi pesawat udara elektrik pada masa hadapan. Mungkin satu hari nanti 'teksi terbang' atau 'kereta terbang' akan diperkenal di Malaysia sebagai alternatif kenderaan bebas karbon. - Kredit foto: Lilium.


Sumber:

https://www.newarab.com/news/saudia-plans-air-taxis-hajj-pilgrims

https://www.just-dubai.com/article/news/news/saudias-sustainable-leap-100-lilium-jets-for-pilgrim-air-transport/3798

https://lilium.com/jet

14
8
0
12
0
You will be interested