Alam & Sains 28 Jul, 2020

280,000 saksikan Liga eMFL 2020! Disambung musim hadapan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

LIGA Bola Sepak e-Malaysia (eMFL) 2020 yang dianggap pengubat rindu bola sepak sebenar Liga Malaysia yang hanya akan bersambung semula 26 Ogos 2020 ini, mendapat sambutan hangat para peminat sukan elektronik (e-sukan) yang mencatat 280,000 tontonan pada laman sosial. : KitaReporters

MOHD. Faiz Hariry yang mewakili pasukan Terengganu FC (TFC) muncul juara sulung eMFL 2020. - Kredit foto MFL


Lagi cerita-cerita mengenai bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Liga julung kali itu berlangsung dari 1 hingga 10 Julai 2020, yang disiarkan secara langsung dalam talian Facebook MFL, eMFL dan Gamesbond, turut meraih 3 juta capaian peminat yang cukup memberangsangkan menerusi gambar dan video pada laman berkenaan.

“Sudah pasti sambutan ini membuktikan impak yang cukup baik buat perkembangan e-sukan dan e-bola sepak Malaysia apatah lagi dengan penampilan sulungnya pada tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan dalam siaran media 27 Julai 2020.

Justeru MFL katanya, tidak ragu-ragu untuk meneruskan penganjuran eMFL pada musim depan selain mengharapkan penyertaan lebih banyak pasukan dan kemunculan ramai bakat baharu e-bola sepak negara.

LIGA e-bola sepak eMFL edisi sulung mendapat sambutan hebat masyarakat penggemar sukan ini. - Kredit foto MFL


BARISAN pemenang empat tempat terbaik eMFL 2020 (belakang) bergambar dengan pegawai penganjur dan wakil penaja termasuk Mohd. Yusoff Mahadi (depan, tiga dari kanan). - Kredit foto MFL


“eMFL turut menyajikan peluang buat penyokong-penyokong pasukan Liga M mengisi masa mereka memandangkan saingan bola sepak sebenar di venue-venue, masih tertangguh akibat Covid-19 sejak Mac lalu," tambahnya yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mohd. Faiz Hariry yang mewakili pasukan Terengganu FC (TFC) muncul juara sulung eMFL 2020 sambil mengaut hadiah wang tunai sebanyak RM1,300 berserta trofi, monitor permainan BenQ dan sijil penghargaan.

Dia yang dikenali dengan nama pemain e-bola sepak, Favlain, mengulangi kejayaan TFC yang pernah menjuarai e-Piala Malaysia 2019, namun ketika itu diwakili Luqman Haziq Hajiman.

“Saya bersyukur kerana berjaya memenangi kejohanan ini buat pertama kalinya dan sudah pasti ingin mempertahankannya pada musim depan pula.

“Memang saingan ini cukup mencabar sehingga saya tidak sangka dapat menang juara.

“Saya ingin terus menyertai kejohanan ini musim depan dan berterima kasih kepada semua termasuk pasukan TFC yang banyak memberikan sokongan,” katanya.

Naib juara eMFL menjadi milik Muhammad Imran Burhanudeen, e-pemain Kedah dan tempat ketiga diraih Luqman (e-JDT).

AB. Ghani Hassan, CEO MFL. - Kredit foto MFL


Nama-nama pasukan eMFL bersempena kalangan pasukan Liga Super 2020 seperti JDT, Selangor, Melaka, Sabah, UiTM FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pahang, Perak, Felda United, Terengganu FC, PJ City FC dan Kedah. 

eMFL menjalin kerjasama dengan jenama terbesar industri permainan video dan sukan elektronik (e-sukan), Electronic Arts (EA) yang dimainkan dalam platform PlayStation 4 dengan menggunakan judul FIFA20

eMFL menjadi liga e-bola sepak kedua di Asia yang menjalin kerjasama dengan EA selepas Piala eMBS Arab Saudi dan mengikut jejak tiga liga utama Eropah seperti Sepanyol, England dan Jerman. 

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan kebangsaan, Harimau Malaya serta Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan persatuan. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested