Alam & Sains 12 Dec, 2021

Diserang harimau kumbang! Remaja Orang Asli cedera parah! Perhilitan terpaksa tembak mati haiwan!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: adnan580218@gmail.com

Share this


BERPATANG maut sebelum ajal! Begitulah detik-detik cemas terpaksa dilalui seorang remaja lelaki Orang Asli apabila  diserang seekor harimau kumbang sehingga mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan anggota badan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, pada 8 Disember 2021 di Kampung Kelatap, Pos Perwor, Sungai Siput, Perak sewaktu mangsa yang berusia 18 tahun itu sedang mencari kayu api berhampiran rumahnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan harimau kumbang


Harimau kumbang  yang menyerang mangsa ditembak mati di kebun getah, Kampung Kelatap, Pos Perwor, Sungai Siput oleh Perhilitan Perak pada 9 Disember 2021. - Kredit foto-foto: Perhilitan Perak  


Harimau kumbang berusia antara sembilan hingga 10 tahun itu muncul dari kawasan semak-samun lalu menyerang mangsa.

Meskipun mengalami kecederaan, remaja tersebut bertindak menetak haiwan berkenaan beberapa kali menggunakan sebilah parang di kepala dan paha bagi menyelamatkan diri

Haiwan tersebut akhirnya 'mengalah' lalu melarikan diri ke dalam hutan.

Remaja terbabit yang mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan tangannya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak bagi mendapatkan rawatan.


Kesan tetakan di kepala harimau kumbang dipercayai oleh remaja Orang Asli sewaktu cuba menyelamatkan diri.  - Kredit foto: Perhilitan Perak


Sementara itu,  memetik laporan laporan Harian Metro,  Pengarah Jabatan Perlindungan dan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Perak, Yusof Shariff berkata pihaknya terpaksa menembak haiwan terbabit pada 9 Disember 2021.

Beliau berkata, harimau kumbang itu ditembak jam 8.30 pagi di kawasan hutan tersebut sewaktu haiwan berkenaan cuba menyerang empat kakitangan jabatan itu yang sedang memasang perangkap.


Bangkai harimau kumbang selepas ditembak mati oleh Perhilitan Perak. - Kredit foto: Perhilitan Perak.


Menurutnya, salah seorang kakitangannya terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah harimau kumbang tersebut bagi menyelamatkan diri memandangkan haiwan berkenaan terus bertindak agresif setelah tiba-tiba muncul.

"Bertindak atas laporan diterima daripada Tok Batin, kakitangan jabatan ke kawasan berkenaan bagi memasang perangkap untuk menangkap harimau kumbang yang telah menyerang seorang remaja Orang Asli. 

"Melihat kepada beberapa kesan tetakan pada kepala dan paha terdapat pada haiwan yang ditembak, kita percaya ia adalah harimau kumbang yang sama menyerang mangsa dalam kejadian 8 Disember 2021," ujarnya. - KitaReporters


Kredit foto-foto: Perhilitan Perak

12
14
1
11
0
You will be interested