Alam & Sains 21 Oct, 2024

Lebih banyak pengecas EV di Putrajaya! Kerjasama PPj, Gentari! Rancang pasang 500 unit menjelang 2030!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Pengecasan untuk kenderaan elektrik kini dapat dilakukan dengan mudah berikutan banyak stesen EV dibuka di seluruh negara termasuk di Putrajaya.


MALAYSIA kini sedang mengorak langkah ke arah masa depan lebih hijau dengan matlamat mencapai karbon sifar bersih (net zero carbon) menjelang 2050. Ini sekali gus memastikan ruang udara negara ini tidak mengalami pencemaran yang teruk selain membendung pelepasan gas karbon yang menyebabkan perubahan iklim dan pemanasan global.

Malaysia melalui Dasar Automotif Negara 2020 juga mempunyai strategi mengurangkan tenaga karbon dengan penggunaan produk mesra alam. 

Justeru, negara ini  merangka dasar untuk mencipta hab serantau untuk kenderaan elektrik (EV) pada 2025 selain menambah stesen pengecas di seluruh negara.


Fadlun (dua dari kiri) memotong riben tanda perasmian stesen pengecas EV di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Gambar Faris Azmi PPJ


Laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menunjukkan sehingga 30 September 2024, lebih 3,171 stesen pengecas EV dipasang di seluruh negara, termasuk 813 pengecas pantas DC. Dan, sasarannya ialah 10,000 stesen pengecas menjelang akhir 2025.  

Terbaharu, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd melancarkan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) baharu di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP).

Terletak di tempat letak kereta berhampiran Ekues Cabin Cafe, stesen pengecas ini menyediakan kuasa arus alternatif (AC) sehingga 7kW yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna EV di kawasan berkenaan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata, pelancaran itu membuka lembaran baharu bagi membuktikan pusat pentadbiran negara ini serius menyokong langkah Kerajaan Persekutuan ke arah matlamat mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

TPr Fadlun Mak Ujud


"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada rancangan lebih luas PPj untuk memasang 500 unit pengecas EV di Putrajaya menjelang 2030, sebagai sokongan kepada aspirasi Putrajaya untuk menjadi bandar rendah karbon.

"Setakat ini 23 stesen pengecas EV diwujudkan di Putrajaya, dan saya yakin menjelang akhir 2024, jumlah itu dijangka meningkat kepada 50 stesen EV.

“Lokasi strategik yang dikenal pasti untuk stesen pengecas pada masa hadapan termasuk di Laman Perdana, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Taman Saujana Hijau, Marina Putrajaya, Putrajaya Sentral dan Kelab Tasik Putrajaya," katanya selepas melancarkan stesen pengecas EV di Taman Ekuestrian Putrajaya. 

Haikal Zubir (kiri) menyambut kehadiran Fadlun untuk merasmikan stesen pengecas EV di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Gambar Faris Azmi PPJ


Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, Haikal Zubir dan Naib Presiden Kanan, Jabatan Perkhidmatan Korporat Perbadanan Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar.

Fadlun menghargai kerjasama bersama Gentari dan ia adalah satu lagi contoh bagaimana Putrajaya bekerjasama dengan pemain tenaga global untuk membangunkan kemudahan EV terkini untuk komuniti dan pengunjung di Putrajaya.

"Kami berbesar hati untuk melancarkan kemudahan terbaharu ini di Putrajaya melalui kerjasama dengan sektor swasta yang sama-sama komited untuk mempercepat peralihan bandar Putrajaya ke arah masa depan yang mampan. 

"Orang ramai juga boleh mengguna kemudahan ini dengan mudah dan lancar sebagai satu platform tenaga bersih ‘Gentari Go’ yang menawarkan gaya hidup baharu kepada pelanggan melalui platform ini terus kepada pengguna.

“Semasa mengecas, pengguna boleh menggunakan fasiliti yang tersedia di Taman Ekuestrian Putrajaya dengan menyertai aktiviti menunggang kuda atau menikmati hidangan dan minuman yang lazat di Ekues Cabin Cafe," katanya. 


Fadlun (dua dari kanan) mencuba penggunaan pengecasan untuk kenderaan elektrik selepas merasmikan stesen EV di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Gambar Faris Azmi PPJ


Sementara itu, Haikal Zubir berbesar hati dapat bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya bagi memperluas kemudahan infrastruktur pengecas EV di pusat pentadbiran negara itu. 

"Kerjasama ini bukan sahaja menyokong perjalanan Putrajaya ke arah menjadi bandar rendah karbon tetapi berdiri kukuh ke arah matlamat kerajaan untuk mempunyai kenderaan elektrik (EV) dalam pasaran kenderaan di Malaysia.

"Kami mempelawa pengguna menggunakan kemudahan ini dengan pantas dan lancar sebagai satu kaedah tenaga bersih, "Gentari Go" yang menawarkan gaya hidup baharu kepada pelanggan melalui platform ini terus kepada orang ramai," katanya.

Dengan lebih 160 unit pengecas DC, Gentari kini mengendalikan rangkaian pengecasan arus terus (DC) terbesar di Malaysia. Pada peringkat antarabangsa pula, Gentari menyediakan 1,000 pengecasan di seluruh negara serta di Thailand dan India. - KitaReporters



12
16
0
14
0
You will be interested