Alam & Sains 31 Jul, 2023

Apakah mekanisme daya tindak kita terhadap tekanan? Adakah kita tangani cabaran dengan cara sihat?

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Kebanyakan rakyat Malaysia sudah biasa dengan konsep ‘terapi beli-belah’ dan ‘makan untuk menghilangkan tekanan’, yang dikatakan antara kaedah atau cara kita menghadapi tekanan atau setelah menempuh minggu yang mencabar, ataupun untuk menghadapi tekanan daripada peristiwa hidup yang tidak diingini, seperti keretakan dalam perhubungan.  

Kaji Selidik Wellness Begins At Home (Kesejahteraan Bermula di Rumah) oleh Gardenia KL yang dijalankan baru-baru ini telah menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi mekanisme atau kaedah daya tindak (coping mechanisme) pilihan belia Malaysia berbanding kumpulan responden lain.

Mekanisme atau kaedah daya tindak kita menangani cabaran ialah merupakan suatu tingkah laku yang bertujuan mengelakkan tekanan atau emosi yang kurang menyenangkan. Tingkah laku ini mungkin positif atau negatif.  

Kaedah daya tindak menangani tekanan secara positif mampu menjadikan keadaan lebih mudah pada masa kini, serta meringankan beban dalam jangka masa panjang. 

Sebagai contoh, Kaji Selidik Kesejahteraan Bermula di Rumah Gardenia KL 2023 mendapati bahawa responden yang sudah berkahwin dalam unit keluarga yang lengkap adalah lebih cenderung untuk ‘kembali kepada Tuhan’ (58.2%) atau ‘meminta pertolongan keluarga’ (21.2%) untuk menghadapi cabaran.



Mekanisme atau kaedah daya tindak yang negatif mungkin menyelesaikan sesuatu masalah dalam jangka masa pendek, tetapi akan memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang. 

Contohnya, dalam kaji selidik yang dijalankan, responden yang berumur antara 21 hingga 25 tahun menunjukkan yang mereka lebih cenderung untuk makan secara berlebihan (39.5%), mengeluh tentang nasib (37.2%), atau sengaja mencederakan diri sendiri (14.7%), apabila menghadapi sesuatu tekanan.

Kaji selidik tersebut juga mendapati lelaki (8.7%) adalah lebih cenderung untuk mengalami ketagihan seperti makan secara berlebihan, berjudi atau menyalah guna bahan terlarang seperti dadah dan arak, berbanding wanita (3.2%). 

Sebaliknya, responden wanita (12.9%) lebih cenderung mengalami kehilangan atau sekatan daya ingatan disebabkan trauma berbanding lelaki (7.5%). Dapatan tersebut meliputi pelbagai kumpulan umur.

Gardenia KL telah memulakan kempen Kesejahteraan Bermula di Rumah pada 2021 ketika pandemik COVID-19, dalam usaha membantu rakyat Malaysia untuk merasa lebih selesa membincangkan hal ehwal berkaitan kesihatan mental mereka. Kempen tersebut kini memasuki edisi kedua. 

“Kami telah menyediakan platform ini supaya orang ramai berpeluang untuk berbincang tentang kesihatan mental; dengan harapan dapat membantu mereka membiasakan diri berbincang mengenainya pada masa depan,” jelas Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia Bakeries KL, Hazlinah Harun.



"Saya mempunyai anak OKU dan juga bukan OKU. Pendekatan saya sebagai seorang ibu dalam keadaan mencabar atau apabila kita mula mengeluh tentang kesusahan hidup ialah dengan melihat keadaan orang lain yang lebih susah daripada kita dan mengerti hikmah di sebalik ujian hidup ini. 

"Satu lagi perkara ialah kita hendaklah banyak membantu orang lain, walaupun kita sendiri sedang menghadapi cabaran. Kita akan rasa gembira apabila dapat membantu orang lain. 

"Hasilnya, ia membantu kita mengatasi emosi negatif yang kita hadapi sebelum ini,” kata ibu tunggal, Zuraini Anuar.

"Cabaran dan halangan sudah menjadi lumrah hidup apabila kita mahu mencapai apa jua impian,” kata Dato' Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional Malaysia dan atlet sukan Olimpik. 

"Memang sangat penting untuk kita mempunyai teman yang sentiasa bersama dalam perjalanan kita mengejar impian. 

"Saya sangat bersyukur kerana mempunyai insan dalam hidup saya yang sentiasa menyokong saya, terutama pada masa-masa mencabar, supaya saya boleh mencapai matlamat saya," ujar ‘Pocket Rocketman’.



Memahami mekanisme atau kaedah daya tindak menghadapi cabaran dan impaknya adalah penting untuk menangani tekanan dan trauma. 

Contoh mekanisme atau kaedah daya tindak yang sihat yang disyorkan oleh pakar termasuk senaman fizikal, luahan emosi kepada insan yang boleh dipercayai, pemakanan sihat, mendapatkan bantuan profesional, teknik pernafasan, bergantung kepada sokongan sosial dan mengamalkan teknik menyelesaikan masalah yang betul.

Jika anda atau orang yang anda kenali sedang menghadapi krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA di www.miasa.org.my. 

MIASA sedia menawarkan penilaian dan rundingan kesihatan mental, perkhidmatan kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapeutik, perkhidmatan pakar psikologi dan sokongan rakan sebaya. 

Di samping itu, anda juga boleh menghubungi talian bantuan 24 jam MIASA di 1-800-820-066. - KitaReporters/Kenyataan Media


18
14
0
17
0
You will be interested