Alam & Sains 27 Dec, 2024

Tahniah Adam, Putri! Dua beradik dapat tempat 15, 18! Pertandingan Robotik Antarabangsa di China!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Muhammad Adam Mikhael Azziddin


Muhammad Adam Mikhael Azziddin, 11, dan Putri Qayreen Sofea Azziddin, 9, dari Kajang, Selangor, telah mendapat tempat ke-15 dan ke-18 di Pertandingan Robotik MakeX Peringkat Akhir Global di Shenzhen, China, pada 6 hingga 8 Disember 2024 lalu. 

Dua beradik dari Jazro Robotic Academy itu telah bertanding di dalam Sesi 2 Kategori Inspire Smart Logistics yang mempunyai sejumlah 264 peserta dari pelbagai negara. 

Dengan kedudukan ini, mereka telah menerima anugerah Skill Master Award yang disampaikan dalam bentuk sijil daripada Jawatankuasa Pertandingan Robotik MakeX.

Dalam Kategori Inspire mereka kena lalui tiga misi yang memerlukan peserta menggunakan robot untuk mengangkut kiub ke arah tertentu menggunakan pengawal Bluetooth. Tugasan hanya diberitahu pada masa pertandingan sahaja, jadi adalah penting peserta hadir betul-betul bersedia dan ada kemahiran mengawal robot. 

Peserta dinilai mengikut jumlah mata dikumpul dan masa yang diambil untuk menyelesaikan misi.


Putri Qayreen Sofea Azziddin


Kedua-dua pelajar yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Kajang itu mula belajar robotik bila mendaftar dengan Jazro pada Mei tahun lalu (2023).

Kedudukan ke-15 dan 18 yang diraikan ini adalah suatu lonjakan ketara daripada tempat ke-28 yang disandang oleh seorang peserta Malaysia tahun 2023.

Siti Paspa Mohamad Sofa, ibu yang bangga kepada peminat robotik muda itu, berkata, “Kami amat berbangga dengan pencapaian anak-anak, kami tidak pernah membayangkan pencapaian sedemikian. 

"Apabila kami mula-mula mendaftarkan mereka dalam kelas Jazro, kami melihatnya sebagai peluang untuk belajar. Kini, kami melihatnya sebagai laluan ke masa depan yang cerah dalam bidang teknologi yang boleh diterokai.”


Siti Paspa Mohamad Sofa bersama anak-anaknya.


“Pencapaian ini lebih daripada sekadar kejayaan peribadi,” kata Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Jazro, yang turut mengiringi pasukan Malaysia ke Shenzhen. 

“Ia mewakili potensi hebat anak muda Malaysia apabila diberi peluang pendidikan yang sewajarnya. Misi kami di Jazro adalah untuk memupuk minda muda, mengubah rasa ingin tahu kepada inovasi. 

"Kedudukan global ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan pendedahan yang betul, anak-anak kita boleh bersaing di peringkat antarabangsa."



Sebelum ke Shenzhen, Muhammad Adam sudah menjadi juara MakeX peringkat Malaysia dalam Kategori Inspire dan Putri Qayreen Sofea menang tempat kedua kategori sama, lalu melayakkan mereka bertanding pada peringkat akhir global.

Pertandingan robotik seperti MakeX ini menyediakan pelajar pengalaman yang tidak ternilai yang melangkaui kemahiran teknikal, membangunkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kerja berpasukan dan pemikiran inovatif.

Selain Malaysia, peserta lain datang dari, antaranya, China, Emiriah Arab Bersatu, Filipina, India, Peru, Brazil, dan Thailand.

"Pengiktirafan dicapai di Shenzhen ini mencerminkan juga kemajuan usaha Malaysia yang semakin meningkat dalam pendidikan STEM. Ini cetuskan semangat kami di Jazro. Kami mahu terus maju ke hadapan sebagai pemangkin," kata Dzulfarqeish. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
13
0
9
0
You will be interested